Tuesday, April 14, 2009

Intellectual Discourse Dalam MPI

Semalam, pada hari Isnin, 17 Rabiulakhir 1430H, penulis telah menghadiri Mesyuarat Majlis Perundingan Islam (MPI) Kali Kedua yang dipengerusikan oleh Menteri Di JPM (Hal Ehwal Agama) yang baru, Senator Mejar Jeneral (B) Jamil Khir Bahrom.

Sebelum itu, untuk makluman semua, Presiden PMIUM merupakan perwakilan tetap yang terlibat dalam meeting board tersebut, di samping beberapa orang mufti-mufti negeri seperti SS Dato’ Harussani & SS Dato’ Noh Gadot serta ilmuan-ilmuan Islam tersohor tanah air seperti Syed Ali Tawfiq Al-Attas & Siddiq Fadhil.

Banyak hal-hal penting dalam kerangka agama yang diperbincangkan, meliputi aspek undang-undang, dakwah, pendidikan & sosial. Dan sesuatu yang menggembirakan penulis apabila mereka yang hadir dalam intellectual discourse tersebut tidak hanya memberikan idea yang biasa-biasa, namun sesuatu yang boleh penulis sifatkan sebagai sesuatu yang ‘luar orbit’, seperti penubuhan pusat pemulihan dadah yang berorientasikan kaedah Islam & penyaluran wang zakat secara terus untuk pemberian aset tetap kepada golongan mualaf seperti rumah flat untuk memudahkan urusan kehidupan mereka.

Tidak dinafikan juga ada yang mengkritik polisi-polisi kerajaan sebelum ini, tapi secara umumnya lebih banyak memberikan buah idea yang sifatnya membina, dengan harapan kepimpinan yang baru ini bakal membuat anjakan paradigma yang luar biasa.
Tidak ketinggalan juga di peringkat PMIUM yang menggesa supaya sudah tiba masanya Islam lebih bersifat inklusif, bukan eksklusif. Maknanya, penyaluran maklumat tentang Islam benar-benar masuk kepada rakyat dengan pelbagai cara yang catchy, sehingga ianya menjadi satu fenomena yang ajaib, tidak hanya program yang bersifat syok sendiri & untuk kelompok tertentu sahaja.

Dan lagi, PMIUM juga menggesa supaya diadakan medan dialog terbuka antara figure-figure Islam yang tersohor di negara ini dengan NGO-NGO & pertubuhan-pertubuhan yang masih kabur dengan content Islam. Hal ini sangat membantu sebenarnya perkembangan Islam di negara ini kerana masyarakat hari ini lebih berminat dengan medan debat & dialog intelek secara terbuka.

Ada juga di kalangan perwakilan yang menegur kecenderungan media yang lebih banyak mensensasikan kes-kes penceraian kalangan artis. Hal ini pada hemat mereka ialah sesuatu yang tidak sihat, tambahan pula hal penceraian ialah perkara halal yang sangat dibenci oleh Allah S.W.T.

Lebih merisaukan, jika seandainya muda-mudi yang berkahwin pada usia muda (hakikatnya memang ramai pada waktu ini) menganggap penceraian itu sebagai suatu trend yang biasa bagi sesebuah perkahwinan. Lebih parah jadinya.

Banyak lagi yang diperdebatkan dalam mesyuarat tersebut, khususnya dalam hal pentafsiran Islam di sisi perlembagaan & pewartaan undang-undang yang menjadi benteng kepada Islam. Ini juga disentuh oleh PMIUM dengan menggesa supaya kepimpinan negara lebih berani & proaktif supaya masyarakat memandang Islam itu boleh dilihat dalam batang tubuh pemimpin negara.

Akhirnya, tahniah penulis ucapkan kepada kepimpinan menteri yang baru ini (Senator Mejar Jeneral (B) Jamil Khir Bahrom) kerana melibatkan secara terus intelektual agama dalam perbincangan kali ini. Dan besarlah harapan di peringkat PMIUM agar segala yang dibincangkan dalam mesyuarat tersebut dapat dilaksanakan di seluruh peringkat dengan diterajui oleh kerajaan yang bari ini. Jika itu berlaku, penulis tidak nampak kenapa rakyat perlu menolak kerajaan yang ada sekarang di masa akan datang.

Monday, April 13, 2009

Halatuju Baru Gerakan Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS): Suatu Analisis Dan Saranan

Pendahuluan

Sebagaimana yang diketahui umum, GAMIS telah menjadi teras dan nadi bagi gerakan mahasiswa di Malaysia ini sejak lebih sedekad yang lepas. Dalam keadaan penubuhan front yang pelbagai baik di peringkat kampus mahupun nasional, GAMIS masih merupakan peneraju & penggerak bagi setiap front tersebut.

Hakikat ini secara asasnya telah pun diakui oleh sebilangan besar aktivis-aktivis mahasiswa secara keseluruhannya tatkala melihat GAMIS tidak pernah gagal dalam melahirkan penggerak & pelapis bagi setiap generasi.

Dan kerana itu jugalah, GAMIS tidak pernah teragak-agak untuk melakukan transformasi perubahan dalam pola gerakan yang dipacu, sesuai dengan situasi & keadaan semasa. Lantas, pendaftaran GAMIS sebagai NGO yang berdaftar dibawah Ikatan Amanah telah menjadi satu titik tolak sebenarnya kepada perubahan yang ingin direncana, walaupun pada peringkat awalnya ramai yang tidak bersetuju dengan tindakan tersebut.

Oleh yang demikian, untuk membuat halatuju baru dalam gerakan mahasiswa, ianya perlu bermula di peringkat GAMIS sendiri. Sejarah telah membuktikan, seandainya GAMIS beraksi secara agresif & berani dalam memacu gerakan, maka rakan-rakan aktivis dalam front-front mahasiswa yang lain akan ikut sama laju & agresif dalam membawa gerakan.

Justeru, suatu halatuju gerakan baru perlu dirangka supaya GAMIS akan terus relevan untuk memacu gerakan mahasiswa di Malaysia.


Transformasi Dalam Memacu Gerakan Mahasiswa Islam

Dalam 5 tahun kebelakangan ini, penulis melihat bahawa halatuju GAMIS dalam membawa gerakan telah terikut-ikut dengan teori media yang agak berlebihan & tidak memberi kesan yang mendalam kepada masyarakat awam & masyarakat kampus sendiri.

