Wednesday, May 28, 2008

Implimentasi Tasawuf Dalam Perjuangan

Merealisasikan cita-cita sebuah perjuangan bukanlah kerja yang mudah. Ianya jika ditinjau lebih mendalam ibarat berjalan di atas baraan api yang panas membara, perlu tangkas & bijak menyusun langkah. Seandainya tersilap langkah atau lembab dalam bertindak, kaki yang memijak pastinya hangus terbakar. Begitulah serba sedikit yang boleh penulis introduksikan apabila membicarakan tentang sebuah perjuangan.

Namun begitu, mengambil teladan orang-orang terdahulu yang telah mengharungi medan perjuangan lebih dahulu daripada penulis, satu-satu perjuangan itu akan tampak mati & sukar seandainya seorang pejuang itu hanya mengharap kudrat fizikalnya semata-mata. Langsung sebagai makhluk bergelar manusia pula, kita pastinya punya banyak kelemahan yang boleh sahaja pada bila-bila masa meruntuh sebuah idealisme perjuangan.

Sejarah lalu telah mengajar betapa pejuang yang berjuang atas dasar kekuatan semacam ini telah mengakhiri perjuangan dengan nilai yang cukup memalukan. Sukarno? Suharto? Gamal Abdul Nasir? Mereka ini secebis contoh yang boleh penulis sebutkan apabila memerihalkan tentang kegagalan untuk bersikap konsistensi dalam sebuah perjuangan. Sungguhpun telah menjadi lagenda di awalnya, mereka ini akhirnya tersungkur langsung jatuh disebabkan tidak mampu untuk menahan diri dengan godaan-godaan, yang pastinya pantas sahaja menduga tatkala seorang pejuang itu mengambil sisi untuk menongkah arus kebatilan.

Justeru di manakah letaknya kekuatan sebenar bagi seorang pejuang? Menjawab persoalan ini, penulis teringat pada pesanan seorang senior penulis tatkala menasihati penulis yang ketika itu ghairah dengan jalan juang ini, "Shazni, dalam membawa sebuah idealisme perjuangan, anta akan hadapi 3 perkara yang akan menunggu anta sepanjang ranjau ini, terpenjara oleh pemerintah yang benci, mati sebagai syuhada', atau memperoleh kemenangan di akhirnya. Dan tanpa kekuatan rohani, anta akan gagal walaupun anta punya 1001 kekuatan untuk menjadi lagenda dalam sebuah perjuangan..."

Ya, kekuatan rohani. Dan kekuatan rohani ini pada hakikatnya bukanlah suatu yang mudah untuk diperoleh. Kerana ia merupakan 'substance' yang utama untuk menumbuh kekuatan dalam diri seorang pejuang, maka tidak mustahillah memperolehnya pun ibarat memikul suatu bebanan yang berat, susah & sukar. Ianya sangat-sangat memerlukan tahap disiplin yang tinggi untuk meraihnya. Disiplin dalam amalan & istiqamah.

Elemen disiplin dalam menjaga amalan & istiqamah ini secara literalnya sangat sinonim dengan suatu konsep yang digelar 'tasawuf' oleh kebanyakan cerdik pandai agama. Penulis sempat meninjau beberapa jalan hidup pejuang yang penulis kira merupakan mereka yang dapat bersikap konsistensi dalam idealisme perjuangan yang mereka dokong.

Sayyid Qutb, seorang tokoh reformis Islam yang berjuang melalui platform Ikhwanul Muslimin yang berpusat di Mesir, sangat bersesuaian untuk penulis ambil sebagai contoh. Untuk makluman, tokoh ini dikenang dalam dalam sejarah gerakan perubahan sebagai insan yang telah 'menjual' seluruh kehidupannya untuk merealisasikan impian & cita-cita perjuangannya sehingga berhasil mendapat gelaran syuhada' di tali gantung. Rahsianya? Beliau sangat dikenal oleh rakan & musuh sebagai seorang yang sangat pendiam, payah untuk berkata-kata melainkan yang perlu, kerana lidahnya sentiasa dilazimi dengan zikir mengingati Sang Pencipta.

Bahkan pernah disaksikan oleh adik-beradiknya yang lain, Hamidah Qutb & Muhammad Qutb, waktu malamnya tidak pernah sunyi daripada bersolat malam, membaca Al-Qur'an, tegar mengabdikan diri kepada Yang Maha Kuasa. Ya, setiap malam, tidak pernah putus, tidak pernah tinggal.

Melihat kepada implimentasi tasawuf yang dibawa oleh tokoh ini, penulis kira ianya sangat-sangat patut dijadikan panduan oleh semua pejuang kebenaran, tidak kira latar belakang apa pun ia. Sejujurnya kita tidak mahu lihat adanya lagi para reformis zaman yang gagal dek kerana tidak mampu untuk membangunkan kekuatan rohani, yang menjadi kuasa untuk menolak sebarang godaan, baik material, pangkat, mahupun wanita.

Biarlah reformis perubahan yang bakal lahir selepas era kegelapan dunia ini terdiri daripada kalangan mereka yang punya dua kekuatan yang jitu, yang penulis lihat sebagai kekuatan perubahan yang sebenar, iaitu kekuatan yang menggenggam idealisme perjuangan & kekuatan rohani, muncul setelah berjaya membina hubungan yang akrab dengan Tuhan Yang Memiliki Seluruh Kekuatan...

No comments: