Showing posts with label Laporan Akhbar. Show all posts
Showing posts with label Laporan Akhbar. Show all posts

Thursday, December 3, 2009

Berhubung Laporan Polis Yang Dibuat Oleh Ketumbukan Pemuda PAS & PKR

JEMPUTAN KE SIDANG MEDIA SMM BERHUBUNG PENDIRIAN DEWAN PEMUDA PAS & ANGKATAN MUDA PKR TERHADAP DEMONSTRASI DI KELANTAN & PULAU PINANG.

Kami Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) melihat terdapat beberapa kepincangan yang berlaku dalam perjuangan demokrasi & meninggikan prinsip keadilan yang dilagangkan oleh Pakatan Rakyat (PR) dewasa ini, khususnya yang melibatkan PAS & PKR. Laporan polis yang dilakukan oleh pimpinan Dewan Pemuda PAS Kelantan & Naib Ketua Angkatan Muda PKR Pulau Pinang, Ahmad Azrizal Tahir telah mengundang pelbagai respon negatif daripada pelbagai pihak yang mula meragui kejujuran dalam berprinsip yang mereka uar-uarkan kepada rakyat selama ini. Oleh yang semikian, kami yang juga merupakan sebahagian daripada rakyat Malaysia sudah mula merasakan ketidakjujuran mereka sepertimana mereka menyokong demonstrasi GMI & BERSIH sebelum ini.

Justeru kami selaku pihak ketiga yang berpendirian untuk tidak meletakkan kepentingan kepada mana-mana parti politik akan mengadakan satu sidang media untuk membuat beberapa respon pandangan, tuntutan & desakan kepada pihak Dewan Pemuda PAS & Angkatan Muda Keadilan yang telah mula dilihat membelakangkan pendirian mereka berhubung demonstrasi sebelum ini & merasakan diri mereka sentiasa betul dalam gerak laku politik yang mereka ambil. Sidang media tersebut akan berlangsung di Pejabat Empower, Petaling Jaya, pada hari Jumaat (esok) jam 11 pagi. Oleh yang demikian, seluruh media dijemput hadir untuk mengetahui lebih lanjut pendirian mahasiswa dalam soal ini. Terima kasih.

Shazni Munir Mohd Ithnin.
Pengerusi,
Solidariti Mahsiswa Malaysia (SMM)

Lagi Forum Anak Muda!

NEW ERA FORUM

The Triangular Relationship: State, Ethnic and Religion----Voices of Youth


Date: 23rd December 2009(Wed)
Time: 7:00-9:00pm
Venue: New Era College, Kajang.


Forum Agenda:

Chairman: Mr. Loo Chuan Boon(not confirm yet)

MC: Ms. Seow Mun Kei

6.30–7.00pm Registration

7.00–7.10pm Opening Address

7.10–7.30pm Panel 1: Muhammad Hilman B. Idham, Presiden Kumpulan Aktivis Mahasiswa Independen (KAMI) dan Timbalan Yang Di Pertua Persatuan Mahasiswa Sains Politik UKM.

7.30–7.50pm Panel 2: Kelvin Lee See Kiang, Former Chairman of New Era College Student Union. Journalist of “The Rock News”.

7.50–8.10pm Panel 3: Shazni Munir Mohd Ithnin, Pengerusi Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), Presiden Persatuan Mahasiswa Islam UM dan Timbalan Presiden Gabungan Mahasiswa Islam Semenanjung (GAMIS)

8.10–8.30pm Panel 4: (not confirm yet)

8.30– 8.40 pm Q & A

8.50 –9.00pm Closing Remarks by Chairman

9.00pm- Refreshment and Discussion

Thursday, October 22, 2009

Etnik, Agama Dan Raja: Kesannya Terhadap Perkembangan Demokrasi Di Malaysia.....Apa Kata Orang Muda?

FORUM ORANG MUDA: JOM TURUN RAMAI-RAMAI!!!

Etnik, Agama Dan Raja: Kesannya Terhadap Perkembangan
Demokrasi Di Malaysia.....Apa Kata Orang Muda?

Pendapat orang muda jarang mendapat tempat. Pandangan orang muda sukar mendapat ruang. Suara orang muda kurang pula diberi peluang. Menyedari hal ini, Penerbitan Gerakbudaya telah mengambil inisiatif untuk menganjurkan suatu forum perbincangan dengan membariskan beberapa orang tokoh muda dari pelbagai latarbelakang sebagai panelis untuk berbincang dan menyuarakan fikiran mereka tentang persoalan-persoalan “panas” yang telah dan sedang melanda tanah air kita dewasa ini.

Apa pandangan orang muda tentang soal etnik? Apa pendapat orang muda tentang soal agama? Apa pula fikiran orang muda tentang soal Raja? Apakah pula pemahaman orang muda tentang demokrasi? Adakah etnik, agama dan Raja memberi kesan terhadap perkembangan demokrasi di negara kita ini? Adakah kesannya negatif atau positif? Adakah ianya menghalang atau membantu di dalam proses pendemokrasian negara kita? Apa kata orang muda? Apa analisa orang muda? Apa suara orang muda?

Untuk mengetahui suara orang muda di dalam membincangkan persoalan-persoalan “panas” ini, jom kita ramai-ramai datang, hadir dan sertai forum orang muda ini. Walau pun panelisnya orang muda tetapi forum ini terbuka untuk semua, muda dan tua, baru dan lama.

Berikut adalah maklumat tentang forum orang muda ini:

Tarikh : 24 Oktober 2009 (Hari SABTU)

Masa : 2.30 Petang – 5.00 Petang

Tempat : KL & Selangor Chinese Assembly Hall, No. 1, Jalan Maharajalela, Kuala Lumpur
(Bangunan sebuah berwarna putih di hadapan Stesyen Monorail Maharajalela).


Biodata Ringkas Para Panelis Muda di Forum Orang Muda:

Fahmi Reza:
Fahmi Reza ialah seorang pereka grafik dan pembikin filem dokumentari yang menggunakan seni sebagai medium untuk membangunkan kesedaran di kalangan orang muda ke arah perubahan sosial dan politik yang lebih adil dan demokratik. Beliau telah menghasilkan dua buah filem dokumentari sejarah perjuangan politik radikal yang berjudul “10 Tahun Sebelum Merdeka” dan “Revolusi 48”. Filem dokumentari beliau yang berjudul “10 Tahun Sebelum Merdeka” (http://10tahun.blogspot.com) telah menjadi sebuah filem dokumentari “cult” yang cukup popular di kalangan anak-anak muda.

