Thursday, July 30, 2009

Rejuvenasi Perjuangan Mahasiswa Di Hari Pemuda Sedunia

Pada tanggal 12 Ogos ini, genaplah 9 tahun sambutan Hari Pemuda Sedunia (International Youth Day) yang bermula sambutannya pada tahun 2000. Bermacam versi sebenarnya cara & metodologi sambutan hari ini mengikut lokaliti & sosio masyarakat satu-satu negara.

Namun, saya merasakan bahawa mahasiswa perlu mengambil signifikan tarikh keramat ini untuk membuat sesuatu yang bermakna kepada negara ini. Amat malanglah bagi mereka yang masih lagi dilanda kebekuan pemikiran dengan merasakan bahawa Malaysia telah melalui fasa yang paling baik pada waktu sekarang.

Mahasiswa pada hari ini harus membina paradigma seperti pemimpin negara dalam membentuk suatu sosio masyarakat yang lebih ideal buat negara ini. Tidak wajar bagi mahasiswa yang sentiasa cuba untuk tunduk dengan dogma-dogma yang merendah-rendahkan keupayaan mahasiswa dalam terlibat sama ke arah pembinaan ketamadunan yang baru bagi bangsa Malaysia.

Untuk menuju ke arah itu, penulis mencadangkan agar mahasiswa membiasakan diri untuk membaca & mentelaah buku-buku besar dalam pembinaan sebuah negara & membentuk satu-satu paradigma ketamadunan. Antara yang boleh penulis cadangkan ialah 'The End Of History' & 'The End Of Ideology'.

Ya, kajian demi kajian telah pun dibuat terhadap negara ini. Ternyata sehingga ke hari ini, Malaysia masih lagi gagal untuk membentuk suatu ketamadunan yang genuine, tersendiri & bebas dari tinggalan penjajah, iaitu dengan dasarnya yang cukup masyhur iaitu 'pecah & perintah'.

Dan lebih menyedihkan, walaupun pemimpin Malaysia selama 52 tahun ini merupakan seorang yang beragama Islam, ianya masih lagi gagal menjadikan Malaysia ini sebuah negara yang memberi keadilan untuk semua, walaupun itu merupakan tunjang yang penting dalam agama Islam.

Sudahlah demikian keadaannya, Islam masih lagi menjadi suatu agama, bukan cara hidup yang harus dinikmati kedamaiannya oleh seluruh rakyat. Justeru tidak hairanlah bermacam-macam kecelaruan yang berlaku dewasa ini, akibat daripada kondisi kepemimpinan negara yang melakukan apa yang tidak sepatutnya mereka lakukan & tidak lakukan apa yang sepatutnya mereka lakukan.

Oleh yang demikian, penulis menyeru kepada seluruh anak muda Malaysia, agar bersama-sama menjadikan Hari Pemuda Sedunia pada tahun ini sebagai suatu medan baru untuk membawa seluruh rakyat agar keluar dari kejumudan dalam berfikir (kemelayuan, kecinaan atau keindiaan), keaktifan dalam mengambil tindakan, & keberanian dalam membuat keputusan untuk kepentingan Malaysia.

Kita berupaya untuk membina sebuah keadaan yang baru buat negara ini. Kita mampu untuk menjadi suara lagenda dalam membincangkan permasalahan ummah. Dan yang lebih penting, penulis merasakan bahawa anak muda pada generasi ini sudah bersedia untuk memimpin negara ini ke mercu puncak kemakmuran yang hakiki, sebagaimana yang dituntut dalam Islam.

Wednesday, July 29, 2009

Badan siswa UM ‘bersepai’ jatuh bangunan flat (tajuk dari mahasiswakini.com)

Takziah penulis ucapkan kepada keluarga mendiang Tan. Sedih sebenarnya penulis tatkala mendapat khabar daripada Pengerusi Biro Penginapan Kolej Kediaman & Luar Kampus MPMUM, Sdr Fadzil Jamal berhubung kematian Tan, mahasiswa dari Muar, Johor pada hari Isnin yang lalu.

Tidak dapat penulis bayangkan keadaan kematian mendiang sewaktu mula-mula ditemui. Pastinya dahsyat & merundung tangisan serta rasa sebak sesiapa sahaja yang mula-mula menjumpai mayat mendiang.

Akan tetapi, penulis lebih risau keadaan keluarga mendiang dalam menerima berita ini. Mereka juga tentunya tidak dapat menerima kematian mendiang yang begitu tragik. Dan pelbagai soalan yang akan menerjah pemikiran mereka tentang sebab musabab di sebalik kematian yang menggemparkan tersebut.

