Saturday, August 29, 2009

Ahli Gerakan Yang Merasa Tidak BerTuhan

Akhir-akhir ini penulis dijentik kebimbangan tatkala memerhatikan kecenderungan ahli gerakan, khususnya mereka yang menggelar diri sebagai aktivis mahasiswa Islam, dalam memperhalusi setiap elemen kerohanian & tarbiyah ruhiyah sepanjang menggerakkan instrumen-instrumen dakwah & seruan kebenaran.

Ianya seakan sudah menjadi sesuatu yang tidak penting lagi untuk diperhatikan secara serius oleh seluruh ahli gerakan, khususnya mereka yang diberikan amanah sebagai pemimpin gerakan mahasiswa Islam.

Lebih parah, mereka yang kehilangan arah ini sering kali pula diberikan kepercayaan untuk membimbing ummat, baik dalam lapangan kuliah di masjid-masjid, mahupun gerak kerja yang berstrategi sifatnya.

Terkadang terlintas di benak ini, di manakah bisa datang keberkatan dalam bergerak bilamana pemimpin gerakan Islam sendiri pun memandang sepi aspek konsistensi tarbiyah ruhiyah ini? Bagaimankah boleh datang keberkatan bergerak kerja apabila seruan di bibir kencang untuk menyeru orang bersolat 5 waktu di masjid, sedangkan diri solat 5 waktu pun masih lagi perlu diingatkan, bahkan 'konsisten' pula di bilik-bilik tidur & di rumah-rumah sewa?

Bahkan lebih celaka, ada pula kedapatan sebilangan ahli gerakan yang telah berbaiah untuk menyerahkan seluruh kehidupan ini untuk perjuangan Islam, sanggup pula mengambil jalan simpang dengan perlakuan-perlakuan sumbang di belakang rakan-rakan sefikrah lainnya untuk 'bertenet' dengan akhawat yang kononnya difikirkan halal atas alasan "ana telah bertunang syeikh..."

Manual tarbiyah yang biasanya menjadi pengamalan rutin bagi ahli gerakan hanya tinggal lembaran-lembaran elok yang tertampal kemas di rumah-rumah sewa & di dinding-dinding bilik di kolej kediaman. Ianya hanya mendapat pandangan sepi tatkala diri merasakan bahawa perencanaan strategi-strategi dakwah dan yang lain-lainnya telah cukup mapan untuk meraih nusrah dari-Nya.

Justeru di manakah kita dalam hal ini? Adakah termasuk dalam kelompok yang disebut di atas? Jika ya, di manakah titik puncanya sehingga mereka yang telah mengikat janji setia untuk hidup & mati dalam perjuangan Islam pun masih sanggup berkeadaan sedemikian?

Mungkin ada yang memberi jawapan teralpa atau terlupa sehingga keadaan diri tersasar sedemikian jauh. Ataupun jawapan yang lebih famous, "Ana lemah syeikh untuk maintaian amalan-amalan macam ni..." Ataupun ada yang lebih berani memberikan jawapan, "Ala, ana macam ni pun, kerja Islam ana buat..."

Sebenarnya itu semua hanya alasan yang direka cipta oleh insan yang lemah untuk duduk di dalam zon selesa untuk tunduk kepada hawa nafsu. Ya, kegagalan untuk melawan hawa nafsu mungkin satu faktor yang besar sifatnya. Namun ianya masih lagi tidak dapat diselesaikan jika ahli gerakan sendiri masih tidak dapat diresapi keinsafan bahawa dirinya berTuhan, sentiasa diperhatikan Tuhan, perlu kepada Tuhan, dan akan kembali kepada Tuhan. Kekuatan untuk menjauhi hawa nafsu hanya akan datang selepas selesai persoalan itu.

Ya, itulah puncanya. Bagaimana boleh seorang individu yang merasakan dirinya sentiasa diperhatikan Tuhan, boleh berasa selesa tatkala dirinya tidak mengamalkan apa yang dicakapkan? Dan bagaimana mungkin seorang yang merasakan Tuhan sentiasa memerhatikannya boleh melanggar hukum-hukum & batas-batasnya tatkala berada di belakang rakan-rakan yang lain?