Shazni Munir Mohd Ithnin:
Shazni Munir adalah pemimpin mahasiswa yang masih menuntut di Universiti Malaya dan aktif dalam gerakan mahasiswa di tingkat nasional. Selain dari menerajui Persatuan Mahasiswa Islam (PMI) Universiti Malaya dan memimpin Gabungan Mahasiswa Islam Semenanjung (GAMIS), beliau juga merupakan Pengasas Bersama Gerakan Mahasiswa Mansuhkan AUKU (GMMA) dan Pengerusi Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM). Beliau juga turut aktif di dalam bidang penulisan dan idea serta cetusan pandangan beliau boleh dibaca di blog Perubah Zaman (http://shaznimunir.blogspot.com) .

Lee Kai Loon:
Lee Khai Loon adalah bekas aktivis mahasiswa dari Universiti Teknologi Malaysia. Beliau pernah menerajui organisasi pemuda DEMA semasa beliau mahasiswa dan beliau jua pernah bertugas di Hong Kong sebagai anggota sekretariat Asian Students Association (ASA). Sekembalinya beliau daripada Hong Kong beliau mendirikan Youth For Change (Y4C) dan menjadi salah seorang daripada anggota sekretariatnya.


Mohd Hariszuan Jaharudin:
Mohd. Hariszuan adalah mahasiswa tahun akhir jurusan Sains Politik di UKM. Beliau merupakan salah seorang daripada pengasas ruang wacana bebas blog Diskusi Santai Kopi (Diskopi). Di samping aktif menulis di Diskopi beliau juga aktif di dalam Kumpulan Aktivis Mahasiswa Independen (KAMI). Di KAMI beliau menerajui Biro Majlis Diskusi dan Dialog (MADILOG). Selain daripada itu beliau juga terlibat aktif di dalam penyelidikan pilihanraya kecil di Permatang Pasir dan Bagan Pinang. Idea dan cetusan pandangan beliau boleh dibaca di blog Diskopi (http://diskopi.wordpress.com).


Komentar Forum: Bro TukarTiub a.k.a Hishamudin Rais

Hishamuddin Rais adalah orang tua yang perawakan, otak dan jiwanya tak pernah tua. Beliau adalah pengasas mazhab Non- Governmental Individual (NGI) dan pengarang buku agitasi khusus buat orang muda “Pilihan Raya atau Pilihan Jalan Raya” dan buku separa-intelektual “Keganasan, Penipuan & Internet”. Beliau sekarang aktif menulis di blog separa-tabloid http://tukartiub.blogspot.com yang sudah pun menjadi “cult classic” dengan hits hampir 5 juta dalam tempoh hanya 1 tahun sahaja.

Sebarang pertanyaan atau maklumat sila hubungi: Ms Lee Siew Hwa di 03-7957 8342/8343 atau 016-465 5107; Shahrir Halim di 012- 321 5803 atau Mr Chong Tong Sin di 016-379 7231.


Laman web: http://www.gerakbudaya.com

BERGERAK MEMBANGUNKAN BUDAYA WACANA
DI KALANGAN ORANG MUDA DAN MAHASISWA

Saturday, October 17, 2009

Khas Untuk Pn Thanavati (Penasihat Undang-Undang UM), En Ambhihabathy (Penyelaras Pendakwaan AUKU) dan Dr Azarae Idris (TNC HEPA UM)

Larangan Siswa Anggotai Politik Lawan Prinsip - Saifudin Abdullah

KUALA LUMPUR: Kerajaan diminta membenarkan mahasiswa menganggotai parti politik pilihan mereka dan aktif dalam politik, walaupun Pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) yang akan melalui proses bacaan kedua di Dewan Rakyat Ogos ini menghalang mahasiswa berbuat demikian.

Pihak kerajaan juga disaran tidak bimbang dengan pembabitan mahasiswa dalam politik kerana yakin langkah itu akan mempercepatkan kematangan sahsiah mereka di samping membawa manfaat kepada pembangunan politik negara. Timbalan Menteri Pembangunan, Usahawan dan Koperasi, Datuk Saifuddin Abdullah, berkata sebagai bekas pemimpin mahasiswa, beliau mengalu-alukan pindaan AUKU yang membenarkan pemimpin parti politik mendampingi mahasiswa, tetapi berharap mahasiswa dibenarkan menganggotai parti politik.

"Larangan mahasiswa menganggotai parti politik berlawanan dengan prinsip pilihan raya umum apabila mahasiswa yang layak mengundi akan memilih parti politik tertentu. Saya bersetuju jika mahasiswa dilarang memegang apa-apa jawatan dalam parti politik, tetapi benarkan menganggotai parti politik pilihan mereka.

"Saya tidak mahu kerajaan terus digelar 'double-standard' atau tidak adil kerana mahasiswa tidak dibenar menganggotai parti politik sebaliknya mahasiswa di luar negara diberikan kebebasan itu," katanya. Saifuddin yang juga bekas Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM) serta bekas Presiden Persatuan Bahasa Melayu Universiti Malaya (UM) berkata, kerajaan tidak perlu bimbang pembabitan mahasiswa dalam politik kerana pegangan mereka terhadap politik akan berubah seiring peningkatan usia dan kematangan.

Semalam Berita Minggu melaporkan, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pemimpin parti politik, termasuk pembangkang akan dibenarkan memberi ceramah kepada mahasiswa institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dengan syarat ada kaitan dengan pengajian dan akademik mahasiswa apabila AUKU diluluskan Dewan Rakyat, Ogos ini. -sumber-

Sunday, August 16, 2009

Tahniah Ustaz Akhil Hayy

Baru beberapa jam yang lepas, penulis mendapat khabar daripada rakan-rakan serumah tentang berita pernikahan penyanyi selebriti yang berstatus pendakwah, Ustaz Akhil Hayy, yang sering diburu kontroversi kebelakangan ini. Lantas penulis terus melayari berita di internet untuk mengesahkan khabar tersebut.

Nah, inilah dia beberapa keping gambar yang sempat penulis 'upload'kan daripada mStar Online untuk tatapan pembaca sekelian...



Terungkai sudah segala spekulasi... Penulis & rakan-rakan yang mula mengenali Ustaz Akhil tatkala kami menganjurkan konsert di UM Nilam Puri akan sama-sama mendoakan kebahagiaan ini akan berkekalan..

Buat Kak Maizawati pula, moga terus tabah & ceria dengan kehadiran anak-anak di sisi. Semoga akak juga ditemukan dengan jodoh yang boleh membimbing ke syurga hendaknya... Amin...

Saturday, August 15, 2009

KENYATAAN PENDIRIAN MAHASISWA DAN MAHASISWI TERHADAP HIMPUNAN MANSUHKAN AKTA KESELAMATAN DALAM NEGERI (ISA) DAN REAKSI PIHAK-PIHAK BERKAITAN

Oleh: Solidariti Mahasiswa Malaysia

Kami,gerakan mahasiswa dan mahasiswi memandang serius dan mengecam sekeras-kerasnya reaksi pihak-pihak berkaitan iaitu kerajaan,Polis Diraja Malaysia (PDRM), media dan gerakan tertentu terhadap Himpunan Mansuhkan ISA pada 1 Ogos 2009.