Penulis tidaklah menafikan kelebihan yang boleh kita peroleh melalui manipulasi media, cuma situasi ini secara sedar atau tidak telah mengheret gerakan mahasiswa kepada suatu kancah yang mudah dan hilang taringnya sedikit demi sedikit.

Masakan tidak apabila suatu event di peringkat gerakan masih dianggap berjaya dengan partisipasi 7 ke 8 orang dengan syarat, media banyak yang hadir untuk membuat liputan!

Penulis secara asasnya bersetuju dengan peranan media dalam konteks membawa gerakan, tetapi tidaklah meninggalkan mekanisme didikan secara melata & mobilasi besar yang konsisten dalam mengekalkan ruh gerakan yang sebenar.

Tidak sekadar itu, pendekatan yang diambil oleh mahasiswa dalam membawa gerakan juga lebih banyak terikut-ikut dengan artis yang lebih bertujuan untuk meraih populariti berbanding melagangkan idealisme dalam kerangka yang intelek.

Lebih memburukkan keadaan apabila suatu gerakan yang sepatutnya bersifat kolektif hanya mendapat partisipasi kampus secara terpilih & berkelompok sahaja, tidak bersifat menyeluruh & melata di segenap sisi, baik di seluruh Semenanjung, mahupun Sabah & Sarawak sendiri.

Bagi penulis hal ini ialah suatu yang tidak sihat bagi gerakan GAMIS, kerana dengan kapasiti ahli yang ramai, maka sudah tentunya keterlibatan yang bersifat menyeluruh dengan kefahaman pada tahap optimum diperlukan oleh seluruh ahli gerakan GAMIS sendiri dalam mencanai gerakan yang lebih menyengat. Mudah kata, apa yang difahami, difikir, & diolah oleh sang presiden, begitulah juga yang difahami oleh ahli kebanyakan di seluruh pelusuk kampus.

Tidak berhenti setakat itu, kondisi GAMIS sendiri yang memilih stail gerakan yang telah diisi kelompangannya oleh kelompok lain telah menyebabkan gerakannya walaupun hebat di peringkat mahasiswa semasa, tapi masih gagal dalam mempengaruhi masyarakat dalam konteks yang lebih besar.

Sebagai contoh, keberjayaan GAMIS menghimpunkan seramai 3000-4000 mahasiswa sewaktu perhimpunan membantah serangan Israel tempoh hari sudah merupakan suatu mobilasi yang hebat di peringkat mahasiswa pada period ini. Namun, harus diingat bahawa gerakan GAMIS bukan untuk mahasiswa sahaja, bahkan untuk rakyat keseluruhan.

Justeru, walaupun mobilasi tersebut kelihatan gah di peringkat mahasiswa, namun di peringkat masyarakat yang lebih besar, ianya ibarat butiran pasir di dalam timbunan bukit; jauh keberhasilannya, bahkan tidak meninggalkan impak dalam masyarakat. Hal ini kerana masyarakat pada hari ini sudah biasa dengan mobilasi ke medan lapangan demonstrasi. Bahkan sekadar untuk mencapai jumlah 100,000 orang pun, sudah merupakan perkara yang biasa.

Oleh yang demikian, GAMIS kena berubah dalam mengambil sisi perjuangan yang tidak lagi diisi oleh mana-mana pihak. Kalaupun sukar untuk menganalisis, GAMIS boleh memilih untuk memperhebatkan lagi gerakan yang masih tidak sempurna.

Sebagai contoh, gerakan dakwah di Malaysia. Sehingga kini, belum ada lagi mana-mana gerakan mahasiswa yang mengambil sisi islah ini secara agresif dalam merubah masyarakat. Mungkin ada, tapi kebanyakannya lebih bersifat bermusim & ‘suam-suam kuku’.

Atau contoh yang lain ialah, memperjuangkan supaya selatan Thai ‘dipulangkan’ kembali kepada Malaysia, kerana tanah itu pada suatu ketika dahulu merupakan sebahagian daripada Darul Islam yang hebat di Tanah Melayu

Mungkin agak gila idea yang penulis lontarkan, namun itulah satu lontaran yang bersifat tersendiri bagi pengamatan penulis dalam konteks gerakan semasa. Bahkan, GAMIS melalui gerakan yang ‘lain dari yang lain’ seperti ini pastinya tidak perlu terhegeh-hegeh untuk mendapatkan publisiti media, bahkan medialah yang akan mencari GAMIS untuk mengetahui perkembangan gerakan yang unik ini.


Institut Pemikiran Umar al-Khattab & Institut Pemikiran Mus’ab bin Umair

Secara umumnya dua institut ini merupakan perkara yang sangat baru & sangat menarik pada pengamatan penulis terhadap survival gerakan mahasiswa yang diterajui oleh GAMIS dalam dekad-dekad yang akan datang.

Masakan tidak apabila kedua-dua institut ini di sediakan khusus dalam menyediakan figure pelapis yang cukup kompeten untuk memimpin Malaysia & ‘hujjatul Islam’ yang berwibawa pada masa hadapan.

Namun ada beberapa hal yang perlu dicermati oleh seluruh kader-kader Islam dalam GAMIS sendiri. Pertamanya, pembinaan future leader dalam Institut ‘Umar Al-Khatab hendaklah tidak hanya terbatas dalam proses untuk membina kepimpinan yang bersifat lokal semata-mata sebagaimana yang diusahakan oleh Akademi Pemuda Umno .

Tuntasnya, GAMIS pada jangka masa panjang sudah sewajarnya untuk memikirkan kelahiran kepimpinan yang mampu menakluk dunia. Ya, memang bukan suatu perkara yang mudah. Akan tetapi, ianya bukan juga perkara yang mustahil.

Jika seandainya golongan yahudi yang dibenci oleh hampir keseluruhan umat dunia pun mempunyai perancangan yang cukup rapi dalam menyediakan kepimpinan yang boleh ‘memegang’ dunia, maka sudah pastilah pada pandangan penulis Institut Pemikiran ‘Umar Al-Khattab perlu direncanakan sehingga ke tahap itu.

Institut Pemikiran Mus’ab bin Umair juga perlu dihalakan lebih jauh daripada sepatutnya. Dengan aim untuk melahirkan pendakwah sehebat Sheikh Ahmad Deedat, GAMIS sudah sewajarnya mampu mengisi kelompangan kefahaman Islam dikalangan warga rakyat pada masa hadapan.

Justeru pada pengamatan penulis, training yang diberikan dalam institut ini tidak cukup seandainya diberikan dari sudut ilmu penghujahan semata-mata. Akan tetapi keberanian & kekuatan jiwa sang mujahid Islam perlu dipasakkan agar mereka kelak mampu lahir sehebat Mus’ab Ibn Umair.

Kita tidak mahu lagi selepas ini hendaknya, pendakwah-pendakwah yang keluar tidak mampu menjadi benteng dalam mempertahankan hujah-hujah Islam disebabkan kecilnya jiwa & kurangnya keberanian dalam berhujah. Lebih bijak pada pengamatan penulis sekiranya pendakwah-pendakwah masa hadapan ini dibekalkan dengan kefasihan bahasa yang pelbagai.


GAMIS & Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM)

GAMIS telah menganggotai SMM sejak badan koalasi itu ditubuhkan lagi. Bahkan tokoh-tokoh yang memimpin SMM keseluruhannnya datang dari kader GAMIS sendiri. Antaranya ialah Khairol Anuar Mat Zuki, Muhd Ramadhan Fitri Elias, Rifa’uddin, Mohd Nazree Mohd Yunus, Sheikh Umar Bagharib, dan yang terkini Muhammad Haafizuddin Abirerah.

Namun mutakhir ini, keterlibatan GAMIS pada pandangan penulis sekadar keterlibatan individu, bukan keterlibatan organisasi gerakan secara keseluruhannya. Kerana itulah kita lihat tiada lagi kesepaduan antara front-front mahasiswa lain terhadap isu bersama yang ingin dibawa. Kebanyakannya lebih bersifat sendiri-sendiri.

Kerana itu jugalah penulis berpendapat bahawa SMM perlu diberi nafas baru dengan gerakan yang lebih tersusun & kemas. GAMIS perlu proaktif dalam hal ini. Bukanlah suatu yang sihat apabila GAMIS berpendirian bahawa batang tubuh GAMIS boleh melakukan semua hal yang berkaitan aktivisme mahasiswa.

Kesepakatan dengan front-front mahasiswa lainnya perlu diperkemaskan semula. Suatu penjelasan sikap perlu dilakukan anatara GAMIS & seluruh front-front yang bernaung di bawah SMM. Ketumbukan gerakan mahasiswa yang hebat hanya akan berjaya sekiranya GAMIS berjaya menyatukan seluruh gerakan mahasiswa pada satu fokus secara bersama.

Dan lagi, gerakan SMM untuk jangka waktu hadapan juga sudah sampai tahap memperjuangkan model Malaysia yang sepatutnya dalam kerangka sekarang & akan datang. Sudah tiba masanya GAMIS & SMM turun ke seluruh pelosok lapangan dalam ‘menjual’ idealisme mereka itu sehingga menjadi fenomena yang bakal berhasil melahirkan Malaysia Baru dalam konteks kemahuan mahasiswa & anak muda lainnya.

Kesedaran perlu diperhebatkan. Penulis percaya, dengan ‘pencairan’ kefahaman yang optimum di semua peringkat, SMM mampu menjadi pioneer kepada perubahan bentuk model Malaysia di masa hadapan. Kalaupun peringkat pertama gerakan ini tidak berjaya mempengaruhi rakyat secara keseluruhannya, setidak-tidaknya kefahaman yang diusahakan benar-benar ‘cair’ dalam minda & fikrah seluruh mahasiswa di Malaysia.

Medannya, sudah pastinya dalam bentuk yang pelbagai. Namun aspek perdebatan & dialog pada pengamatan penulis merupakan medium kontemporari yang cukup absah dalam membawa kefahaman ini. Ajarlah seluruh mahasiswa untuk mencabar minda & akalnya supaya Gerakan Mahasiswa akan lebih gemilang pada pasca gelombang perubahan ini.







Friday, April 10, 2009

Akhirnya Najib akui ‘politik lama’ punca kekalahan UMNO/BN

Kuala Lumpur 10 April 12.28pm | Ekoran Perdana Menteri ke-6 mengaku pendekatan ‘politik lama’ sebagai punca kekalahan UMNO/BN di Parlimen Bukit Gantang dan Dun Bukit Selambau semalam, Presiden PMiUM meminta semua pihak memperkasa ‘politik baru’.

Kata Shazni Munir Mohd Ithnin, pengakuan tersebut melambangkan bahawa Dato’ Seri Najib Tun Razak sedang memperkasa ‘politik baru’ dalam UMNO sendiri sekarang.

6Dato’ Najib pun sudah akui ‘politik lama’ punca mereka (UMNO/BN) kalah di ‘Dua Bukit’ tersebut. Saya yakin, UMNO sedang usaha perkasa ‘politik baru’. Jadi, tidak dapat tidak pihak lain termasuk kita (PMiUM) sendiri perlu lebih perkasa bermula sekarang,” ujar Shazni.

Beliau turut menyifatkan amalan ‘politik lama’ seperti perkauman sempit, rasuah, ugutan, sekatan ke atas media dan kudeta bakal dimusuhi oleh rakyat disebabkan amalan ‘politik baru’ ini.

Semalam, myMetro melaporkan Najib menegur amalan ‘politik lama’ UMNO dalam persekitaran yang baru.

Kalau lihat pilihan raya di dua bukit (Bukit Gantang dan Bukit Selambau), lihat parti lain, guna metodologi baru tapi UMNO dan BN guna metodologi lama,” jelas Najib.

Sepatutnya, apabila persekitaran berubah, kita perlu mengubah metodologi dan sebagai satu parti dan kerajaan, kita mesti bawa perubahan,” katanya lagi semasa berucap di Majlis Kesyukuran Sempena Perlantikan Perdana Menteri baru di Putrajaya.

Kenyataan Presiden Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMiUM) disampaikan melalui telefon kira-kira jam 9.30 pagi tadi. -mahasiswakini.com

Pimpinan Mahasiswa Beri Harapan Tinggi Kepada Kabinet Baru

Kuala Lumpur 9 April 04:32 pm | Kabinet kepimpinan negara yang diumumkan oleh Perdana Menteri Malaysia ke 6, Dato’ Seri Najib Tun Razak petang tadi mendapat respon pelbagai sudut daripada pimpinan mahasiswa.