Dan mana mungkin seseorang itu boleh selesa bergerak kerja dalam keadaan dirinya 'kosong' dengan ruhi yang tidak terisi dengan amalan-amalan khusus apabila memikirkan yang nusrah Allah itu hadir kepada makhluk yang rapat dengan-Nya?

Penulis cukup percaya, kadang-kadang bukan strategi yang menjadi punca kegagalan satu-satu gerakan. Akan tetapi keadaan ahli gerakan yang semakin jauh dengan Pencipta itulah yang merupakan suatu faktor yang sangat mendesak untuk dirubah & diubah.

Lantas nasihat penulis buat diri yang lemah ini & rakan-rakan di luar sana, sentiasalah merasakan diri ini dipantau sepenuhnya oleh-Nya. Cukuplah dengan membohongi diri selama ini dengan alasan-alasan yang telah menyebabkan kita semakin jauh dengan-Nya.

Belajarlah untuk menjadi seorang ahli gerakan yang berstrategik & ahli ibadah yang konsisten. Siapa tahu dengan keadaan ini suatu hari nanti mahasiswa bakal memimpin Malaysia? Segalanya penulis serahkan kepada Allah S.W.T untuk terus menjaga seluruh ahli gerakan agar sentiasa 'suci' daripada berada dalam lingkunagan kemarahan-Nya... Wal'iyazubiLlah...

Friday, August 28, 2009

Sajak Juang Untuk Seluruh Mahasiswa


Sajak Pertemuan Mahasiswa – W.S Rendra

Matahari terbit pagi ini
Mencium bau kencing orok di kaki langit
Melihat kali (sungai) coklat menjalar ke lautan
Dan mendengar dengung lebah di dalam hutan

Lalu kini ia dua penggalah tingginya
Dan ia menjadi saksi kita berkumpul di sini
Memeriksa keadaan

Kita bertanya:
Kenapa 'maksud baik' tidak selalu berguna?
Kenapa 'maksud baik' dan maksud baik bisa berlaga?
Orang berkata:
Kami punya (ada) 'maksud baik'”
Dan kita bertanya: “'maksud baik' saudara untuk siapa??”

Ya!
Ada yang jaya, ada yang terhina!
Ada yang bersenjata, ada yang terluka!
Ada yang duduk, ada yang diduduki!
Ada yang berlimpah, ada yang terkuras!
Dan kita disini bertanya:
'Maksud baik' saudara untuk siapa??
Saudara berdiri di pihak yang mana?!!

Kenapa 'maksud baik' dilakukan...
Tetapi makin banyak petani kehilangan tanahnya!
Tanah–tanah di gunung sudah menjadi milik orang–orang di kota!
Perkebunan yang luas
Hanya menguntungkan segolongan kecil saja!
Alat–alat kemajuan yang diimport
Tidak cocok (sesuai) untuk petani yang sempit tanahnya!
Tentu, kita bertanya:
“'maksud baik' saudara untuk siapa?!”
Kita mahasiswa tidak buta!!

Sekarang matahari semakin tinggi
Lalu akan bertahta juga di atas puncak kepala
Dan di dalam udara yang panas
Kita juga bertanya:
Kita ini dididik untuk memihak yang mana??
Ilmu–ilmu yang diajarkan di sini
Akan menjadi alat pembebasan!
Ataukah akan menjadi alat penindasan??
Kita menuntut jawapan!!

Sebentar lagi matahari akan tenggelam
Dan malam tiba
Cicak–cicak bernyanyi di tembok
Rembulan berlayar
Tapi!
Pertanyaan-pertanyaan kita tidak akan mereda
Ia akan muncul di dalam mimpi
Akan tumbuh di kebun belakang!

Dan esok hari
Matahari akan terbit kembali
Senantiasa hari baru akan menjelma
Pertanyaan–pertanyaan kita akan menjadi hutan
atau masuk ke kali (sungai)
menjadi ombak di samudera!!

Di bawah matahari ini kita bertanya:
Ada yang menangis, ada yang mendera
Ada yang habis, ada yang mengikis
Dan maksud baik kita
Memihak yang mana?!!

RENDRA
(Jakarta, 1 Disember 1977)

*Sajak ini dipersembahkan kepada para mahasiswa Universitas Indonesia di Jakarta dan dibacakan di dalam salah satu adegan filem “Yang Muda Yang Bercinta” yang diarahkan oleh Sumandjaya

*Diambil dari kumpulan puisi “Potret Pembangunan Dalam Puisi” (Pustaka Jaya–1996)

Wednesday, August 26, 2009

Isu Sebat Kartika: Antara 'The Presented Problem & The Real Problem'

Akhir-akhir ini terlalu banyak respon yang telah dilontarkan oleh segenap masyarakat tentang hukuman sebat yang dijatuhkan kepada Kartika Sari Dewi Shukarno oleh Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan. Ternyata ianya mengandungi nilai pro & kontra yang tersendiri.

Antara yang terawal yang memberikan komentar & pandangan tentang hukuman ini ialah mantan Perdana Menteri Malaysia sendiri iaitu Tun Dr Mahathir Mohamad. Sisi yang disentuh ialah mempersoalkan relevensi hukuman ini & meminta penghujahan ilmiah daripada kalangan mereka yang pakar dalam persoalan hukum-hakam Islam terhadap hukuman ini.

Bahkan Perdana Menteri sekarang, Dato' Sri Najib Tun Razak juga tidak ketinggalan dalam memberikan cadangan. Beliau meminta kepada Kartika supaya merayu kepada mahkamah yang lebih tinggi supaya meringankan hukuman yang telah dijatuhkan terhadap dirinya.

Dan ulasan daripada Sisters In Islam (SIS) merupakan suatu ulasan yang ternyata telah mengundang kontroversi yang tidak kurang hebatnya. Ramai juga kalangan bloggers yang cenderung untuk menyokong mahupun membentah ulasan yang telah diberikan oleh wakil SIS itu.

Tidak kurang juga di kalangan mereka yang sayangkan Islam, namun masih kabur pada penulis tentang kefahaman syariatnya, yang menjerit kegembiraan kerana merasakan undang-undang syariah sudah tertegak di bumi Malaysia ini. Setelah bertahun-tahun menunggu untuk orang disebat sebab minum arak, akhirnya masa itu tiba.

Sungguhpun begitu, pada penulis masalah-masalah & respon-respon yang berbangkit sebaik hukuman itu dijatuhkan hanyalah the presented problem atau masalah yang terhasil sebenarnya. Di dasarnya ada satu masalah yang paling besar, yang tidak pernah selesai sejak negara ini merdeka sungguhpun di sana adanya satu institusi mahkamah yang digelar sebagai 'mahkamah syariah'.

Dan masalah itulah yang penulis istilahkan sebagai the real problem atau masalah yang sebenar-benarnya. Ianya tidak lain & tidak bukan ialah kefahaman seluruh masyarakat tentang undang-undang syariah yang sebenarnya, sebagaimana yang diamalkan oleh Rasulullah S.A.W, para sahabat serta mereka yang mencontohi generasi ini serta pemahaman tentang hikmah keseluruhan undang-undang syariah tersebut, baik kepada kalangan muslim & non-muslim.

Inilah paksi kepada seluruh permasalahan yang ada. Dalam konteks ini, penulis tidak mahu terlalu melulu untuk menyalahkan SIS semata-mata atas komentarnya yang kontroversi kerana pada penulis, ianya adalah cetusan & kegusaran sebahagian masyarakat yang masih lagi 'kelabu' tentang undang-undang syariah ini.

