Showing posts with label Untaian Mau'dzah. Show all posts
Showing posts with label Untaian Mau'dzah. Show all posts

Wednesday, July 1, 2009

Cebisan Harapan Pada Keadilan

Penulis pada hari ini ingin menyeru kepada seluruh mahasiswa & kalangan rakyat yang prihatin untuk bersama-sama dengan keluarga Izzuddin Hilmi & Mohd Syahruldeen dalam mengharungi perit-jerih perbicaraan yang telah disebut kesnya hari ini.

Namun, penulis terkilan sebenarnya kerana mereka masih dikenakan bayaran jaminan sebanyak RM5000, yang jelas di luar kemampuan mereka. Justeru seluruh mahasiswa diminta melancarkan ops kilat untuk mengutip derma bagi membolehkan mereka dibebaskan dari tahanan.

Sungguhpun telah dibicarakan, penulis masih lagi tidak dapat menyembunyikan kerisauan penulis terhadap perjalanan perbicaraan yang akan dijalankan.

Masakan tidak, siapakah yang dapat memberikan jaminan kepada penulis yang mereka berdua akan dibicarakan dengan seadil-adilnya?

Bukanlah ingin menimbulkan kesangsian secara membuta-tuli, akan tetapi perbicaraan-perbicaraan sebelum ini yang melibatkan orang penting negara, pastinya berakhir dengan keputusan yang mengecewakan sekelian banyak pencinta kebenaran.

Walau bagaimanapun, penulis dengan pengharapan yang menggunung, masih lagi mengharapkan proses perbicaraan berlangsung tanpa 'tangan-tangan ghaib' yang mengganggu, & hakim mengadilinya dengan penuh adil serta saksama.

Di pihak universiti pula, penulis ingin memberi peringatan supaya jangan sesekali mengambil tindakan dengan menghukum mereka sebelum mereka dibuktikan bersalah.

Jika seandainya hal yang pernah berlaku pada mangsa-mangsa ISA7 berulang, penulis & seluruh mahasiswa yang di dadanya kejap dengan perjuangan kemahasiswaan, tidak akan teragak-agak untuk membuat bantahan di segenap sudut.

Oleh yang demikian, penulis meminta kepada kepada seluruh lapisan masyarakat yang prihatin terhadap isu ini agar berdoa & bersolat hajat, khusus untuk memohon pada Yang Maha Berkuasa agar keadilan kembali bertapak buat mereka.

Bagi mereka yang tidak henti-henti dengan 'gerak kerja yang cukup istiqamah' untuk mengkambinghitamkan mahasiswa, cukuplah penganiayaan yang menimpa mereka yang telah kalian usahakan. Jangan ditambah lagi penderitaan mereka dengan tindakan & perilaku biadab kalian sehingga memanjangkan sengsara kepada keluarga & saudara-mara mereka..

Monday, June 29, 2009

Manifestasi Jihad Bagi Aktivis Mahasiswa

Tatkala membicarakan persoalan jihad, biasa terbayang, baik yang muslim mahupun non-muslim, sekelompok individu yang yang menggalas senjata, samada yang moden mahupun konvensional, & bertempur di medan perang secara berdepan dengan seluruh ketumbukan kuffar. Ya, mudah untuk membayangkan kerana inilah medan yang ditempuh oleh pejuang-pejuang Islam di Palestin, Chechnya dan Kashmir.

Dan memang, penulis bersependapat dengan Ibn Taimiyyah yang meletakkan jihad qital seperti di atas merupakan martabat jihad yang paling tinggi.

Namun, bukanlah konteks jihad itu yang ingin penulis sentuh atas kapasiti penulis sebagai aktivis mahasiswa Islam. Justeru yang paling dekat ingin penulis singgung dalam warkah pendek ini ialah medan jihad yang sebenar bagi mahasiswa di Malaysia.

Dalam menanggapi aktivisme mahasiswa, mahasiswa sering dituntut untuk berhadapan dengan kezaliman & penindasan dari kelompok yang memegang kuasa. Dan lagi, selepas pasca perubahan yang besar dalam landskap politik nasional, anjakan yang labih agresif dalam aktivisme mahasiswa merupakan suatu kefardhuan yang sangat dituntut dasawarsa ini.

Penulis teringat bagaimana pegangan & keimanan yag dipegang oleh kelompok mahasiswa di Iran tatkala menghadapi kezaliman pemerintahan Shah Pahlavi. Cukup sekadar pemahaman yang kejap tentang 'amar makruf, nahi mungkar' & peranan mereka untuk membangun negara baru Iran, mahasiswa menggunapakai seluruh instrumen-instrumen berpengaruh untuk memastikan terjaminnya masa depan bangsa Iran yang baru.