Pandangan serta kecaman kami yang keras dan kritikal terhadap reaksi-reaksi pihak-pihak tersebut atas pertimbangan kami bahawa:

REAKSI PIHAK POLIS BERTENTANGAN DENGAN DEKLARASI UMUM HAK ASASI MANUSIA DAN PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN

Deklarasi Umum Hak Asasi Manusia (UDHR) dan Perlembagaan Persekutuan Malaysia telah menjamin dan melindungi hak setiap individu untuk berhimpun dan menyuarakan pendapat yang dipegang kepada masyarakat.Justeru,penyertaan individu dalam Himpunan Mansuhkan ISA merupakan satu bentuk penyertaan yang dijamin dan dilindungi oleh UDHR dan Perlembagaan Persekutuan Malaysia.Sebarang tindakan daripada mana-mana pihak yang bertujuan menghalang dan merampas hak tersebut merupakan suatu bentuk tindakan yang bercanggah serta pencabulan hak asasi manusia dan Perlembagaan Persekutuan Malaysia yang amat serius. Tindakan pihak polis terhadap peserta-peserta Himpunan Mansuhkan ISA merupakan suatu bentuk pencabulan yang amat serius terhadap hak asasi manusia dan Perlembagaan Pesekutuan Malaysia. Justeru, kami berpendirian bahawa sebarang tindakan yang dikenakan oleh pihak polis terhadap peserta Himpuan Mansuhkan ISA termasuk menghalang,menahan dan mendakwa mereka adalah tindakan yang tidak sah kerana bertentangan serta mencabuli hak asasi manusia sepertimana yang termaktub dalam UDHR dan Perlembagaan Persekutuan Malaysia

KEGAGALAN DAN REAKSI MELAMPAU PIHAK POLIS TERHADAP PESERTA HIMPUNAN MANSUHKAN ISA

Tindakan pihak polis yang bertindak ganas ,menggunakan gas pemedih mata dan semburan air berasid terhadap peserta Himpunan Mansuhkan ISA jelas sekali bertentangan dengan tugas dan tanggungjawab pihak polis iaitu melindungi hak asasi warganegara Malaysia dan memastikan hak-hak asasi tersebut dapat diamalkan secara bebas dan aman.Kegagalan pihak polis melaksanakan tugas dan tanggungjawab mereka apabila bertindak menghalang peserta-peserta Himpunan Mansuhkan ISA dengan tindakan keras yang tidak wajar yang jelas sekali bertujuan untuk mengintimidasikan peserta himpunan tersebut khususnya dan warganegara secara umumnya untuk mengamalkan hak mereka.Pada masa yang sama,tindakan pihak polis telah menggunakan tindakan-tindakan yang keras dan melampau terhadap peserta-peserta Himpunan Mansuhkan ISA yang telah berhimpun dan berarak secara aman dan tidak menimbulkan sebarang ancaman atau bertindak secara agresif terhadap harta-harta awam dan persendirian atau masyarakat merupakan suatu tindakan yang amat tidak wajar.Tindakan melampau dank eras pihak polis sebaliknya telah menimbulkan dan menyebabkan kekacauan,kemusnahan dan kerugian kepada harta-harta awam dan persendirian dan masyarakat.Justeru,kami berpendirian bahawa pihak polis telah gagal menjalankan tugas dan tanggungjawabnya selain bertindak secara tidak wajar apabila bertindak dengan ganas dan keras.

PENCABULAN HAK TERHADAP INDIVIDU-INDIVIDU YANG DIKATEGORIKAN SEBAGAI JUVANA

Mengikut peruntukan undang-undang yang menjadi garis panduan terhadap sebarang tindakan pihak polis,tindakan terhadap m mana-mana individu yang dikategorikan sebagai juvana berlandaskan prosedur-prosedur tertentu dan berbeza dengan individu-individu yang tidak dikategorikan sebagai juvana. Namun begitu, pihak polis jelas sekali melakukan pencabulan undang-undang yang amat serius apabila menahan individu-individu di bawah kategori juvana dalam lokap tanpa kehadiran wakil daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat yang jelas sekali bertentangan dengan peruntukan terhadap individu di bawah kategori juvana.Tindakan berkenaan merupakan suatu bentuk pencabulan yang amat serisu kerana tindakan tersebut memaparkan kegagalan pihak polis sebagai penguatkuasa undang-undang untuk bertindak mengikut undang-undang serta sewenang-wenangnya mencabuli hak juvana.Justeru,kami berpendirian bahawa pihak polis telah gagal melaksanakan tugas dan tanggungjawabnya sebaliknya bertindak mencabuli hak individu yang jelas sekali merupakan satu bentuk penyalahgunaan kuasa dalam tindakan pihak polis.

KENYATAAN-KENYATAAN BERMOTIFKAN HASUTAN OLEH MEDIA DAN GERAKAN TERTENTU

Media dan gerakan tertentu telah mengeluarkan beberapa kenyataan –kenyataan sebagai reaksi terhadap Himpunan Mansuhkan ISA.Malangnya,kenyataan-kenyataan tersebut berunsurkan provokasi yang jelas sekali bertujuan untuk menimbulkan ketegangan antara kaum dalam masyarakat majmuk Malaysia.Utusan Malaysia serta Majlis Permuafakatna Ummah(PEWARIS) merupakn pihak yang telah bertanggungjawab mengeluarkan kenyataan-kenyataan tersebut.Kami menghormati hak individu dan gerakan untuk menyuarakan pandangan serta pendapat mereka namun kami mengecam sekeras-kerasnya kenyataan yang berunsurkan provokatif perkauman sepertimana yang telah dikeluarkan oleh kedua-dua pihak tersebut memandangkan tindakan tersebut merupakan suatu tindakan yang berniat jahat iaitu mewujudkan ketegangan antara kaum di Malaysia.

MENGHORMATI DAN MENJALANKAN TUNTUTAN RAKYAT

Sesebuah kerajaan bertanggungjawab untuk melindungi dan menjamin hak rakyat di samping menjalankan tuntutan dan aspirasi rakyat memandangkan legitimasi kerajaan diperoleh daripada keizinan rakyat melalui pelbagai proses serta tindakan dalam system demokrasi.Kegagalan pihak kerajaan memenuhi tugas dan tanggungjawab tersebut merupakan suatu bentuk pencabulan dan penindasan terhadap hak rakyat.Himpunan Mansuhkan ISA pada 1 Ogos 2009 jelas memaparkan tuntutan dan aspirasi rakyat terhadap kerajaan agar memulihkan dan menghormati hak asasi manusia sebagaimana yang telah dinyatakan dan dijamin serta dilindungi oelh UDHR dan Perlembagaan Persekutuan Malaysia dengan memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri. Justeru, kerajaan wajib melaksanakan tuntutan dan aspirasi ini bagi memenuhi tugas dan tanggungjawab kerajaan terhadap rakyat yang seharusnya berfungsi sebagai sebuah kerajaan oleh rakyat dan untuk rakyat.Justeru,kami berpendirian bahawa kerajaan wajib memenuhi tuntutan dan aspirasi rakyat ini dengan memansuhkan ISA tanpa sebarang kompromi.