Pada penulis, inilah jadinya jika rakyat tidak diterangkan secara jelas hikmah & keadilan yang terkandung dalam setiap undang-undang syariah yang sebenarnya. Bahkan lebih teruk, rakyat dibodohkan dengan momokan dangkal dalam hal undang-undang had yang ternyata mempunyai keadilan & hikmah yang universal sifatnya. Jika tidak, masakan ada di kalangan saintis barat yang melahirkan kekaguman terhadap hikmah undang-undang ini tatkala membuat kajian saintifik terhadap perkaitan hukuman seperti sebat, kesalahan, & kesan positif terhadap fisiologi tubuh badan manusia?

Dan jika ditinjau di zaman Rasulullah S.A.W pula, ada di kalangan rakyat yang non-muslim yang meminta dikenakan ke atasnya undang-undang syariah, walaupun dirinya tahu bahawa undang-undang tersebut tidak wajib ke atas dirinya. Tidakkah kita ingin menggali bagaimana individu ini boleh meyakini undang-undang syariah dalam keadaan dirinya yang masih lagi belum memeluk agama Islam?

Penulis melihat bahawa rakyat perlu dicelikkan dahulu tentang apa itu undang-undang syariah yang sebenar & hikmah penghukumannya. Penulis tidak mahu rakyat diterangkan tentang kandungan undang-undang syariah ala Malaysia yang sebahagiannya tidak jelas, bahkan sangat jauh konsep & pelaksanaannya daripada roh undang-undang syariah yang sebenar. Lebih menyedihkan, ada undang-undang syariah ala Malaysia ini yang bercampuraduk dengan undang-undang sivil ciptaan manusia.

Mungkin PAS, ABIM, JIM, HALUAN, Tabligh atau mana-mana gerakan Islam di Malaysia boleh mengambil peranan ini. Ambillah resam ini, "Jangan terlalu melulu untuk memaksa dikenakan hukuman kepada orang tidak faham dalam keadaan kita belum lagi melunaskan tanggunggajawab untuk memahamkan orang yang sepatutnya faham."

Penulis cukup yakin & percaya jika the real problem ini dapat diselesaikan secara konsisten dalam tempoh yang segera, maka tidak akan ada lagi mana-mana individu yang akan ragu-ragu terhadap keadilan & kesaksamaan undang-undang syariah. Namun pastikan bahawa ianya merupakan undang-undang syariah yang sebenar, bukan undang-undang syaraiah ala Malaysia, yang kita amalkan sekarang... Wallahua'lam...

Monday, August 17, 2009

Dr Muhammad Afifi al-Akiti Di Balai Ilmu APIUM Malam Ini

Tepat jam 9.30 malam, talk show yang bertajuk "Muslim World's Preparedness In Facing The Challenges Of 21st Century" bakal membuka lembaran baru dalam dakwah PMIUM untuk mengopak paradigma mahasiswa & warga UM untuk memperoleh seberapa banyak pendedahan & kupasan oleh Fellow Pertama Muslim Malaysia di universiti tersohor dunia iaitu Universiti Oxford.


Penulis yang dapat berborak ringkas sewaktu ingin menjemput beliau bersama-sama dengan warga UM dalam talk show ini, sempat mengetahui sedikit sebanyak tentang latar belakang beliau. Pengalaman beliau yang luas dalam pelbagai bidang dalam agama Islam & berpengalaman duduk bersama-sama pensyarah-pensyarah Pengajian Islam yang bukan beragama Islam di Universiti Oxford, merupakan hal yang aneh yang harus diketahui oleh para pembaca sekelian.

Menariknya mengenai diri beliau, kedudukan beliau sebagai seorang ilmuan Islam di tengah-tengah kepincangan & kecelaruan masyarakat, benar-benar menjadi cabaran untuk beliau bersama-sama dengan rakan-rakan yang lain untuk menampilkan wajah Islam yang sebenar.

Justeru, penulis menjemput seluruh pembaca di luar sana untuk hadir berdiskusi dengan beliau malam ini. Selamat berdiskusi...