Banyak teori-teori yang dikemukakan terhadap kematian mendiang. Ada yang mengatakan tindakan itu disebabkan tekanan perasaan, kecewa, dan lain-lain lagi. Namun tidak kurang juga yang menganalisis bahawa ada kemungkinan besar kesnya sama dengan Teoh Beng Hock. Namun pada penulis, kita serahkan kepada pihak yang berkenaan untuk menyiasat.

Dan dalam hal ini pada hemat penulis ialah, kita seharusnya memandang tragedi ini dalam konteks yang lebih luas. Perlu pada penulis untuk kita memikirkan kembali kandungan silibus wajib universiti yang berpaksikan kepada perpaduan pada waktu ini.

Ianya tidak salah, namun di sana ada keperluan yang lebih mendesak untuk ditambah pemfokusan terhadap sahsiah, akhlak & norma-norma moraliti yang boleh membantu mahasiswa dalam mengawal & memandu diri mereka. Ianya boleh disampaikan samada terus pergi kepada elemen akhlak & tasawuf seperti yang terkandung dalam agama Islam, ataupun mengambil kandungan-kandungannya secara tidak langsung.

Dan unsur-unsur tekanan dalam sistem pembelajaran hari ini juga perlu dinilai semula. Peperiksaan itu penting, namun jangan segalanya berpaksikan pada peperiksaan yang menjurus pada subjek yang diajar semata-mata. Perlunya kita melihat kembali domain-domain insaniah yang penting untuk dinilai juga di samping peperiksaan yang biasa.

Ianya secara langsung boleh mengurangkan tekanan terhadap mahasiswa & pada masa yang sama mereka merasakan perlunya mereka bersahsiah dengan sahsiah yang terpuji kerana itu juga termasuk dalam 'peperiksaan'. Memang kelakar bunyinya, namun bolehlah difikir-fikirkan... Wallahua'lam...

Penting! Panduan bagi peserta perhimpunan aman Mansuhkan ISA

Perkara yang perlu anda bawa/sediakan

1. Kad pengenalan, lesen memandu, satu kad ATM sahaja.

2. Duit-maksimum RM 100 sahaja.

3. Memakai pakaian yang sopan-Baju berwarna Hitam/Merah-Sebaiknya ada logo Mansuhkan ISA

4. Setiap peserta diwajibkan memakai kasut.

5. Aksesori kempen-Button, riben, topi, kopiah arm band, bendera kecil, banner dan placard yang ada Logo atau Slogan Mansuhkan ISA boleh digunakan.

6. Bendera Malaysia atau negeri masing-masing.

7. Air mineral, sedikit makanan ringan atau gula-gula.

8. Sedikit garam-ia penting dan boleh dimakan sedikit (bukan sapu dimuka) bagi mengembalikan tenaga terutamanya jika Pihak Polis sembur air dari Water Canon atau Gas pemedih mata.

9. Kain tuala kecil basah untuk tutup mata dan hidung untuk elak terkena gas pemedih mata.

10. Digalakkan memakai penutup mulut dan hidung jenis N100 Respirator, N95 Respirator dan Surgical facemask untuk mengelak penularan wabak Influenza H1N1 dan juga menghindarkan sedutan gas pemedih mata yang melampau.

11. Jika anda mempunyai asma atau alahan sila bawa inhaler atau ubat sendiri.

12. Sila bawa beg plastik sampah kecil bagi mengelakkan anda membuang sampah merata-rata.

13. Sila bawa pen dan kertas (mini note pad) bagi mencatat nama dan no. pengenalan Polis atau perkara-perkara yang mencurigakan.

14. Jangan lupa bawa kamera, video cam atau handphone berkamera bagi merakamkan suasana himpunan - gambar-gambar atau klip video boleh dihantar kepada kami selepas himpunan di email Setiausaha GMI-enalini_elumalai@yahoo.com Alamat email ini telah dilindungi dari spam bots, anda perlukan Javascript enabled untuk melihatnya untuk rekod dan disiarkan.

Perkara yang tidak dibenarkan

1. Jangan bawa kad matrik pelajar bagi student atau pass kakitangan bagi pekerja Kerajaan dan Swasta.

2. Jangan bawa terlalu banyak wang atau kad kreadit untuk elakkan penyeluk saku, tercicir atau hilang semasa perhimpunan atau ditahan.

3. Jangan memakai pakaian yang menjolok mata dan tidak sopan.

4. Jangan memakai selipar, kasut tumit tinggi atau sandal untuk memudahkan pergerakkan.

5. Jangan memakai kain atau skirt, digalakkan memakai seluar.

6. Jangan memakai barang kemas atau aksesori yang tiada kaitan dengan kempen mansuhkan ISA

7. Jangan bawa sebarang banner, placard, bendera yang melambangkan logo parti dan organisasi.

8. Sebarang slogan yang tiada kaitan dengan Kempen Mansuhkan ISA tidak dibenarkan.

9. Jangan bawa sebarang benda tajam kecuali pen.

10. Jangan bawa bahan-bahan yang boleh meletup atau mudah terbakar seperti, mancis, molotov cocktail dan mercun.

11. Tidak dibenarkan merokok semasa perhimpunan kerana akan menganggu orang lain.

12. Jangan bawa sebarang senjata seperti kayu, besi, rantai besi, pistol dan yang merbahaya.

13. Bagi yang membawa anak-anak, anda tidak dibenarkan membawa permainan yang berupa seperti senjata seperti pistol, senapang atau pisau mainan.

14. Jangan bawa anak-anak yang berumur 10 tahun ke bawah bagi mengelakkan sebarang masalah.

Perkara yang perlu anda lakukan sebelum perhimpunan

1. Servis kenderaan dan periksa peralatan yang perlu dibawa.

2. Jangan makan atau minum terlalu banyak sebelum perhimpunan.

3. Pastikan anda telah menunaikan 'hajat' sebelum memasuki perhimpunan.

4. Bagi yang Islam, Lakukanlah solat taubat dan hajat, semoga Allah berkati perhimpunan ini dan yang bukan Islam boleh berdoa mengikut ritual masing-masing.

5. Pastikan anda telah mengunci rumah atau meninggalkan pesanan-pesanan penting kepada keluarga atau jiran anda yang tidak pergi perhimpunan.

6. Maklumkan mereka tujuan anda keluar.

7. Maklumkan mereka nombor telefon sahabat lain yang bersama anda jika handphone anda tidak dapat dihubungi nanti.

8. Jangan lupa charge bateri handphone dan kamera.

9. Pastikan anda berniat kerana Allah (bagi yang muslim) sebelum keluar rumah.

10. Pastikan anda tahu arah tuju anda iaitu tempat berkumpul yang ditetapkan; Sogo, Masjid Jamek, atau Masjid Negara.

11. Pastikan anda datang awal untuk elakkan kesesakan jalan raya atau terpaksa berbaris panjang untuk beli tiket tren LRT atau Komuter.

12. Datang secara berkumpulan, jangan bersendirian.

13. Sekiranya perjalanan anda dihalang dari memasuki pusat bandar anda boleh meletakkan kenderaan dan berjalan kaki ke Sogo, Masjid Jamek, atau Masjid Negara (Jangan terus ke Istana Negara bersendirian).

14. Jangan memakai baju Mansuhkan ISA sebelum perhimpunan bermula.

Semasa perhimpunan dan perarakan

1. Berkumpul di tempat pertemuan yang ditetapkan (Sogo, Masjid Jamek, atau Masjid Negara) dan tunggu arahan dari Field Commander yang dilantik.

2. Ikutilah arahan dari Unit Amal atau Field Commander sepanjang program. Jangan pedulikan arahan lain tanpa merujuk kepadaField Commander.

3. Jangan berganjak dari tempat perhimpunan melainkan dengan arahan Field Commander.

4. Laporkan pada Unit Amal bertugas jika terlihat sesuatu yang mencurigakan.

5. Jangan tolak menolak sepanjang perhimpunan dan perarakan.

6. Elakkan mencerca, memaki hamun atau menunjukkan isyarat lucah semasa perhimpunan berlaku.

7. Raikan perhimpunan ini dengan aman dan harmoni.

8. Pastikan anda memberikan keutamaan laluan kepada kenderaan yang lalu lalang dan tidak melintas sesuka hati dijalanraya.

9. Pastikan anda memberikan keutamaan, membantu dan melindungi warga emas, orang kurang upaya atau kanak-kanak yang hadir bersama.

10. Maklumkan sahabat anda jika anda ingin keluar dari perhimpunan disebabkan hal kecemasan atau kerana ingin ke tandas bagi mengelakan masalah lain.