Rata-rata kepimpinan mahasiswa memberikan harapan tinggi kepada kabinet baru yang diumumkan petang tadi.

wan-mad1

Saya berharap agar kabinet baru ini dapat berikan suatu anjakan kepada kepimpinan Malaysia, dalam masa yang sama lebih menekankan kepada pembangunan generasi muda seperti kami (mahasiswa),” ujar Riduan Mohamad, Yang Di Pertua Majlis Perwakilan Mahasiswa Universiti Malaya (MPMUM).

Shazni Munir Mohd Ithnin, Presiden Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM) pula menekankan pembangunan generasi muda Malaysia yang lebih baik oleh kepimpinan negara.

syazni

Sememangnya pembangunan material diperlukan, tapi saya menggesa kepimpinan baru ini merencana pembangunan insan yang lebih tersusun dan dapat lahirkan manusia yang berguna pada agama, bangsa dan negara. Mahasiswa nak lihat suatu bentuk anjakan dalam melahirkan generasi muda yang lengkap dengan IQ, EQ dan SQ sebagai generasi muda baru Malaysia,” komen beliau.

Di samping itu, Hafez Sabri, Presiden Gabungan Mahasiswa Bersatu Perak (BERSATU) memberi respon berkenaan pembangunan rakyat sosio-ekonomi di Malaysia.

IMG_2875

Imej yang bersih dan telus sememangnya kita tekankan,dan mahasiswa juga harapkan kepimpinan Negara dengan kabinet baru ini membawa Malaysia ke arah kesejahteraan dari sudut politik , ekonomi dan sosial. Di samping itu, lebih menekankan pembangunan rakyat terbanyak dan marginalize (terpinggir) di kawasan-kawasan pinggir bandar dan kampung,” ujar beliau.

Dalam pada itu, tidak ketinggalan juga kepimpinan mahasiswi yang terus dengan agenda pembangunan mahasiswi member respon kepada kabinet baru yang diumumkan sebentar tadi.

fasihah 2

Saya menggesa Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil (Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat) agar lebih beri penekanan kepada mahasiswi di kampus. Kita mahu mahasiswi lebih kehadapan dan trampil dalam usaha membina lapisan kepimpinan Negara suatu masa nanti dari kalangan wanita,” ujar Fasihah Fauzi, Timbalan Presiden Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM).

Selain itu, Shahrizul Ayuni, Setiausaha Agung Majlis Perwakilan Mahasiswa Universiti Malaya semasa bertemu media petang tadi lebih menekankan soal hubungan antara kaum dan Bangsa Malaysia.

ayuni

Saya mahu kepimpinan Malaysia yang baru lebih menekankan soal integrasi kaum di Malaysia. Kita mahu membina suasana Bangsa Malaysia yang harmoni dan penuh dengan nilai-nilai Malaysia. Tidak wujud lagi soal cauvanisme dan perkauman. Kami (MPMUM) juga berpegang kepada tidak ada nilai perkauman dalam kepimpinan di universiti, semua masalah dipukul sama rata, yang ada hanya satu suara; generasi muda Malaysia,” ujar beliau bersemangat.

Terdahulu, Dato’ Seri Najib Tun Razak, yang mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri keenam pada 3 April lalu, mengumumkan kabinet petang tadi yang lebih kecil dianggotai 28 menteri dengan 25 kementerian, berbanding 32 menteri dengan 27 kementerian semasa pentadbiran Tun Abdullah Ahmad Badawi sebelum ini. -mahasiswakini

Wednesday, April 8, 2009

Pilihan Raya : Antara Medan Menegur & Menjatuhkan Kepimpinan Yang Zalim

Kepimpinan adalah suatu amanah dan tangung jawab, dan umum menyetujui, sebarang penyelewengan hendaklah ditegur oleh rakyat & orang kebanyakan. Dalam hal ini, Rasulullah S.A.W sendiri pernah menerima pandangan dan teguran daripada para sahabat dalam beberapa peristiwa yang terkenal, antaranya peristiwa teguran Al-Habbab Ibn Munzir dalam menentukan kedudukan yang strategik sewaktu peristiwa Perang Badar, dan banyak lagi.

Lebih mengagumkan, tradisi menegur kepimpinan ini terus diperhebatkan sewaktu zaman pemerintahan Saidina Abu Bakr Ash-Shiddiq (Khalifah Ar-Rasyidin Yang Pertama) dengan kata-katanya yang masyhur:

وليت عليكم ولست بخيركم فإن أحسنت فأعينوني و…أطيعوني ما أطعت الله ورسوله فإذا عصيت الله فلا طاعة لي عليكم

Maksudnya: “Sesungguhnya aku hanya dilantik dari kalangan kamu, bukanlah aku yang terbaik dari kamu, kiranya aku berada di landasan kebenaran maka bantulah aku, taatilah aku selagi mana aku mentaati Allah dan RasulNya, maka apabila aku menderhaka Allah maka tiadalah wajib lagi taat kepadaku!”

Bahkan, Islam sendiri pada prinsipnya mempunyai sikap yang tegas terhadap para pemerintah yang berlaku zalim & mengamalkan pemerintahan yang bersifat tirani, kuku besi atau autokratik. Sabda Nabi S.A.W:

أشد الناس عذابا يوم القيامة إمام جائر

Maksudnya: “Sekeras-keras manusia yang dikenakan azab di akhirat kelak adalah pemimpin yang zalim!”

Jelas, menegur kepimpinan yang zalim bukan sekadar suatu anjuran, bahkan suatu sunnah yang bersumberkan daripada pengamalan Rasulullah S.A.W & para sahabat.

Sungguhpun begitu, seandainya pemimpin yang ditegur tidak mengendahkan teguran terbabit, ada beberapa pandangan yang diberikan kalangan ulama’ berhubung hal yang seperti itu.

Pertamanya, Islam membenarkan pemimpin tersebut diturunkan kerana ia dianggap pemimpin negara Islam yang menyeleweng (pandangan Syeikh Sa’id Hawwa di dalam kitabnya Jundullah Tsaqofata Wa Akhlaqan, pada muka surat 380).

Dan dalam konteks ini, ulama’ lain juga menambah bahawa proses menurunkan pemerintah itu hendaklah dilakukan secara aman.