Justeru,kami menuntut agar:

Memansuhkan Akta Kselamatan Dalam Negeri tanpa sebarang kompromi serta membebaskan tahanan-tahanan andainya tahanan-tahanan tersebut didapati tidak bersalah atau wujud keraguan yang munasabah terhadap dakwaan terhadapnya setelah dibicarakan di institusi keadilan yang bebas,adil dan berintegriti.

Menutup Kem Tahanan Kamunting yang telah digunakan untuk menahan individu-indivuidu di bawah Akta Keselamatan Negeri.

Membebaskan semua peserta Himpuan Mansuhkan ISA dan menggugurkan dakwaan terhadap mereka tanpa sebarang syarat.

Berjumpa dengan Perdana Menteri supaya membawa pandangan-pandang mahasiswa terhadap masyarakat.

Wednesday, July 29, 2009

Badan siswa UM ‘bersepai’ jatuh bangunan flat (tajuk dari mahasiswakini.com)

Takziah penulis ucapkan kepada keluarga mendiang Tan. Sedih sebenarnya penulis tatkala mendapat khabar daripada Pengerusi Biro Penginapan Kolej Kediaman & Luar Kampus MPMUM, Sdr Fadzil Jamal berhubung kematian Tan, mahasiswa dari Muar, Johor pada hari Isnin yang lalu.

Tidak dapat penulis bayangkan keadaan kematian mendiang sewaktu mula-mula ditemui. Pastinya dahsyat & merundung tangisan serta rasa sebak sesiapa sahaja yang mula-mula menjumpai mayat mendiang.

Akan tetapi, penulis lebih risau keadaan keluarga mendiang dalam menerima berita ini. Mereka juga tentunya tidak dapat menerima kematian mendiang yang begitu tragik. Dan pelbagai soalan yang akan menerjah pemikiran mereka tentang sebab musabab di sebalik kematian yang menggemparkan tersebut.

Banyak teori-teori yang dikemukakan terhadap kematian mendiang. Ada yang mengatakan tindakan itu disebabkan tekanan perasaan, kecewa, dan lain-lain lagi. Namun tidak kurang juga yang menganalisis bahawa ada kemungkinan besar kesnya sama dengan Teoh Beng Hock. Namun pada penulis, kita serahkan kepada pihak yang berkenaan untuk menyiasat.

Dan dalam hal ini pada hemat penulis ialah, kita seharusnya memandang tragedi ini dalam konteks yang lebih luas. Perlu pada penulis untuk kita memikirkan kembali kandungan silibus wajib universiti yang berpaksikan kepada perpaduan pada waktu ini.

Ianya tidak salah, namun di sana ada keperluan yang lebih mendesak untuk ditambah pemfokusan terhadap sahsiah, akhlak & norma-norma moraliti yang boleh membantu mahasiswa dalam mengawal & memandu diri mereka. Ianya boleh disampaikan samada terus pergi kepada elemen akhlak & tasawuf seperti yang terkandung dalam agama Islam, ataupun mengambil kandungan-kandungannya secara tidak langsung.

Dan unsur-unsur tekanan dalam sistem pembelajaran hari ini juga perlu dinilai semula. Peperiksaan itu penting, namun jangan segalanya berpaksikan pada peperiksaan yang menjurus pada subjek yang diajar semata-mata. Perlunya kita melihat kembali domain-domain insaniah yang penting untuk dinilai juga di samping peperiksaan yang biasa.

Ianya secara langsung boleh mengurangkan tekanan terhadap mahasiswa & pada masa yang sama mereka merasakan perlunya mereka bersahsiah dengan sahsiah yang terpuji kerana itu juga termasuk dalam 'peperiksaan'. Memang kelakar bunyinya, namun bolehlah difikir-fikirkan... Wallahua'lam...

Thursday, July 23, 2009

Pendedahan Eksklusif Penulis Di Suhakam Esok

Penulis beserta rakan-rakan yang lain akan membuat pendedahan eksklusif tentang salah laku polis sepanjang berada di dalam tahanan lokap.

Namun, dari penulis sendiri ada beberapa hal berhubung hidden agenda pihak polis dengan menahan polis atas terma 'membantu siasatan'.

Justeru, nantikan pendedahan tersebut pada hari esok.

Thursday, July 16, 2009

Konsert Antara Dunia GAMIS

Malam ini, penulis sempat mengikuti mesyuarat penyelarasan terkini jawatankuasa Konsert Antara Dunia (seperti yang tertera pada ruang atas blog) anjuran Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) bersama dengan Rabbani Production. Ternyata ianya bukanlah sesuatu yang mudah, bahkan telah menuntut banyak pengorbanan di kalangan jawatankuasa yang terlibat.

Penulis selaku Ahli Majlis Tertinggi GAMIS mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan buat Sdr Muhaimin & Sdri Wan Zahidah yang merupakan pengarah & timbalan pengarah jawatankuasa tersebut. Serta tidak dilupakan buat seluruh ahli jawatankuasa yang terbabit, samada secara langsung atau tidak langsung , yang telah bertungkus-lumus sejak 6 bulan lalu semata-mata mahu melihat mahasiswa tampil dengan 'buah tangan' yang luar biasa sifatnya, dan di luar dari kerangka 'jalanan' & aksi yang menggugat.

Dan mengikut perancangannya, minggu ini & minggu depan merupakan kempen promosi secara besar-besaran. Dijangkakan sekitar 500 kader GAMIS akan digerakkan di sekitar Kuala Lumpur & Selangor untuk penjualan tiket secara langsung. Ianya diharapkan dapat mendorong lebih banyak khalayak masyarakat untuk mengikuti konsert yang akan berlangsung pada 1 Ogos ini.

Akhirnya, seruan penulis pada seluruh mahasiswa agar kita pada kali ini beramai-ramai ke konsert yang julung-julung kali dianjurkan oleh badan yang didokongi oleh mahasiswa bersama artis terkemuka tanah air. Dan ajaklah seluruh keluarga, sanak saudara & sahabat handai untuk sama-sama mengikuti konsert yang penuh bermakna ini. Moga-moga ianya mampu menjadi suatu loncatan dakwah yang lebih ajaib & mampu menjadi fenomena dalam masyarakat.