11. Pastikan anda dapat duduk semasa pimpinan berucap.

12. Pastikan anda tidak bersembang semasa pimpinan berucap kerana kemungkinan bunyi sound system akan tenggelam dengan suara ratusan ribu peserta.

13. Ikutilah laungan pimpinan jika perlu.

14. Pegang bendera Malaysia atau negeri anda sepanjang perarakan.

15. Jangan buang sampah merata-rata sepanjang perhimpunan. Masukan dalam beg plastik yang anda bawa.

16. Rakamkan suasana himpunan - gambar-gambar atau klip video boleh dihantar kepada kami selepas himpunan di email Setiausaha GMI-enalini_elumalai@yahoo.com Alamat email ini telah dilindungi dari spam bots, anda perlukan Javascript enabled untuk melihatnya untuk rekod dan disiarkan.

17. Kalau boleh rakamkan sekali wajah-wajah polis yang bertugas atau tragedi-tragedi penting seperti keganasan atau provokasi Polis jika ada.

Selepas perhimpunan

1. Pastikan anda bersurai secara perlahan-lahan dan dengan aman selepas diberikan arahan bersurai.

2. Pastikan sahabat atau saudara dan anak-anak anda ada bersama selepas perhimpunan. Jika tiada, sila datang ke Pejabat Agung PAS untuk membuat laporan dengan Unit Amal bertugas.

3. Jika ada sahabat atau saudara anda ditahan, jangan terus balik. Dapatkan maklumat di Pejabat Agung PAS atau ke Balai Polis berkaitan untuk bebaskan mereka.

4. Jangan tinggalkan apa-apa sampah ditempat perhimpunan. Pastikan semuanya dibuang ke tong sampah atau dibawa balik dan dibuang dirumah.

5. Berikan ucapan terima kasih kepada pasukan Keselamatan bertugas jika perhimpunan berjalan lancar.

6. Jangan lupa sebarkan gambar dan berita perhimpunan kepada semua sahabat-sahabat terutamanya yang tidak hadir. Segala info dan maklumat bolehlah diemailkan kepada kami di email Setiausaha GMI-enalini_elumalai@yahoo.com.

Apa anda perlu buat jika kumpulan Pro-ISA buat Provokasi

1. Jangan pedulikan mereka, diam dan teruskan mengikut arahan Field Commander Unit Amal.

2. Jangan menyahut provokasi mereka, jangan baling apa-apa, jangan tunjukkan isyarat apa-apa pada mereka. Anggap mereka tidak wujud pada hari berkenaan.

3. Jangan hampiri mereka.

4. Jika mereka bertindak agreasif secara tiba-tiba, tahan, jangan pukul tetapi serahkan mereka pada pihak Polis.

5. Jangan lupa buat laporan Polis terhadap mereka jika anda dicederakan atau diganggu.

6. Buat rakaman wajah-wajah mereka jika perlu.

Apa anda perlu buat jika polis buat provokasi dan serbuan

1. Jangan lari atau keluar dari perhimpunan melainkan dengan arahan pimpinan, anda akan mudah ditangkap jika keluar dahulu.

2. Jangan bersendirian, pastikan anda bergandingan tangan dan berdiri rapat-rapat bila polis acah nak buat serbuan atau tembakan water canon.

3. Duduk jika pimpinan arahkan.

4. Basahkan tuala anda dengan sedikit air, dan tekup dimuka bila gas pemedih mata dilepaskan. Basuh muka anda dengan air dan makan sedikit garam jika terkena air water canon berwarna kuning.

5. Jangan melawan atau cuba bertikam lidah dengan polis bila mereka provoke…hanya diamkan diri.

6. Ambil gambar mereka jika sempat.

7. Buat laporan Polis jika anda dikasari.

Apa yang anda perlu buat jika ditahan

1. Jangan banyak cakap dengan polis. Diamkan dan tenangkan diri.

2. Minta nama dan nombor polis yang menahan anda dan tanya dia sebab anda ditahan, seksyen berapa yang digunakan.

3. Berikan maklumat asas sahaja jika diminta seperti nama, no kad pengenalan, alamat rumah (berikan ikut alamat dalam IC sahaja).

4. Jika mereka tanya soal pekerjaan, jawap yang ringkas sahaja. Jangan bagi maklumat yang lengkap.

5. Bagi pelajar, jika mereka tanya anda masih belajar atau tidak, anda hanya perlu jawab "Masih tengah cari kerja" atau berikan jawapan lain yang sesuai. Elakkan mengaku sebagai student. Biar mereka siasat sendiri jika mereka perlukan maklumat lanjut. Jangan jawab soalan yang tidak perlu.