Prof. Dr. Muhd Salam Madkur menegaskan adalah suatu kewajiban untuk menurunkan pemimpin fasiq dengan syarat kita mempunyai bukti tentang kefasiqan pemimpin tersebut & ia tidak lagi boleh diberi nasihat.

Demikian juga pandangan Imam Abu Hanifah, Imam al-Qurtubi, Imam Abu Hamid al-Ghazali, Imam as-Syawkani dan Dr. Yusoff Al-Qaradhawi.

Imam Al-Mawardi juga ada menyebut bahawa dalam sesebuah negara Islam yang menyeleweng, seorang khalifah itu boleh diturunkan jika berlaku kezaliman dan fasiq.

Pandangan yang keduanya pula ialah pandangan yang dipelopori oleh Abu Yu’la al-Farra al-Hanbali dengan mengikut pandangan Imam Ahmad Hanbal yang tidak menentang dan menjatuhkan Khalifah Al-Makmun dan Al-Mu’tasim sungguhpun dengan jelas keduanya melakukan kezaliman.

Imam an-Nawawi pula dalam mensyarahkan hadith muslim, “Adapun yang keluar daripada mentaati pemerintah dan memeranginya (maksudnya di sini ialah dengan mengangkat senjata, bukan di medan pilihanraya dan undi) adalah haram dengan ijma’ sekelian kaum muslimin, sekalipun mereka itu fasik ataupun zalim.

Pendapat ini disandarkan oleh kebanyakan ulama’ pada sebab yang kuat iaitu dikhuatiri fitnah & kerosakan yang timbul sewaktu memerangi pemerintah itu lebih besar daripada fitnah yang timbul akibat daripada kezaliman yang dilakukan oleh pemerintah.

Dalam mensyarahkan hadith lain pula An-Nawawi menyebut: “Sesungguhnya tidak harus menentang pemerintah hanya sekadar zalim atau fasik selagi mereka tidak mengubah suatu daripada kaedah-kaedah Islam. (Pada Syarah Sahih Muslim oleh An-Nawawi, jilid 12)

Lantas, Ad-Dawudi dalam memberi jalan keluar pada permasalahan ini telah mengeluarkan pandangannya bahawa: “Yang menjadi pegangan para ulama, mengenai para pemerintah yang zalim ialah sekiranya mereka boleh dipecat tanpa sebarang fitnah dan kezaliman, maka wajib dipecat, jika tidak, maka wajib bersabar” (Fath al-Bari oleh Ibn Hajr al-Asqalani pada muka surat 498, jilid 14)

Dan pandangan yang lebih ‘keras’ daripada Ibn ‘Atiyyah pula menyatakan: “As-Syura adalah prinsip syari’ah, mana-mana pemimpin yang tidak ber’syura’ bersama ahli agama, maka menjatuhkannya adalah WAJIB”

Justeru, kesimpulan yang boleh kita perolehi setakat penghujahan di atas ialah kaedah pilihanraya yang digunapakai pada hari ini merupakan suatu kaedah yang berkesan & sah di sisi syarak untuk memecat pemimpin zalim dengan aman, tanpa fitnah dan pembunuhan. Bahkan, tidak cukup sekadar itu, wajib pula berusaha mengubah kemungkaran melaluinya.

Friday, April 3, 2009

Surat Terbuka PMIUM Buat Perdana Menteri Malaysia Yang Keenam

Salam sejahtera buat pemimpin,

Salam kasih buat seluruh rakyat.

Alhamdulillah, Allah s.w.t dengan kebijaksanaannya, telah pun mencaturkan bagi rakyat di bumi Malaysia ini, bahawa Perdana Menteri Malaysia yang keenam adalah insan yang bernama Dato’ Seri Najib Tun Abdul Razak. Sebagai manusia, tuntutan kepimpinan adalah suatu kewajipan yang perlu dipenuhi bagi mengemudi suatu bahtera menuju matlamat.

Berkenaan ini, Ar-Rasul s.a.w berpesan buat umatnya: “Apabila keluar tiga orang dikalangan kamu, maka hendaklah melantik dari kalangan kamu seorang ketua.” Maka sekali lagi pujian dipanjatkan kepada Allah s.a.w, kerana kehendak Nabi s.a.w ini kita dapat tunaikan.

Pimpinan kami,

Sesungguhnya Allah s.w.t menjadikan setiap perkara punyai hikmah dan pengajaran disebaliknya. Kita sedia maklum, bahawa amanah kepimpinan itu sangat berat dan tanggungjawabnya sangat besar. Ia bukan amanah yang diberi secara percuma dan bukan jua tugas yang memerlukan semata-mata melunaskan kehendak-kehendak orang. Bahkan, ia lebih dari itu.

Dalam hal ini, takutilah wahai pemimpin akan pesanan Nabi s.a.w ini: “Tidak ada seorang pemimpin pun yang dilantik untuk urusan Muslimin (orang Islam dan lain), kemudian dia tidak bersusah payah untuk mereka dan menasihati mereka, kecuali tidak dimasukkannya ke syurga bersama-sama mereka.” Ia barangkali sebuah amaran dan ia juga satu ingatan.

Wahai pemimpin yang diberi kuasa,

Janganlah dilalaikan dengan kuasa serta pangkat yang dikurniakan kepadamu. Dan jangan pula kamu terpedaya dengan banyaknya teman dan rakan, penuhnya pujian dan sanjungan, serta harta dan kelengkapan yang ada disekelilingmu. Hendaklah bersifat zuhud dan bersederhana.

Ambillah apa yang perlu sahaja untuk urusan duniamu. Agihkanlah lebihan hartamu buat rakyatmu yang kesusahan dan kelaparan. Agar Allah s.w.t memberkati kehidupanmu dan memandu langkah pimpinanmu.

Pemimpin yang kami sanjungi,

Renung-renungkanlah masa depan negara ini.

Lebih 50 tahun sudah, Malaysia diberikan nikmat kemerdekaan. Merdeka daripada penjajahan kuasa Barat. Namun, wahai pimpinan kami, sehingga kini erti sebenar kemerdekaan itu belum lagi dirasai. Apa makna merdeka andai ada pimpinan kami yang tidak amanah memberi rasuah?