Tuesday, June 30, 2009

Rintihan Belasku Buat Ibu & Ayah Izzuddin serta Syahruldeen

Berita yang beru penulis baca dalam um-today.com & mahasiswakini.com, cukup menyayat hati penulis sebagai seorang manusia biasa. Tidak pernah terbayang di fikiran penulis bagaimana 2 orang individu yang belum tentu dibuktikan bersalah, telah 'dihukum' keluarganya, dengan penafian hak untuk memperoleh maklumat & pemakluman awal tentang penahanan anak mereka.

Dan penulis tidak dapat melupakan wajah sayu orang tua mereka yang sangat terhiris dengan tindakan yang tidak bertanggungjawab tersebut. Ya, penulis dapat membayangkan air mata sayu yang keluar dari kelopak mata ibu & ayah mereka...

Bahkan lebih menyedihkan, kedua ibu bapa mereka juga terheret dengan kerisauan takut-takut anak mereka juga mengalami nasib yang sama seperti mendiang Kugan, yang ditemui mati dalam tahanan polis selepas penahannya tidak dimaklumkan kepada kedua ibu & bapanya.

Pada penulis, inilah dugaan yang paling perit buat mereka selaku ibu & ayah yang menyayangi anaknya lebih daripada segala-galanya. Allahuakbar.. Agaknya mampukah penulis untuk menghadapi dugaan yang sama sebagaimana yang dialami mereka...?

Dan kerana itulah, penulis & pimpinan-pimpinan lain dalam PMIUM telah sebulat hati untuk memberikan bantuan guaman kepada keduanya kerana kami tidak mahu kesedihan yang ditanggung oleh mereka, dibebankan lagi dengan keterdesakan untuk mencari peguam peribadi yang yurannya pasti mencecah puluhan ribu ringgit.

Oleh yang demikian, penulis dengan rendah hati menyeru kepada seluruh mahasiswa di luar sana, pandanglah mereka yang teraniaya ini dengan pandangan belas, bukan sekadar menghukum yang pastinya menambahkan lagi kesedihan waris mereka yang telah sedia menanggung derita yang tidak terucap dengan kata-kata...

Friday, April 10, 2009

Akhirnya Najib akui ‘politik lama’ punca kekalahan UMNO/BN

Kuala Lumpur 10 April 12.28pm | Ekoran Perdana Menteri ke-6 mengaku pendekatan ‘politik lama’ sebagai punca kekalahan UMNO/BN di Parlimen Bukit Gantang dan Dun Bukit Selambau semalam, Presiden PMiUM meminta semua pihak memperkasa ‘politik baru’.

Kata Shazni Munir Mohd Ithnin, pengakuan tersebut melambangkan bahawa Dato’ Seri Najib Tun Razak sedang memperkasa ‘politik baru’ dalam UMNO sendiri sekarang.

6Dato’ Najib pun sudah akui ‘politik lama’ punca mereka (UMNO/BN) kalah di ‘Dua Bukit’ tersebut. Saya yakin, UMNO sedang usaha perkasa ‘politik baru’. Jadi, tidak dapat tidak pihak lain termasuk kita (PMiUM) sendiri perlu lebih perkasa bermula sekarang,” ujar Shazni.

Beliau turut menyifatkan amalan ‘politik lama’ seperti perkauman sempit, rasuah, ugutan, sekatan ke atas media dan kudeta bakal dimusuhi oleh rakyat disebabkan amalan ‘politik baru’ ini.

Semalam, myMetro melaporkan Najib menegur amalan ‘politik lama’ UMNO dalam persekitaran yang baru.

Kalau lihat pilihan raya di dua bukit (Bukit Gantang dan Bukit Selambau), lihat parti lain, guna metodologi baru tapi UMNO dan BN guna metodologi lama,” jelas Najib.

Sepatutnya, apabila persekitaran berubah, kita perlu mengubah metodologi dan sebagai satu parti dan kerajaan, kita mesti bawa perubahan,” katanya lagi semasa berucap di Majlis Kesyukuran Sempena Perlantikan Perdana Menteri baru di Putrajaya.

Kenyataan Presiden Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMiUM) disampaikan melalui telefon kira-kira jam 9.30 pagi tadi. -mahasiswakini.com

Pimpinan Mahasiswa Beri Harapan Tinggi Kepada Kabinet Baru

Kuala Lumpur 9 April 04:32 pm | Kabinet kepimpinan negara yang diumumkan oleh Perdana Menteri Malaysia ke 6, Dato’ Seri Najib Tun Razak petang tadi mendapat respon pelbagai sudut daripada pimpinan mahasiswa.

Rata-rata kepimpinan mahasiswa memberikan harapan tinggi kepada kabinet baru yang diumumkan petang tadi.

wan-mad1

Saya berharap agar kabinet baru ini dapat berikan suatu anjakan kepada kepimpinan Malaysia, dalam masa yang sama lebih menekankan kepada pembangunan generasi muda seperti kami (mahasiswa),” ujar Riduan Mohamad, Yang Di Pertua Majlis Perwakilan Mahasiswa Universiti Malaya (MPMUM).

Shazni Munir Mohd Ithnin, Presiden Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM) pula menekankan pembangunan generasi muda Malaysia yang lebih baik oleh kepimpinan negara.

syazni

Sememangnya pembangunan material diperlukan, tapi saya menggesa kepimpinan baru ini merencana pembangunan insan yang lebih tersusun dan dapat lahirkan manusia yang berguna pada agama, bangsa dan negara. Mahasiswa nak lihat suatu bentuk anjakan dalam melahirkan generasi muda yang lengkap dengan IQ, EQ dan SQ sebagai generasi muda baru Malaysia,” komen beliau.

Di samping itu, Hafez Sabri, Presiden Gabungan Mahasiswa Bersatu Perak (BERSATU) memberi respon berkenaan pembangunan rakyat sosio-ekonomi di Malaysia.

IMG_2875

Imej yang bersih dan telus sememangnya kita tekankan,dan mahasiswa juga harapkan kepimpinan Negara dengan kabinet baru ini membawa Malaysia ke arah kesejahteraan dari sudut politik , ekonomi dan sosial. Di samping itu, lebih menekankan pembangunan rakyat terbanyak dan marginalize (terpinggir) di kawasan-kawasan pinggir bandar dan kampung,” ujar beliau.

Dalam pada itu, tidak ketinggalan juga kepimpinan mahasiswi yang terus dengan agenda pembangunan mahasiswi member respon kepada kabinet baru yang diumumkan sebentar tadi.

fasihah 2

Saya menggesa Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil (Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat) agar lebih beri penekanan kepada mahasiswi di kampus. Kita mahu mahasiswi lebih kehadapan dan trampil dalam usaha membina lapisan kepimpinan Negara suatu masa nanti dari kalangan wanita,” ujar Fasihah Fauzi, Timbalan Presiden Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM).