Justeru, menjadi suatu mainstream jihad yang relevan pada seluruh mahasiswa untuk mengepalai gelombang perubahan ini. Dan sesuai dengan kapasiti sebagai suatu kelomp0k yang intelektual, seharusnya gelombang perubahan ini tidak hanya bersifat memusnah kepada anasir-anasir yang mencemari negara ini, bahkan perlunya suatu tindakan yang membina negara (bukan membina pemerintah!), baik dari sudut sosio-budayanya mahupun sosio-politiknya, sebagaimana yang dituntut dalam Islam.

Akhirnya, penulis mengharapkan agar warkah pendek ini bakal mencerna aktivisme mahasiswa dengan laras fikrah yang suci, sesuai dengan keadaan Islam itu yang menjadi rahmah kepada sekelian alam..

Sunday, October 5, 2008

Monolog Di Eidulfitri (Sebuah Rintihan Di Hari Lebaran)

Hari ini
Aku beraya dengan penuh kegembiraan
Aku bergaya dengan pakaian baru
Aku bergelak ketawa dengan adik-beradikku
Aku menikmati juadah yang istimewa hasil air tangan emakku
Aku berkunjung ke rumah sanak saudara yang jauh mahu pun dekat
Dan aku melihat
Kegembiraan yang aku alami ini
Turut terpancar di wajah orang yang lalu-lalang di hadapanku...

Namun
Di kejauhan kegembiraan ini
Aku risau
Tersangat-sangat risau
Aku masih risau dengan keadaan diriku & keadaan perjuangan ini
Aku risau dengan perjuangan yang masih terumbang-ambing
Aku risau dengan keikhlasan & iltizam diriku
Aku risau dengan doa yang tidak termakbul
Aku risau dengan nusrah yang tidak kunjung tiba
Dan paling ku risau
'Kegembiraan' di Aidilfitri ini
Membunuh jiwa & roh perjuangan

Aku terimbau kedahsyatan ujian di Medan Uhud
Dengan peringatan demi peringatan Allah turunkan
Dalam pelbagai bentuk & rupa
Dengan Nabi yang juga tidak terlepas dengan ujian
Dan kerana itu aku berfikir
Mampukah diri ini menanggung ujian seberat itu
Mampukah diri ini membina segunung kemenangan..
Di atas ranting-ranting cubaan sebesar itu

Sungguh..
Aku tidak sehebat Anas An-Nadhar
Yang berjuang sehingga tidak mempunyai wajah,
Aku tidak seberani Abu Dujanah
Menjadi tentera yang paling hadapan..
Dengan kejaguhan memegang amanah pedang Nabi

Ya..
Di pagi ini..
Aku menginsafi diri
Insan kecil yang masih lemas dengan pembohongan duniawi
Insan hina yang masih terbuai dengan palitan mazmumah
Dan kerana itulah
Aku sedar bahawa aku..
Bukanlah 'siapa-siapa' di gelanggang ini
Tidak lain
Hanyalah hamba yang 'tidak bernama'..

Namun Ya Allah..
Dengan keinsafan tentang kerdilnya diri ini
Dengan kesedaran tentang lemahnya diri ini
Aku bermohon
Aku bermohon wahai Tuhan..
Di hari kemenangan ini
Agar Kau peliharalah perjuangan ini
Kau berilah pengakhiran yang baik pada perjuangan ini
Kau peliharalah hati-hati yang mendokong perjuangan ini
Agar tetap
Dan terus tetap
Di atas landasan perjuangan ini
Dan Kau golongkanlah kami
Di kalangan orang yang 'sikit & susah'...




Thursday, May 29, 2008

Inspirasi Seorang Reformis Zaman (Asy-Syahid Sayyid Qutb)

Sajak ini dinukilkan beberapa jam sebelum beliau digantung...


Saudaraku...

Seandainya kau tangisi kematian ku
Dan kau siram pusaraku dengan air matamu
Maka di atas tulangku yang hancur luluh
Nyalakanlah obor buat umat mulia ini
Dan teruskan perjalanan ke gerbang jaya
Kematian ku adalah suatu perjalanan
Mendapatkan kekasih yang sedang merinduku

Taman-taman di syurga bangga menerimaku
Burang-burung berkicau riang menyambutku
Bahagialah hidupku di alam abadi
Puaka kegelapan pasti akan hancur
Dan alam ini akan disinari fajar lagi
Biarlah ruh ku terbang mendapatkan rindu-NYa
Janganlah gentar berkelana di alam abadi
nun di sana fajar sedang memancar

Wednesday, May 28, 2008

Implimentasi Tasawuf Dalam Perjuangan

Merealisasikan cita-cita sebuah perjuangan bukanlah kerja yang mudah. Ianya jika ditinjau lebih mendalam ibarat berjalan di atas baraan api yang panas membara, perlu tangkas & bijak menyusun langkah. Seandainya tersilap langkah atau lembab dalam bertindak, kaki yang memijak pastinya hangus terbakar. Begitulah serba sedikit yang boleh penulis introduksikan apabila membicarakan tentang sebuah perjuangan.