Sunday, August 16, 2009

Sepintas Lalu Buat Ketamadunan Baru Malaysia

"Biology requires sex to create a child. Civilization requires marriage and a family to raise that child." -Charles E. Corry, Ph.D.-

Pembacaan penulis akhir-akhir ini tentang ketamadunan ternyata memberikan sesuatu sisi pandang yang berbeza tentang Malaysia. Jika sebelum-sebelum ini kita disogokkan dengan 'aim' untuk meletakkan Malaysia sebagai sebuah negara maju, ternyata setelah penulis kaji melalui pembacaan-pembacaan, ianya merupakan suatu matlamat yang 'kecil' & impaknya tidak ke mana jika diteliti secara lebih mendalam.

Dua buku yang sempat penulis bedah ternyata memberikan penulis suatu dimensi baru untuk masa depan Malaysia. "The Story of Western Civilization: How Civilization Began" oleh -Alan W. Riese & Herbert J. Lasalle- serta buku "Civilization and Its Enemies: The Next Stage of History" oleh -Lee Harris- telah 'mengajar' penulis kesan-kesan pembangunan negara yang dibina di atas nilai-nilai meterial semata-mata.

Huraian yang diberikan ternyata merupakan suatu kajian yang mendalam tentang Ketamadunan Barat yang tidak memberikan kebaikan dari sudut pembangunan manusia sehingga tamadun ini menjadi 'fitnah' kepada ketamadunan dunia secara keseluruhannya.

Kejatuhan tamadun-tamadun yang dibina di atas asas yang kukuh seperti Tamadun Kekhilafahan juga dikupas secara detail tentang punca-punca besar tamadun ini runtuh. Antaranya yang paling besar ialah keintegritian pemimpin dalam memegang nilai-nilai agama (Islam) & keobsesan dengan pembawaan negara-negara luar yang dilihat 'lebih bertamadun' telah mengundang bencana kepada mana-mana tamadun yang dibina walaupun pada permulaannya ianya berdiri di atas tapak & asas yang kukuh.

Tamadun Rom & Yunani juga dikaji secara analitikal dengan melihat kepada punca-punca kejatuhannya yang lebih bersifat bottom-up apabila rakyatnya dibiarkan terumbang-ambing keadaannya sehingga mereka tidak kisah dengan negara yang didiami. Kelalaian terhadap pembangunan negara, ditambah dengan serangan pemikiran, kepercayaan & paradigma dari luar, telah menyebabkan tamadun ini runtuh menyembah bumi.

Sekadar menyinggung kondisi di Malaysia, suatu identiti yang jelas dengan tidak berkiblatkan pada mana-mana blok dengan obses ketika ini, wajar diambil secara kritikal. Sememangnya ianya merupakan suatu hal yang terbaik, tatkala Malaysia tidak hanya sekadar berpada dengan pendekatan ekonomi ala Kapitalisme & Sosialisme semata-mata, bahkan secara realitinya Malaysia harus mencipta suatu pendekatan ekonomi yang lebih menyeluruh, dengan mampu memecut keampuhan tunjangnya secara radikal & memelihara kesejahteraan rakyat secara praktikal.

Liberalisasi ekonomi merupakan sesuatu yang sihat buat Malaysia. Namun nasihat penulis, Malaysia harus menumpukan kepada liberalisasi domestik terlebih dahulu, barulah kita mempunyai 'taring' untuk bersaing dalam liberalisasi ekonomi di peringkat global.

Namun apa yang lebih utama, melalui penekanan dalam kedua-dua buku yang penulis baca, segalanya tentang negara & tamadun ini tetap berpaksikan kepada pemerintah. Kekuatan pemerintah pastinya menjadi kekuatan dalam mana-mana ketamadunan.

Tuntasnya, keadaan ini telah menjadi bukti bila mana Allah S.W.T menceritakan perihal pemerintah Zulqarnain di dalam Surah Al-Kahfi, pada ayat 83-98...

Tahniah Ustaz Akhil Hayy

Baru beberapa jam yang lepas, penulis mendapat khabar daripada rakan-rakan serumah tentang berita pernikahan penyanyi selebriti yang berstatus pendakwah, Ustaz Akhil Hayy, yang sering diburu kontroversi kebelakangan ini. Lantas penulis terus melayari berita di internet untuk mengesahkan khabar tersebut.