Selain itu, Shahrizul Ayuni, Setiausaha Agung Majlis Perwakilan Mahasiswa Universiti Malaya semasa bertemu media petang tadi lebih menekankan soal hubungan antara kaum dan Bangsa Malaysia.

ayuni

Saya mahu kepimpinan Malaysia yang baru lebih menekankan soal integrasi kaum di Malaysia. Kita mahu membina suasana Bangsa Malaysia yang harmoni dan penuh dengan nilai-nilai Malaysia. Tidak wujud lagi soal cauvanisme dan perkauman. Kami (MPMUM) juga berpegang kepada tidak ada nilai perkauman dalam kepimpinan di universiti, semua masalah dipukul sama rata, yang ada hanya satu suara; generasi muda Malaysia,” ujar beliau bersemangat.

Terdahulu, Dato’ Seri Najib Tun Razak, yang mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri keenam pada 3 April lalu, mengumumkan kabinet petang tadi yang lebih kecil dianggotai 28 menteri dengan 25 kementerian, berbanding 32 menteri dengan 27 kementerian semasa pentadbiran Tun Abdullah Ahmad Badawi sebelum ini. -mahasiswakini

Friday, April 3, 2009

"Fikrah yang jelas itu hanya akan 'bergerak' dengan keberanian"

Gerakan mahasiswa semakin mendapat tempat dalam kalangan masyarakat dan saban hari semakin menjuarai isu-isu nasional yang lebih matang dan memerlukan idea-idea segar dan kepimpinan jiwa besar mahasiswa. Secara khususnya, Gerakan Mahasiswa Islam (GMI) terus menampilkan figura demi figura dalam usaha menjadi ‘catalyst ‘ dan ‘conscience of majority’ kepada masyarakat. Perjuangan anak muda terutamanya GMI sebagai pemacu kepada gerakan dakwah kampus dan nasional juga semakin diperlukan oleh masyarakat.

Namun, kita lihat suatu bentuk kelembapan dan kemunduran idealisme kepimpinan mahasiswa kampus dalam menjadi juru bicara kepada masyarakat dan kumpulan pendesak (interest group) yang lengkap dengan nilai-nilai intelektual tanpa mempunyai sandaran politik oportunis.

Menyelusuri ruang lingkup aktivisme mahasiswa dan persoalan keperluan golongan anak muda khususnya dalam Gerakan Mahasiswa Islam (GMI) di kampus, bersama wartawan Mahasiswakini, MOHD SAID SABIR telah berkesempatan menemuramah saudara MOHD SHAZNI MUNIR MOHD ITHNIN selaku Presiden Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM) yang baru sahaja memegang tampuk kepimpinan bagi sesi ini. Ikuti penjelasan beliau tentang permasalahan dan situasi yang dihadapi secara realiti oleh Gerakan Mahasiswa Islam (GMI) dalam mendepani cabaran-cabaran dakwah dan tarbiyah masa kini.

MAHASISWAKINI: Apa ekspresi saudara selepas dipilih menjadi Presiden PMiUM yang baru?

SHAZNI MUNIR: Macam-macam perasaan ada. Resah pun ada, suka pun ada. Resah sebab diberikan bebanan yang berat membawa perubahan dalam transisi gerakan PMi yang lebih besar. Gembira sebabnya dalam keadaan begini pun, ada orang memilih. [ketawa].

Maksud ‘keadaan begini’ itu, bagaimana?

Iyalah…dalam keadaan tidak popular di dalam mainstream; dipandang sebagai seorang ‘budak nakal’ dalam pergerakan PMiUM, pun masih diberi kepercayaan untuk mendokong agenda perubahan yang lebih besar selaku peneraju utama PMiUM.

Saudara sebagai ‘orang baru’ yang baru naik sebagai Presiden,bagaimana saudara melihat orientasi aktivitisme PMiUM pada ketika ini?

Saya sudah mengikuti perkembangan PMiUM sejak 2007 lagi. Saya pernah menjadi ahli usrah dan pernah menjadi Naqib. Sehingga kini, saya lihat aktiviti PMiUM pelbagai. Formalnya, PMiUM pernah menganjurkan Lakium…Latihan Kepimpinan Islam Universiti Malaya. Selain itu, PMiUM menganjurkan beberapa forum secara rasmi dengan kerjasama baik dari Dr. Azarae (Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni).

Selalunya, program sebeginilah yang disebut program oriented atau extra-mural activities. Saya tidak kisah apa orang nak kata, yang penting selagi kita boleh manfaatkan ‘padang’ Universiti untuk bawa Islam, selagi itu kita berpencak dalam padang ini.

Yang menarik, PMiUM juga ada menganjurkan program-program tidak formal yang bersifat mendidik . Dialog Intelek berhubung krisis politik Perak umpamanya. PMiUM bersama-sama Bersatu Perak dan beberapa pertubuhan lain cuba menganjurkan forum yang sensitif tersebut tanpa kebenaran daripada TNC HEPA di Masjid Ar-Rahman.

Ya, saya rasa saya tidak perlu mengulas lanjut natijah yang diperoleh, kerana kita semua tahu; kepemimpinan PMiUM pada sesi yang lepas diugut…PMiUM kononnya akan diharamkan.

Selain itu, kepemimpinan kita juga sudah menjadi pemain-pemain siasah di peringkat Nasional. Penyertaan berani kita bersama Solidariti Mahasiswa Selamatkan Bahasa Melayu (SMSBM), Gabungan Mansuh PPSMi (GMP), Gabungan Mahasiswa Mansuh AUKU (GMMA), Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) dan banyak lagi. Dan yang tak kurang menarik, mahasiswa juga pernah mencabar Perdana Menteri Malaysia YAB Dato Seri Abdullah Hj. Ahmad Badawi dalam Pilihanraya Umum lepas dengan menubuhkan parti sendiri - Parti Mahasiswa Negara (PMN).

Cuma, pada saya, rasmi atau tidak…halal atau haram aktiviti kita ini bukanlah bergantung pada ‘tandatangan TNC HEPA’ semata-mata. Kita harus melihatnya juga dari jendela Perlembagaan dan Hak Asasi. Bagi saya mudah, selagi tidak mengangkat senjata, menceroboh hak asasi orang lain dan tidak membawa gerakan subversif atau komunis, aktiviti kita masih sah dianjurkan di Malaysia. Inilah yang saya lihat menarik pada kita (PMiUM).

Boleh saudara jelaskan dengan lebih terperinci apakah yang dimaksudkan dengan program oriented; dan apakah yang dimaksudkan sebaliknya?