Apa maksud merdeka andai ibu-bapanya tidak menghiraukan anak-anaknya? Benarkah kita sudah merdeka jika remajanya banyak terlibat gejala sosial seperti dadah dan pelacuran? Betulkah kita merdeka andai sistem pendidikan kita tidak mampu melahirkan generasi yang baik akhlaknya?

Dan benarkah sudah kita bebas sedangkan hukum-hakam Allah tidak dilaksanakan malah diketepikan, lalu mengambil undang-undang sekular dan Barat sebagai tunjang negara? Benarkah kita negara yang dikatakan merdeka itu??

Wahai pemimpin, sesungguhnya tanggungjawabmu sangat besar.

Kami bukanlah rakyat yang terbaik untuk memberi nasihat ini. Bukan jua sempurna untuk mengatakan sebegitu. Namun, kerana sayangnya kami kepada negara yang tercinta, agama yang disanjungi, serta pimpinan yang kami harap-harapkan. Warkah nasihat ini mungkin sedikit sebanyak bisa menjadi penawar dan ingatan betapa payahnya amanah yang bakal kamu hadapi kelak.

Wahai Perdana Menteri Malaysia yang keenam,

Awaslah dengan rintangan dan cabaran. Sesungguhnya tanggungjawabmu sangat besar. Segala pundak jutaan rakyat ini terbeban di bahumu. Sesungguhnya amanahmu sangat berat. Siapakah yang akan ditanya di akhirat nanti, jika bukan kamu seandainya seorang rakyatmu yang mati kerana kelaparan.

Titisan peluh rakyat, deraian air mata rakyat, tumpahan darah dan nyawa, anak-anak yang menangis kelaparan susu, ibu-ibu yang mendekam kesejukan, rumah-rumah yang dirobohkan, muda-mudi yang dilalaikan, harta benda yang dilarikan dan rumah-rumah yang ditinggi dan diluaskan. Semua ini dibahumu. Sesungguhnya, amanah dan tanggungjawabmu benar-benar berat dan besar.

Tinggal lagi apa yang bakal kamu lakukan, wahai pemimpin kami.

Sesungguhnya panduan yang paling benar adalah Al-Quran dan Sunnah Nabi s.a.w. maka gunakanlah ia dalam mendepani kepimpinanmu. Tidak sekali-kali akan tersesat dengan dua rujukan berguna ini. Pakailah ia dengan sebaiknya.

Wahai pemimpin yang memandu kami,

Cukuplah sekadar ini. Moga Allah membuka pintu-pintu hati mu. Kami sentiasa berdoa agar dikurniakan pemimpin yang dapat memandu dan membimbing, bukan sekadar di dunia, malah bersama-sama beriringan menuju syurga di akhirat kelak.

Semoga Allah memayungkan rahmat-Nya.

Sekian.

Nasihat ikhlas buat Perdana Menteri Malaysia keenam.

"Fikrah yang jelas itu hanya akan 'bergerak' dengan keberanian"

Gerakan mahasiswa semakin mendapat tempat dalam kalangan masyarakat dan saban hari semakin menjuarai isu-isu nasional yang lebih matang dan memerlukan idea-idea segar dan kepimpinan jiwa besar mahasiswa. Secara khususnya, Gerakan Mahasiswa Islam (GMI) terus menampilkan figura demi figura dalam usaha menjadi ‘catalyst ‘ dan ‘conscience of majority’ kepada masyarakat. Perjuangan anak muda terutamanya GMI sebagai pemacu kepada gerakan dakwah kampus dan nasional juga semakin diperlukan oleh masyarakat.

Namun, kita lihat suatu bentuk kelembapan dan kemunduran idealisme kepimpinan mahasiswa kampus dalam menjadi juru bicara kepada masyarakat dan kumpulan pendesak (interest group) yang lengkap dengan nilai-nilai intelektual tanpa mempunyai sandaran politik oportunis.

Menyelusuri ruang lingkup aktivisme mahasiswa dan persoalan keperluan golongan anak muda khususnya dalam Gerakan Mahasiswa Islam (GMI) di kampus, bersama wartawan Mahasiswakini, MOHD SAID SABIR telah berkesempatan menemuramah saudara MOHD SHAZNI MUNIR MOHD ITHNIN selaku Presiden Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM) yang baru sahaja memegang tampuk kepimpinan bagi sesi ini. Ikuti penjelasan beliau tentang permasalahan dan situasi yang dihadapi secara realiti oleh Gerakan Mahasiswa Islam (GMI) dalam mendepani cabaran-cabaran dakwah dan tarbiyah masa kini.

MAHASISWAKINI: Apa ekspresi saudara selepas dipilih menjadi Presiden PMiUM yang baru?

SHAZNI MUNIR: Macam-macam perasaan ada. Resah pun ada, suka pun ada. Resah sebab diberikan bebanan yang berat membawa perubahan dalam transisi gerakan PMi yang lebih besar. Gembira sebabnya dalam keadaan begini pun, ada orang memilih. [ketawa].

Maksud ‘keadaan begini’ itu, bagaimana?

Iyalah…dalam keadaan tidak popular di dalam mainstream; dipandang sebagai seorang ‘budak nakal’ dalam pergerakan PMiUM, pun masih diberi kepercayaan untuk mendokong agenda perubahan yang lebih besar selaku peneraju utama PMiUM.

Saudara sebagai ‘orang baru’ yang baru naik sebagai Presiden,bagaimana saudara melihat orientasi aktivitisme PMiUM pada ketika ini?

Saya sudah mengikuti perkembangan PMiUM sejak 2007 lagi. Saya pernah menjadi ahli usrah dan pernah menjadi Naqib. Sehingga kini, saya lihat aktiviti PMiUM pelbagai. Formalnya, PMiUM pernah menganjurkan Lakium…Latihan Kepimpinan Islam Universiti Malaya. Selain itu, PMiUM menganjurkan beberapa forum secara rasmi dengan kerjasama baik dari Dr. Azarae (Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni).

Selalunya, program sebeginilah yang disebut program oriented atau extra-mural activities. Saya tidak kisah apa orang nak kata, yang penting selagi kita boleh manfaatkan ‘padang’ Universiti untuk bawa Islam, selagi itu kita berpencak dalam padang ini.