Nah, inilah dia beberapa keping gambar yang sempat penulis 'upload'kan daripada mStar Online untuk tatapan pembaca sekelian...



Terungkai sudah segala spekulasi... Penulis & rakan-rakan yang mula mengenali Ustaz Akhil tatkala kami menganjurkan konsert di UM Nilam Puri akan sama-sama mendoakan kebahagiaan ini akan berkekalan..

Buat Kak Maizawati pula, moga terus tabah & ceria dengan kehadiran anak-anak di sisi. Semoga akak juga ditemukan dengan jodoh yang boleh membimbing ke syurga hendaknya... Amin...

Saturday, August 15, 2009

KENYATAAN PENDIRIAN MAHASISWA DAN MAHASISWI TERHADAP HIMPUNAN MANSUHKAN AKTA KESELAMATAN DALAM NEGERI (ISA) DAN REAKSI PIHAK-PIHAK BERKAITAN

Oleh: Solidariti Mahasiswa Malaysia

Kami,gerakan mahasiswa dan mahasiswi memandang serius dan mengecam sekeras-kerasnya reaksi pihak-pihak berkaitan iaitu kerajaan,Polis Diraja Malaysia (PDRM), media dan gerakan tertentu terhadap Himpunan Mansuhkan ISA pada 1 Ogos 2009.

Pandangan serta kecaman kami yang keras dan kritikal terhadap reaksi-reaksi pihak-pihak tersebut atas pertimbangan kami bahawa:

REAKSI PIHAK POLIS BERTENTANGAN DENGAN DEKLARASI UMUM HAK ASASI MANUSIA DAN PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN

Deklarasi Umum Hak Asasi Manusia (UDHR) dan Perlembagaan Persekutuan Malaysia telah menjamin dan melindungi hak setiap individu untuk berhimpun dan menyuarakan pendapat yang dipegang kepada masyarakat.Justeru,penyertaan individu dalam Himpunan Mansuhkan ISA merupakan satu bentuk penyertaan yang dijamin dan dilindungi oleh UDHR dan Perlembagaan Persekutuan Malaysia.Sebarang tindakan daripada mana-mana pihak yang bertujuan menghalang dan merampas hak tersebut merupakan suatu bentuk tindakan yang bercanggah serta pencabulan hak asasi manusia dan Perlembagaan Persekutuan Malaysia yang amat serius. Tindakan pihak polis terhadap peserta-peserta Himpunan Mansuhkan ISA merupakan suatu bentuk pencabulan yang amat serius terhadap hak asasi manusia dan Perlembagaan Pesekutuan Malaysia. Justeru, kami berpendirian bahawa sebarang tindakan yang dikenakan oleh pihak polis terhadap peserta Himpuan Mansuhkan ISA termasuk menghalang,menahan dan mendakwa mereka adalah tindakan yang tidak sah kerana bertentangan serta mencabuli hak asasi manusia sepertimana yang termaktub dalam UDHR dan Perlembagaan Persekutuan Malaysia

KEGAGALAN DAN REAKSI MELAMPAU PIHAK POLIS TERHADAP PESERTA HIMPUNAN MANSUHKAN ISA

Tindakan pihak polis yang bertindak ganas ,menggunakan gas pemedih mata dan semburan air berasid terhadap peserta Himpunan Mansuhkan ISA jelas sekali bertentangan dengan tugas dan tanggungjawab pihak polis iaitu melindungi hak asasi warganegara Malaysia dan memastikan hak-hak asasi tersebut dapat diamalkan secara bebas dan aman.Kegagalan pihak polis melaksanakan tugas dan tanggungjawab mereka apabila bertindak menghalang peserta-peserta Himpunan Mansuhkan ISA dengan tindakan keras yang tidak wajar yang jelas sekali bertujuan untuk mengintimidasikan peserta himpunan tersebut khususnya dan warganegara secara umumnya untuk mengamalkan hak mereka.Pada masa yang sama,tindakan pihak polis telah menggunakan tindakan-tindakan yang keras dan melampau terhadap peserta-peserta Himpunan Mansuhkan ISA yang telah berhimpun dan berarak secara aman dan tidak menimbulkan sebarang ancaman atau bertindak secara agresif terhadap harta-harta awam dan persendirian atau masyarakat merupakan suatu tindakan yang amat tidak wajar.Tindakan melampau dank eras pihak polis sebaliknya telah menimbulkan dan menyebabkan kekacauan,kemusnahan dan kerugian kepada harta-harta awam dan persendirian dan masyarakat.Justeru,kami berpendirian bahawa pihak polis telah gagal menjalankan tugas dan tanggungjawabnya selain bertindak secara tidak wajar apabila bertindak dengan ganas dan keras.