6. Bagi kakitangan Kerajaan jika mereka tanya tempat kerja anda, jawab ”Saya kerja swasta atau kerja sendiri”. Biar mereka siasat sendiri jika mereka perlukan maklumat lanjut. Jangan jawab soalan yang tidak perlu.

7. Minta berjumpa dengan peguam sebelum beri apa-apa keterangan. Peguam akan menunggu diluar balai jika anda ditahan.

8. Kalau boleh jangan beri terlalu banyak keterangan, anda hanya perlu jawab "saya akan bagi keterangan di Mahkamah sahaja". Ingat! Apa yang anda cakap di Balai Polis boleh dijadikan bahan bukti di Mahkamah. Anda berhak untuk tidak memberikan sebarang keterangan kepada Polis melainkan di Mahkamah.

9. Semasa ditahan, jangan pedulikan provokasi polis atau jangan mudah cair bila mereka berlembut.

10. Pastikan anda ingat semua yang berlaku, termasuklah pegawai polis yang tahan dan soal siasat anda.

11. Jangan terlalu risau kerana, diluar balai telah disediakan orang-orang yang akan jamin dan bela anda.

Apa yang anda buat selepas dibebaskan

1. Pastikan semua barang-barang anda dikembalikan oleh Polis.

2. Buat pemeriksaan kesihatan jika ada kecederaan.

3. Buat laporan Polis jika anda dikasari semasa perhimpunan atau semasa ditahan.

4. Ceritakan dan rakamkan pada peguam dan media jika anda dianiaya polis.

5. Jangan lupa catatkan semua yang anda ingat bila balik ke rumah untuk memudahkan anda mengingatinya bila dibawa ke Mahkamah kelak.

6. Pastikan anda ingat dan ambil nombor perhubungan orang yang jamin anda dan juga peguam yang terlibat.

7. Serahkan pada peguam segala maklumat dan gambar yang anda ada tentang himpunan bagi memudahkan pembelaan.

8. Jangan lupa solat sunnat syukur selepas dibebaskan dan kembalilah bertemu dengan sahabat-sahabat seperjuangan.

9. Jangan menyepi dari perjuangan selepas melalui pengalaman ditangkap kerana itu secara semulajadi akan menyebabkan motivasi anda akan menjadi lemah dan anda akan rasa keseorangan.

10. Teruskan perjuangan bersama sahabat-sahabat lain.

11. Sesungguhnya anda akan rasa lebih hebat dan berani lagi selepas ditangkap kerana tidak semua orang berpeluang merasai apa yang anda lalui ketika ditahan.

Perhatian!

1. Pihak kami tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang kesalahan atau pelanggaran undang-undang yang tidak ada kena mengena dengan perhimpunan ini.

2. Pihak kami tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang provokasi atau tindakan ganas yang dilakukan oleh mana-mana pihak secara berkumpulan atau individu.

3. Pihak kami tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang kecederaan yang disebabkan oleh kecuaian atau tindakan diluarkan arahan penganjur.

4. Pihak kami tidak akan bertanggungjawab ke atas sebarang penangkapan yang dibuat kerana pergaduhan atau aktiviti agreasif yang tiada kaitan dengan arahan himpunan ini

Secara keseluruhannya, kita berdoa semoga Perhimpunan ini dapat berjalan lancar tanpa adanya sebarang masalah atau tangkapan.

Kita berharap agar dengan sedikit usaha dan kehadiran kita ini akan dapat memberikan kesedaran kepada pihak Kerajaan dan memberikan laluan untuk Agong mempergunakan kuasa yang ada untuk memperbaiki kelemahan sistem perundangan negara kita.

Ingat, Himpunan Bersih dan PPSMI berjaya menyedarkan Kerajaan kerana kesungguhan rakyat. Maka, kini adalah masa untuk kita berjuang bersama untuk memansuhkan ISA.

Pastikan anda mengikuti arahan-arahan yang diberikan. Sebarang masalah anda boleh rujuk kepada Field Commander atau Unit Amal yang bertugas pada perhimpunan ini.

Ingatlah, peristiwa ini adalah peluang untuk anda sekali seumur hidup dan ianya akan kekal menjadi sejarah yang akan menjadi sebutan kepada anak cucu kita. Jangan lepaskan peluang untuk menjadi sebahagian dari sejarah ini.