Yang menarik, PMiUM juga ada menganjurkan program-program tidak formal yang bersifat mendidik . Dialog Intelek berhubung krisis politik Perak umpamanya. PMiUM bersama-sama Bersatu Perak dan beberapa pertubuhan lain cuba menganjurkan forum yang sensitif tersebut tanpa kebenaran daripada TNC HEPA di Masjid Ar-Rahman.

Ya, saya rasa saya tidak perlu mengulas lanjut natijah yang diperoleh, kerana kita semua tahu; kepemimpinan PMiUM pada sesi yang lepas diugut…PMiUM kononnya akan diharamkan.

Selain itu, kepemimpinan kita juga sudah menjadi pemain-pemain siasah di peringkat Nasional. Penyertaan berani kita bersama Solidariti Mahasiswa Selamatkan Bahasa Melayu (SMSBM), Gabungan Mansuh PPSMi (GMP), Gabungan Mahasiswa Mansuh AUKU (GMMA), Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) dan banyak lagi. Dan yang tak kurang menarik, mahasiswa juga pernah mencabar Perdana Menteri Malaysia YAB Dato Seri Abdullah Hj. Ahmad Badawi dalam Pilihanraya Umum lepas dengan menubuhkan parti sendiri - Parti Mahasiswa Negara (PMN).

Cuma, pada saya, rasmi atau tidak…halal atau haram aktiviti kita ini bukanlah bergantung pada ‘tandatangan TNC HEPA’ semata-mata. Kita harus melihatnya juga dari jendela Perlembagaan dan Hak Asasi. Bagi saya mudah, selagi tidak mengangkat senjata, menceroboh hak asasi orang lain dan tidak membawa gerakan subversif atau komunis, aktiviti kita masih sah dianjurkan di Malaysia. Inilah yang saya lihat menarik pada kita (PMiUM).

Boleh saudara jelaskan dengan lebih terperinci apakah yang dimaksudkan dengan program oriented; dan apakah yang dimaksudkan sebaliknya?

Program oriented ialah program-program yang bersifat official; ada protokol-protokol tertentu dan perlunya kelulusan daripada HEP. Cuma dalam hal ini, saya sangat-sangat risau PMiUM akan hilang nilai-nilai aktivitismenya kerana terlalu cenderung pada program oriented. Kesannya, ya.. Mungkin sahaja PMiUM bakal menjadi pertubuhan ‘biasa’ sebagaimana beberapa pertubuhan Universiti sebelum ini. Mereka pernah menjadi lagenda gerakan mahasiswa Malaysia, namun sekarang ia sekadar suatu sejarah klasikal.

Kita perlu berurusan dengan semua pihak untuk menganjurkan aktiviti Islami, tetapi jangan sampai kita hilang fokus atau terlalu melayan birokrasi pihak-pihak tertentu dalam Universiti sehingga menghalang aktivitisme ‘faham Islam’ kita ini.

PMiUM patut dipandang sebagai sebuah gerakan mahasiswa yang genuine. Iaitu, kejayaan kita bukan sekadar dilihat bergantung pada satu-satu program itu samada mendapat kelulusan HEP atau tidak; perlu ada Perasmi dan sebagainya, yang lebih bersifat protokol. Pada saya, kejayaan satu-satu program itu ditandaaraskan berdasarkan sejauh mana warga kampus dapat menyerap mesej yang cuba kita sampaikan; Ya, jika tidak, tidak perlulah ditekankan soal kerasmiannya.

Adakah kecenderungan menganjurkan program oriented tersebut berpunca oleh masalah fikrah; atau bagaimana?

Bagi saya, kecenderungan ini kita tidak boleh kata berpunca dari masalah fikrah. Cumanya, bagi saya ‘orang luar’ PMiUM secara warisannya melihat sebegitu. Dan kita pun dengan sesi kepemimpinan yang lepas selama satu tahun, kita tidak mengatakan bahawa ianya suatu medan yang cukup untuk membuat perubahan mentaliti dan budaya berfikir dalam kalangan ahli-ahli gerakan PMiUM. Cuma, jika mahu memperkatakan soal fikrah, saya akan jelaskan dengan lebih lanjut kemudian.

Masih soal fikrah, bagaimana saudara melihat orientasi atau budaya berfikir dalam kalangan ahli-ahli gerakan PMIUM pada ketika ini?

Ada perbezaan kini dan juga pada masa akan datang. Pada ketika ini, tidak semua ahli gerakan PMiUM yang feel, yang rasa diri mereka membawa suatu beban yang besar untuk membawa masyarakat terutamanya di kampus kepada Islam. Tapi untuk akan datang seboleh mungkin kita akan berusaha memasakkan kepada seluruh ahli gerakan bahawa pentingnya mereka bertanggungjawab memandu manusia semuanya kepada Tuhan, kepada sistem yang Allah Taala telah tetapkan.

Adakah perbezaan kini dan masa depan disebabkan oleh kelemahan dan masalah fikrah itu sendiri?

Ya. Dalam konteks ini kita harus jujur mengakui bahawa fikrah itu dibina melalui program-program tarbiyah PMiUM, seperti usrah, daurah, mukhayyam, tamrin dan sebagainya. Maka kalau program-program itu kita tak dapat jalankan dengan kondisi pelaksanaan yang terbaik, kita tak mampu nak membentuk kelompok usrah dengan acuan yang terbaik.. maka suasana itu akan hasilkan produk seperti yang kita nampak sekaranglah.

Adakah dengan masalah fikrah ini juga menyebabkan orientasi pergerakan PMIUM itu sendiri dilihat tidak genuine? ataupun sebaliknya?

Saya nampak ada kaitan disitu. Sebab tanpa fikrah yang jelas dalam kalangan anak muda Islam tentang apa yang nak dibawa, kita akan jadi suatu entiti yang terpaksa mengikut orang lain. Bersifat follower, bukan interest group atau kumpulan pendesak. Bagi saya, fikrah anak muda Islam dapat diketahui samada jelas & mantap atau tidak, dengan melihat cara mereka bergerak, dan cara mereka berfikir.

Kalau fikrah itu tak jelas, bagaimana sebagai anak muda yang diberikan Allah Taala suatu semangat tinggi, dengan jolokan ‘the young angry man’, sarat dengan idea-idea segar, namun masih tak mampu memberi sumbangan yang hebat kepada Islam? Dan pada saya ianya langsung sia-sia.