Namun begitu, mengambil teladan orang-orang terdahulu yang telah mengharungi medan perjuangan lebih dahulu daripada penulis, satu-satu perjuangan itu akan tampak mati & sukar seandainya seorang pejuang itu hanya mengharap kudrat fizikalnya semata-mata. Langsung sebagai makhluk bergelar manusia pula, kita pastinya punya banyak kelemahan yang boleh sahaja pada bila-bila masa meruntuh sebuah idealisme perjuangan.

Sejarah lalu telah mengajar betapa pejuang yang berjuang atas dasar kekuatan semacam ini telah mengakhiri perjuangan dengan nilai yang cukup memalukan. Sukarno? Suharto? Gamal Abdul Nasir? Mereka ini secebis contoh yang boleh penulis sebutkan apabila memerihalkan tentang kegagalan untuk bersikap konsistensi dalam sebuah perjuangan. Sungguhpun telah menjadi lagenda di awalnya, mereka ini akhirnya tersungkur langsung jatuh disebabkan tidak mampu untuk menahan diri dengan godaan-godaan, yang pastinya pantas sahaja menduga tatkala seorang pejuang itu mengambil sisi untuk menongkah arus kebatilan.

Justeru di manakah letaknya kekuatan sebenar bagi seorang pejuang? Menjawab persoalan ini, penulis teringat pada pesanan seorang senior penulis tatkala menasihati penulis yang ketika itu ghairah dengan jalan juang ini, "Shazni, dalam membawa sebuah idealisme perjuangan, anta akan hadapi 3 perkara yang akan menunggu anta sepanjang ranjau ini, terpenjara oleh pemerintah yang benci, mati sebagai syuhada', atau memperoleh kemenangan di akhirnya. Dan tanpa kekuatan rohani, anta akan gagal walaupun anta punya 1001 kekuatan untuk menjadi lagenda dalam sebuah perjuangan..."

Ya, kekuatan rohani. Dan kekuatan rohani ini pada hakikatnya bukanlah suatu yang mudah untuk diperoleh. Kerana ia merupakan 'substance' yang utama untuk menumbuh kekuatan dalam diri seorang pejuang, maka tidak mustahillah memperolehnya pun ibarat memikul suatu bebanan yang berat, susah & sukar. Ianya sangat-sangat memerlukan tahap disiplin yang tinggi untuk meraihnya. Disiplin dalam amalan & istiqamah.

Elemen disiplin dalam menjaga amalan & istiqamah ini secara literalnya sangat sinonim dengan suatu konsep yang digelar 'tasawuf' oleh kebanyakan cerdik pandai agama. Penulis sempat meninjau beberapa jalan hidup pejuang yang penulis kira merupakan mereka yang dapat bersikap konsistensi dalam idealisme perjuangan yang mereka dokong.

Sayyid Qutb, seorang tokoh reformis Islam yang berjuang melalui platform Ikhwanul Muslimin yang berpusat di Mesir, sangat bersesuaian untuk penulis ambil sebagai contoh. Untuk makluman, tokoh ini dikenang dalam dalam sejarah gerakan perubahan sebagai insan yang telah 'menjual' seluruh kehidupannya untuk merealisasikan impian & cita-cita perjuangannya sehingga berhasil mendapat gelaran syuhada' di tali gantung. Rahsianya? Beliau sangat dikenal oleh rakan & musuh sebagai seorang yang sangat pendiam, payah untuk berkata-kata melainkan yang perlu, kerana lidahnya sentiasa dilazimi dengan zikir mengingati Sang Pencipta.

Bahkan pernah disaksikan oleh adik-beradiknya yang lain, Hamidah Qutb & Muhammad Qutb, waktu malamnya tidak pernah sunyi daripada bersolat malam, membaca Al-Qur'an, tegar mengabdikan diri kepada Yang Maha Kuasa. Ya, setiap malam, tidak pernah putus, tidak pernah tinggal.

Melihat kepada implimentasi tasawuf yang dibawa oleh tokoh ini, penulis kira ianya sangat-sangat patut dijadikan panduan oleh semua pejuang kebenaran, tidak kira latar belakang apa pun ia. Sejujurnya kita tidak mahu lihat adanya lagi para reformis zaman yang gagal dek kerana tidak mampu untuk membangunkan kekuatan rohani, yang menjadi kuasa untuk menolak sebarang godaan, baik material, pangkat, mahupun wanita.

Biarlah reformis perubahan yang bakal lahir selepas era kegelapan dunia ini terdiri daripada kalangan mereka yang punya dua kekuatan yang jitu, yang penulis lihat sebagai kekuatan perubahan yang sebenar, iaitu kekuatan yang menggenggam idealisme perjuangan & kekuatan rohani, muncul setelah berjaya membina hubungan yang akrab dengan Tuhan Yang Memiliki Seluruh Kekuatan...