PENCABULAN HAK TERHADAP INDIVIDU-INDIVIDU YANG DIKATEGORIKAN SEBAGAI JUVANA

Mengikut peruntukan undang-undang yang menjadi garis panduan terhadap sebarang tindakan pihak polis,tindakan terhadap m mana-mana individu yang dikategorikan sebagai juvana berlandaskan prosedur-prosedur tertentu dan berbeza dengan individu-individu yang tidak dikategorikan sebagai juvana. Namun begitu, pihak polis jelas sekali melakukan pencabulan undang-undang yang amat serius apabila menahan individu-individu di bawah kategori juvana dalam lokap tanpa kehadiran wakil daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat yang jelas sekali bertentangan dengan peruntukan terhadap individu di bawah kategori juvana.Tindakan berkenaan merupakan suatu bentuk pencabulan yang amat serisu kerana tindakan tersebut memaparkan kegagalan pihak polis sebagai penguatkuasa undang-undang untuk bertindak mengikut undang-undang serta sewenang-wenangnya mencabuli hak juvana.Justeru,kami berpendirian bahawa pihak polis telah gagal melaksanakan tugas dan tanggungjawabnya sebaliknya bertindak mencabuli hak individu yang jelas sekali merupakan satu bentuk penyalahgunaan kuasa dalam tindakan pihak polis.

KENYATAAN-KENYATAAN BERMOTIFKAN HASUTAN OLEH MEDIA DAN GERAKAN TERTENTU

Media dan gerakan tertentu telah mengeluarkan beberapa kenyataan –kenyataan sebagai reaksi terhadap Himpunan Mansuhkan ISA.Malangnya,kenyataan-kenyataan tersebut berunsurkan provokasi yang jelas sekali bertujuan untuk menimbulkan ketegangan antara kaum dalam masyarakat majmuk Malaysia.Utusan Malaysia serta Majlis Permuafakatna Ummah(PEWARIS) merupakn pihak yang telah bertanggungjawab mengeluarkan kenyataan-kenyataan tersebut.Kami menghormati hak individu dan gerakan untuk menyuarakan pandangan serta pendapat mereka namun kami mengecam sekeras-kerasnya kenyataan yang berunsurkan provokatif perkauman sepertimana yang telah dikeluarkan oleh kedua-dua pihak tersebut memandangkan tindakan tersebut merupakan suatu tindakan yang berniat jahat iaitu mewujudkan ketegangan antara kaum di Malaysia.

MENGHORMATI DAN MENJALANKAN TUNTUTAN RAKYAT

Sesebuah kerajaan bertanggungjawab untuk melindungi dan menjamin hak rakyat di samping menjalankan tuntutan dan aspirasi rakyat memandangkan legitimasi kerajaan diperoleh daripada keizinan rakyat melalui pelbagai proses serta tindakan dalam system demokrasi.Kegagalan pihak kerajaan memenuhi tugas dan tanggungjawab tersebut merupakan suatu bentuk pencabulan dan penindasan terhadap hak rakyat.Himpunan Mansuhkan ISA pada 1 Ogos 2009 jelas memaparkan tuntutan dan aspirasi rakyat terhadap kerajaan agar memulihkan dan menghormati hak asasi manusia sebagaimana yang telah dinyatakan dan dijamin serta dilindungi oelh UDHR dan Perlembagaan Persekutuan Malaysia dengan memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri. Justeru, kerajaan wajib melaksanakan tuntutan dan aspirasi ini bagi memenuhi tugas dan tanggungjawab kerajaan terhadap rakyat yang seharusnya berfungsi sebagai sebuah kerajaan oleh rakyat dan untuk rakyat.Justeru,kami berpendirian bahawa kerajaan wajib memenuhi tuntutan dan aspirasi rakyat ini dengan memansuhkan ISA tanpa sebarang kompromi.