Untuk menangani kelonggaran fikrah ini, saudara sebagai pemimpin kepada gerakan mahasiswa yang mempunyai sejarahnya sendiri, apa yang perlu dan patut dilakukan untuk mengembalikan fikrah yang genuine dan gerakan mahasiswa yang lebih terkedepan?

Pada saya yang pertama ialah pendidikan. Pendidikan yang sebenarnya dalam konteks pembinaan & pemurnian fikrah secara bersepadu. Sebab yang membezakan gerakan ini (PMiUM) dengan pertubuhan dan gerakan-gerakan Islam yang lain ialah bagaimana metod PMiUM membina fikrah anak-anak muda yang bakal lahir sebagai kader-kader dakwah.

Saya nampak perlunya di peringkat PMiUM untuk kembali kepada fikrah asliah sebagai seorang anak muda. Ya, orientasi penjelasan fikrah perlu di ubah, tidak hanya selesa dengan unsur-unsur indoktrinisasi semata-mata. Lantas di tambah dengan pengisian-pengisian yang lebih progresif dan semasa, saya yakin ahli gerakan PMIUM akan tampil sebagai kelompok berbeza dihadapan massa dan mampu menghasilkan idea-idea yang menjadi alternatif terbaik kepada agama, dan Bangsa Malaysia sendiri.

Secara objektifnya, apa pemfokusan yang saudara akan lakukan dalam masa terdekat dan untuk mengembalikan persoalan kelemahan dari sudut fikrah tadi?

Peringkat pertama, saya akan menyusun kembali sistem-sistem tarbiyah yang telah dimulakan pada siri kepimpinan yang lepas, dan dalam masa yang sama kita akan membina jaringan yang lebih besar untuk kita bawa suatu perubahan ke arah yang lebih baik. Lantas, ahli PMiUM yang lahir sebagai seorang aktivia-aktivis dakwah diharapkan akan lebih banyak lahir di lapangan-lapangan fakulti.

Dan pada saya, sangat impikan suatu bentuk gerakan PMiUM yang didokong oleh kalangan mereka yang datang daripada Pusat Sukan, Pusat Budaya, yang belajar bukan dari latarbelakang agama tapi mereka mampu membawa orang kepada kefahaman Islam yang sebenar. Ya, pastinya semua itu terhasil daripada sistem tarbiyah gerakan ini.

Untuk peringkat nasional, kita lihat saudara merupakan antara figura yang sudah berdepan dengan pelbagai cabaran di peringkat nasional, dengan kemelut politik di Perak dan sebagainya. Tapi umum melihat hanya saudara dan segelintir kecil daripada aktivis-aktivis mahasiswa Islam kampus yang terkehadapan, apa komen saudara tentang perkara ini?

Pada saya , kalau perkara tersebut ialah segelintir kecil, saya rasa tidak boleh salahkan pandangan semata-mata, cuma apa yang perlu kita persoalkan ialah, kenapa perkara itu terjadi? Pada saya kurangnya pasakan-pasakan kefahaman yang mendalam terhadap perjuangan yang sebenar. Dan kerana itu kita tak mampu nak lihat kalangan anak muda Islam yang iltizamnya hebat & ajaib untuk merealisasikan Islam dalam konteks semasa.

Lagi, keberanian untuk merubah keadaan yang pincang perlu dibudayakan. Fikrah yang jelas itu hanya akan bergerak dengan keberanian. Pada saya, gerakan anak muda Islam pada hari ini takkan ke mana tanpa keberanian. Ya…. dakwah sama sekali tidak akan pernah menghalang kita daripada mengatakan ‘jangan’ dan ‘tidak’ pada penyelewengan; dan itu semua pastinya berpaksikan pada tauhid…

Secara jujurnya pencapaian saudara sehingga sejauh ini adakah disebabkan oleh fikrah yang telah dibentuk secara genuine atau sebenarnya ada unsur-unsur lain yang perlu untuk digarap dalam kepimpinan mahasiswa sekarang?

Ya, pada saya memang fikrah yang genuine, sebab dengan fikrah itulah kita dibina untuk menjadi seorang mujahid zaman yang dapat membuat perubahan dalam konteks yang lebih besar. Sebab kita memandang UM (Universiti Malaya) bukan sekadar dari pintu PJ (Petaling Jaya) ke KL (Kuala Lumpur).

Tapi kita pandang UM dalam konteks bagaimana kita nak membawa UM ini kepada suatu bentuk perubahan sehingga masyarakat luar, dalam negara atau internasional melihat UM ini sebagai universiti yang melahirkan kader-kader dakwah & pejuang masyarakat yang hebat.

Akhirnya secara tuntas dan ringkas, apa harapan saudara kepada kepimpinan mahasiswa tak kita sama ada dalam konteks UM ataupun peringkat nasional?

Hm.. [sambil memandang jauh] Gerakan kita perlu transformasi. Di peringkat Universiti Malaya, saya mengimpikan suatu ketumbukan kader dakwah PMIUM yang dapat memberikan penghayatan yang penuh kepada iltizam perjuangan Islam yang sebenar. Sebelum pergi kepada itu, perlulah kepada pembinaan fikrah yang jelas dalam kalangan kader-kader dakwah PMIUM.

Yang kedua di peringkat nasional, saya mengharapkan agar seluruh kader dakwah, seluruh pimpinan PMI kampus-kampus di Malaysia, front-front mahasiswa lainnya, lebih berani dalam mengutarakan buah fikir yang lebih genuine dan bersifat semasa, maknanya, kita tak mahu lihat lagi kenyataan-kenyataan pimpinan mahasiswa yang keluar selepas kenyataan ahli politik. Buah fikiran dan analisis yang kononnya kritis keluar selepas buah fikiran pimpinan-pimpinan NGO. Maknanya pemikiran yang stereotype dan lahir selepas orang lain cetuskan perlu dibuang jauh. Kita perlu bina suatu bentuk gagasan idealisme yang baru dan segar. Perlu ada enlightment dari sudut intelektual.

Dan ringkas di peringkat yang lebih besar, maksud saya antarabangsa, saya sangat bercita-cita untuk melihat sumbangan yang lebih luas sifatnya daripada ketumbukan anak muda Islam. Dalam jaringan dakwah kita, singgungan-singgungan kita kepada masyarakat dunia, pastinya bukan suatu peranan yang kecil jika dilaksanakan secara konsisten & berperingkat-peringkat.