Saturday, January 17, 2009

Hakikat Seorang Mahasiswa...

Jika 20 tahun dahulu, berbekalkan Sijil Pelajaran Malaysia dengan pangkat 3, seorang anak kampung mampu berbaris dengan rakan-rakan mereka yang lain untuk mendaftarkan diri sebagai insan bergelar mahasiswa di universiti. Ibu & ayah menerima khabar gembira dengan linangan air mata. Dan bertungkus-lumuslah si anak kampung itu untuk belajar hingga akhirnya memperoleh segulung ijazah. Namun harus diingat, apa yang dilakukan oleh anak kampung yang bergelar mahasiswa pada waktu tersebut bukan sekadar itu. Pembelajaran yang diperolehi bukan sekadar di dewan-dewan kuliah. Bahkan lebih jauh, mereka belajar & tampil untuk membela kesusahan rakyat yang mendominasi pada waktu tersebut. Dan apa yang ingin direnung di sini ialah bagaimana anak kampung itu belajar sepanjang berada di alam kemahasiwaannya untuk menjadi insan yang mampu mencorak pola perubahan pada zaman itu.

Sejarah telah mengajar betapa dengan idea dan kekuatan yang ada pada mahasiswa mampu membuka mata masyarakat sekeliling akan peripentingnya peranan yang dimainkan oleh mahasiswa. Contohnya pengarang akhbar Al-Imam(1906) dan Neracha(1926) iaitu Syed Syeikh Ali Al-Hadi,Syed Jalaluddin Tahir beserta sahabat-sahabatnya yang lain... Mereka ini telah berjaya meniupkan semangat anti penjajah dan menuntut hak kemerdekaan, dan dalam masa yang sama juga mereka ini adalah bekas graduan universiti Al-Azhar sendiri. Begitu juga jika ingin diselak kembali lipatan sejarah yang dicetuskan oleh mahasiswa tanah air. Kita sejujurnya tidak pernah sunyi dengan tokoh-tokoh perubah masyarakat yang lahir daripada sulbi kemahasiswaan.

Namun apabila diamati singkapan sejarah di atas & yang lain dengan sedalam-dalamnya, mahasiswa tidak hanya menjadi aset atau harta bagi sesebuah negara, bahkan lebih daripada itu mahasiswa juga pernah dijulang sebagai pemimpin perubahan masyarakat. Sedar atau tidak mahasiswa merupakan suara harapan rakyat. Ini kerana golongan inilah yang dipandang sebagai penentu halatuju negara. Mahasiswa menjadi mata dan telinga masyarakat, kepada golongan inilah masyarakat atau rakyat harapkan untuk menentukan arah tuju pemerintahan negara yang mereka idamkan. Maka sudah pastilah jika barisan mahasiswa yang mengepalai masyarakat, istilah-istilah kronisme, nepotisme dan kezaliman akan menjadi suatu yang asing kepada rakyat.

Justeru secara tabi'inya apabila segala penghormatan ini terarah kepada mahasiswa, maka wajiblah ke atas mahasiswa untuk memahami serta menghayati tanggungjawab serta tujuan dan matlamat belajar agar tidak mengarah kepada 'material target' semata-mata. Apabila kita gagal untuk memahami kedudukan, posisi serta tanggungjawab sebagai agen perubah masyarakat, maka selama itulah mahasiswa akan terus dialpakan dengan matlamat memburu 'career' dan material semata-mata. Justeru, ini merupakan peringatan penting buat semua mahasiswa... Janganlah biarkan diri anda menjadi robot atau minda anda diset dan diprogramkan hanya untuk menyelesaikan satu keadaan khususnya yang bersifat peribadi semata-mata. Sesungguhnya mahasiswa yang terperangkap dalam jerat ini akan terzahir padanya kependekan akal, kedangkalan minda serta ketandusan tindakan dalam menghadapi sesuatu isu yang melibatkan masyarakat umum khasnya.

Menyoroti masalah-masalah dewasa ini yang berlaku di Malaysia, khusunya soal kemiskinan rakyat, masalah sosial remaja yang semakin menggila, penagihan dadah, rampasan tanah, kenaikan harga barang, kegagalan dasar DEB dan sebagainya lagi, semuanya ini memerlukan tenaga dan buah fikiran mahasiswa yang proaktif untuk menyelesaikannya. Lantas, mahasiswa hari ini harus berubah & anda merupakan kelompok yang sangat-sangat ditunggu setiap detik, saban hari, untuk membantu masyarakat meringankan bebanan berat yang telah lama mereka pikul. Di sini wajiblah dicermati peranan dan pengharapan masyarakat terhadap seluruh mahasiswa. Oleh yang demikian, kandungan & intipati ayat di bawah tentang peranan Rasul, seboleh mungkin haruslah menjadi panduan oleh seluruh mahasiswa yang masih bercita-cita untuk menjunjung tradisi keilmuan & idealisme kemahasiswaan.

"Sesungguhnya telah datang kepadamu seorang Rasul dari kaummu sendiri, terasa berat olehnya penderitaanmu sangat menginginkan (keselamatan dan keimanan). Bagimu amat belas kasihan, lagi penyayang terhadap orang-orang mukmin. Jika mereka berpaling dari keimanan maka katakanlah "Cukuplah Allah bagiku, tidak ada Tuhan selain dia. Hanya kepada-Nya aku bertawakkal dan dialah Tuhan yang mempunyai arasy yang agung."
At-Taubah, ayat 128.

Anda merupakan penentu semula kebangkitan rakyat. Islam telah mengajar, yang berkuasa & berharta akan dihisab di akhirat kelak, dan kelompok yang mempunyai & menyebarkan ilmu akan mendapat syafaat. Namun terkadang, persoalan mengapa kelompok-kelompok tertentu sering menghentam & menyimpan dengki kepada golongan mahasiswa yang barangkali bagi hemat mereka sibuk menguruskan hal orang lain, kerap berlegar-legar di ruang fikiran. Namun apapun jawapannya, kelompok ini seharusnya perlu berterima kasih dan bersyukur kerana golongan mahasiswa masih sudi menghulurkan bantuan bagi menyelesaikan masalah-masalah yang berbangkit.

Akhirnya, mahasiswa perlu melihat bahawa di tangan merekalah terdapatnya penunjuk arah halatuju negara. Andalah yang menetukan acuan negara. Maka dengan itu diingatkan, mahasiswa yang penakut serta pengecut dengan akta-akta tertentu usahlah bermimpi untuk menjadi tempat pergantungan impian perubahan kerana hakikatnya masyarakat hanya mengharapkan PERUBAH ZAMAN yang berani & berpengetahuan sahaja untuk menjadi pelindung kepada rakyat!!!