Program oriented ialah program-program yang bersifat official; ada protokol-protokol tertentu dan perlunya kelulusan daripada HEP. Cuma dalam hal ini, saya sangat-sangat risau PMiUM akan hilang nilai-nilai aktivitismenya kerana terlalu cenderung pada program oriented. Kesannya, ya.. Mungkin sahaja PMiUM bakal menjadi pertubuhan ‘biasa’ sebagaimana beberapa pertubuhan Universiti sebelum ini. Mereka pernah menjadi lagenda gerakan mahasiswa Malaysia, namun sekarang ia sekadar suatu sejarah klasikal.

Kita perlu berurusan dengan semua pihak untuk menganjurkan aktiviti Islami, tetapi jangan sampai kita hilang fokus atau terlalu melayan birokrasi pihak-pihak tertentu dalam Universiti sehingga menghalang aktivitisme ‘faham Islam’ kita ini.

PMiUM patut dipandang sebagai sebuah gerakan mahasiswa yang genuine. Iaitu, kejayaan kita bukan sekadar dilihat bergantung pada satu-satu program itu samada mendapat kelulusan HEP atau tidak; perlu ada Perasmi dan sebagainya, yang lebih bersifat protokol. Pada saya, kejayaan satu-satu program itu ditandaaraskan berdasarkan sejauh mana warga kampus dapat menyerap mesej yang cuba kita sampaikan; Ya, jika tidak, tidak perlulah ditekankan soal kerasmiannya.

Adakah kecenderungan menganjurkan program oriented tersebut berpunca oleh masalah fikrah; atau bagaimana?

Bagi saya, kecenderungan ini kita tidak boleh kata berpunca dari masalah fikrah. Cumanya, bagi saya ‘orang luar’ PMiUM secara warisannya melihat sebegitu. Dan kita pun dengan sesi kepemimpinan yang lepas selama satu tahun, kita tidak mengatakan bahawa ianya suatu medan yang cukup untuk membuat perubahan mentaliti dan budaya berfikir dalam kalangan ahli-ahli gerakan PMiUM. Cuma, jika mahu memperkatakan soal fikrah, saya akan jelaskan dengan lebih lanjut kemudian.

Masih soal fikrah, bagaimana saudara melihat orientasi atau budaya berfikir dalam kalangan ahli-ahli gerakan PMIUM pada ketika ini?

Ada perbezaan kini dan juga pada masa akan datang. Pada ketika ini, tidak semua ahli gerakan PMiUM yang feel, yang rasa diri mereka membawa suatu beban yang besar untuk membawa masyarakat terutamanya di kampus kepada Islam. Tapi untuk akan datang seboleh mungkin kita akan berusaha memasakkan kepada seluruh ahli gerakan bahawa pentingnya mereka bertanggungjawab memandu manusia semuanya kepada Tuhan, kepada sistem yang Allah Taala telah tetapkan.

Adakah perbezaan kini dan masa depan disebabkan oleh kelemahan dan masalah fikrah itu sendiri?

Ya. Dalam konteks ini kita harus jujur mengakui bahawa fikrah itu dibina melalui program-program tarbiyah PMiUM, seperti usrah, daurah, mukhayyam, tamrin dan sebagainya. Maka kalau program-program itu kita tak dapat jalankan dengan kondisi pelaksanaan yang terbaik, kita tak mampu nak membentuk kelompok usrah dengan acuan yang terbaik.. maka suasana itu akan hasilkan produk seperti yang kita nampak sekaranglah.

Adakah dengan masalah fikrah ini juga menyebabkan orientasi pergerakan PMIUM itu sendiri dilihat tidak genuine? ataupun sebaliknya?

Saya nampak ada kaitan disitu. Sebab tanpa fikrah yang jelas dalam kalangan anak muda Islam tentang apa yang nak dibawa, kita akan jadi suatu entiti yang terpaksa mengikut orang lain. Bersifat follower, bukan interest group atau kumpulan pendesak. Bagi saya, fikrah anak muda Islam dapat diketahui samada jelas & mantap atau tidak, dengan melihat cara mereka bergerak, dan cara mereka berfikir.

Kalau fikrah itu tak jelas, bagaimana sebagai anak muda yang diberikan Allah Taala suatu semangat tinggi, dengan jolokan ‘the young angry man’, sarat dengan idea-idea segar, namun masih tak mampu memberi sumbangan yang hebat kepada Islam? Dan pada saya ianya langsung sia-sia.

Untuk menangani kelonggaran fikrah ini, saudara sebagai pemimpin kepada gerakan mahasiswa yang mempunyai sejarahnya sendiri, apa yang perlu dan patut dilakukan untuk mengembalikan fikrah yang genuine dan gerakan mahasiswa yang lebih terkedepan?

Pada saya yang pertama ialah pendidikan. Pendidikan yang sebenarnya dalam konteks pembinaan & pemurnian fikrah secara bersepadu. Sebab yang membezakan gerakan ini (PMiUM) dengan pertubuhan dan gerakan-gerakan Islam yang lain ialah bagaimana metod PMiUM membina fikrah anak-anak muda yang bakal lahir sebagai kader-kader dakwah.

Saya nampak perlunya di peringkat PMiUM untuk kembali kepada fikrah asliah sebagai seorang anak muda. Ya, orientasi penjelasan fikrah perlu di ubah, tidak hanya selesa dengan unsur-unsur indoktrinisasi semata-mata. Lantas di tambah dengan pengisian-pengisian yang lebih progresif dan semasa, saya yakin ahli gerakan PMIUM akan tampil sebagai kelompok berbeza dihadapan massa dan mampu menghasilkan idea-idea yang menjadi alternatif terbaik kepada agama, dan Bangsa Malaysia sendiri.

Secara objektifnya, apa pemfokusan yang saudara akan lakukan dalam masa terdekat dan untuk mengembalikan persoalan kelemahan dari sudut fikrah tadi?

Peringkat pertama, saya akan menyusun kembali sistem-sistem tarbiyah yang telah dimulakan pada siri kepimpinan yang lepas, dan dalam masa yang sama kita akan membina jaringan yang lebih besar untuk kita bawa suatu perubahan ke arah yang lebih baik. Lantas, ahli PMiUM yang lahir sebagai seorang aktivia-aktivis dakwah diharapkan akan lebih banyak lahir di lapangan-lapangan fakulti.

Dan pada saya, sangat impikan suatu bentuk gerakan PMiUM yang didokong oleh kalangan mereka yang datang daripada Pusat Sukan, Pusat Budaya, yang belajar bukan dari latarbelakang agama tapi mereka mampu membawa orang kepada kefahaman Islam yang sebenar. Ya, pastinya semua itu terhasil daripada sistem tarbiyah gerakan ini.

Untuk peringkat nasional, kita lihat saudara merupakan antara figura yang sudah berdepan dengan pelbagai cabaran di peringkat nasional, dengan kemelut politik di Perak dan sebagainya. Tapi umum melihat hanya saudara dan segelintir kecil daripada aktivis-aktivis mahasiswa Islam kampus yang terkehadapan, apa komen saudara tentang perkara ini?

Pada saya , kalau perkara tersebut ialah segelintir kecil, saya rasa tidak boleh salahkan pandangan semata-mata, cuma apa yang perlu kita persoalkan ialah, kenapa perkara itu terjadi? Pada saya kurangnya pasakan-pasakan kefahaman yang mendalam terhadap perjuangan yang sebenar. Dan kerana itu kita tak mampu nak lihat kalangan anak muda Islam yang iltizamnya hebat & ajaib untuk merealisasikan Islam dalam konteks semasa.

Lagi, keberanian untuk merubah keadaan yang pincang perlu dibudayakan. Fikrah yang jelas itu hanya akan bergerak dengan keberanian. Pada saya, gerakan anak muda Islam pada hari ini takkan ke mana tanpa keberanian. Ya…. dakwah sama sekali tidak akan pernah menghalang kita daripada mengatakan ‘jangan’ dan ‘tidak’ pada penyelewengan; dan itu semua pastinya berpaksikan pada tauhid…

Secara jujurnya pencapaian saudara sehingga sejauh ini adakah disebabkan oleh fikrah yang telah dibentuk secara genuine atau sebenarnya ada unsur-unsur lain yang perlu untuk digarap dalam kepimpinan mahasiswa sekarang?

Ya, pada saya memang fikrah yang genuine, sebab dengan fikrah itulah kita dibina untuk menjadi seorang mujahid zaman yang dapat membuat perubahan dalam konteks yang lebih besar. Sebab kita memandang UM (Universiti Malaya) bukan sekadar dari pintu PJ (Petaling Jaya) ke KL (Kuala Lumpur).

Tapi kita pandang UM dalam konteks bagaimana kita nak membawa UM ini kepada suatu bentuk perubahan sehingga masyarakat luar, dalam negara atau internasional melihat UM ini sebagai universiti yang melahirkan kader-kader dakwah & pejuang masyarakat yang hebat.

Akhirnya secara tuntas dan ringkas, apa harapan saudara kepada kepimpinan mahasiswa tak kita sama ada dalam konteks UM ataupun peringkat nasional?

Hm.. [sambil memandang jauh] Gerakan kita perlu transformasi. Di peringkat Universiti Malaya, saya mengimpikan suatu ketumbukan kader dakwah PMIUM yang dapat memberikan penghayatan yang penuh kepada iltizam perjuangan Islam yang sebenar. Sebelum pergi kepada itu, perlulah kepada pembinaan fikrah yang jelas dalam kalangan kader-kader dakwah PMIUM.

Yang kedua di peringkat nasional, saya mengharapkan agar seluruh kader dakwah, seluruh pimpinan PMI kampus-kampus di Malaysia, front-front mahasiswa lainnya, lebih berani dalam mengutarakan buah fikir yang lebih genuine dan bersifat semasa, maknanya, kita tak mahu lihat lagi kenyataan-kenyataan pimpinan mahasiswa yang keluar selepas kenyataan ahli politik. Buah fikiran dan analisis yang kononnya kritis keluar selepas buah fikiran pimpinan-pimpinan NGO. Maknanya pemikiran yang stereotype dan lahir selepas orang lain cetuskan perlu dibuang jauh. Kita perlu bina suatu bentuk gagasan idealisme yang baru dan segar. Perlu ada enlightment dari sudut intelektual.

Dan ringkas di peringkat yang lebih besar, maksud saya antarabangsa, saya sangat bercita-cita untuk melihat sumbangan yang lebih luas sifatnya daripada ketumbukan anak muda Islam. Dalam jaringan dakwah kita, singgungan-singgungan kita kepada masyarakat dunia, pastinya bukan suatu peranan yang kecil jika dilaksanakan secara konsisten & berperingkat-peringkat.

Thursday, May 22, 2008

Respon GMMA Di Harakahdaily...

Auku: Mahasiswa sifatkan kenyataan Menteri hanya kosmetik politik
Intan Abdullah
Wed | May 21, 08 | 6:40:08 am MYT

KUALA LUMPUR, 21 Mei (Hrkh) - Gerakan Mahasiswa Mansuhkan Auku hari ini menyifatkan apa yang telah dinyatakan Menteri Pengajian Tinggi, Dato' Mohamed Khaled Nordin untuk meminda Akta tersebut yang disifatkan mengongkong mahasiswa itu sebagai kosmetik politik sahaja.

Koordinatornya, Shazni Munir ketika menghubungi Harakahdaily mendakwa pihak KPT hanya membuat pindaan tersebut ke atas sesetengah bahagian di dalam Auku yang tidak menyentuh mengenai tuntutan mahasiswa sebelum ini iaitu mengenai kebebasan bersuara dan penglibatan dalam politik .

"Ia tidak lebih sekadar melepas batuk di tangga dan segala pindaan tersebut ibarat kosmetik politik bagi memperlihatkan seolah-olah KPT telah menunaikan segala permintaan mahasiswa selama ini untuk meminda Auku sejak kali terakhir ia digubal pada tahun 1971," katanya.

Tegasnya, apa yang akan dipinda dalam Auku tersebut hanyalah menyentuh mengenai kegiatan-kegiatan sosial di kampus sekaligus tidak akan meninggalkan kesan kepada mahasiswa secara umumnya.

"Jika inilah yang dikatakan keterbukaan pihak kerajaan terhadap mahasiswa maka tidak hairanlah jika banyak pihak melihat generasi mahasiswa hari ini semakin lesu dan terkongkong.

"Dan pada masa yang sama, kami merasakan mahasiswa tidak boleh lagi mengharapkan pihak menteri KPT untuk menguruskan mengenai perkara ini," tegasnya.

Malah, pihaknya akan mengusulkan cadangan Akta bagi menggantikan Auku selepas dibuat penelitian terhadap akta-akta yang berkaitan daripada negara-negara lain sebagai rujukan.

"Kita sedang menjalankan kajian mengenai akta yang berkaitan aktiviti mahasiswa di negara lain seperti Filipina, Indonesia, Korea, China dan sebagainya bagi membentuk akta yang baru menggantikan Auku," katanya lagi.

GMMA adalah sebuah lagi koalisi kesatuan mahasiswa yang terdiri daripada Solidariti Mahasiswa Malaysia, Gabungan Mahasiswa Islam SeMalaysia, Dema, Umany, Food Not Bomb, Teras dan beberapa Persatuan Mahasiswa Fakulti undang-undang di institusi Pengajian Tinggi Awam.

Shazni juga tidak menolak untuk menerima penyertaan sokongan daripada mana-mana persatuan mahasiswa yang lain dalam menyuarakan isu tersebut. - mks.