Justeru,kami menuntut agar:

Memansuhkan Akta Kselamatan Dalam Negeri tanpa sebarang kompromi serta membebaskan tahanan-tahanan andainya tahanan-tahanan tersebut didapati tidak bersalah atau wujud keraguan yang munasabah terhadap dakwaan terhadapnya setelah dibicarakan di institusi keadilan yang bebas,adil dan berintegriti.

Menutup Kem Tahanan Kamunting yang telah digunakan untuk menahan individu-indivuidu di bawah Akta Keselamatan Negeri.

Membebaskan semua peserta Himpuan Mansuhkan ISA dan menggugurkan dakwaan terhadap mereka tanpa sebarang syarat.

Berjumpa dengan Perdana Menteri supaya membawa pandangan-pandang mahasiswa terhadap masyarakat.

Thursday, August 13, 2009

Menteri Kesihatan Harus Meletak Jawatan



Begitulah tajuk berita yang paling terkini tentang keadaan wabak yang sedang berleluasa di Malaysia sekarang ini. Keadaanya sangat kronik, walaupun cara diberitakan di media arus perdana seperti TV3 & Utusan Malaysia seolah-olah semacam ianya 'terkawal' & 'tidak ada apa-apa'.

Penulis kadang-kala keliru dengan tindakan pihak kementerian dalam usaha mereka untuk menangani keadaan ini. Semacam suatu tindakan 'try & error' yang dilakukan, tanpa benar-benar menerangkan kepada rakyat suatu plan atau manual tindakan yang lengkap di pihak mereka untuk menghentikan jumlah kematian yang semakin meningkat ini.

Penulis merasakan bahawa tindakan daripada pihak kerajaan untuk mengawal wabak ini sebagai suatu tindakan yang sangat lembab & sangat perlahan untuk membendung kadar kematian.

Terma-terma seperti 'usaha sedang dipergiatkan', 'rakyat diseru untuk bersama kerajaan dalam menangani wabak ini', semacam suatu alasan politik untuk melihatkan yang kerajaan 'telah melakukan sesuatu'. Namun pada hakikatnya, itulah terma-terma yang telah meneruskan kadar kematian yang semakin meningkat ini, tanpa sedikitpun mampu menjernihkan keadaan.

Penulis ingin bertanya, rendah sangatkah nilai nyawa rakyat sehingga diperbodohkan dengan retorik-retorik yang sedemikian rupa? Adakah disebabkan tiada 'orang besar' yang dijangkiti wabak ini telah memberi keselesaan besar kepada pihak kerajaan untuk bertindak tanpa suatu plan pengurangan yang lengkap & sempurna?

Kepada pihak kerajaan, 44 nyawa bukanlah suatu nilai yang kecil-kecil anak. Bahkan kalau 1 nyawa sahaja pun yang terkorban, ianya sudah merupakan sesuatu yang tidak wajar & tidak boleh diterima.

Ianya bertitik tolak di atas faktor bahawa negara kita bukanlah negara yang mundur, yang tidak mempunyai apa-apa fasiliti & kepakaran yang boleh membantu. Akan tetapi Malaysia ialah sebuah negara membangun yang cukup terkedepan dalam segenap aspek.

Justeru, penulis sememangnya melihat bahawa pihak Menteri Kesihatan harus mengambil tanggungjawab di atas kegagalan ini & meletakkan jawatan dengan kadar segera. Seterusnya, penulis juga menuntut agar pihak kerajaan menyediakan suatu manual yang lengkap, yang diyakini dapat membendung jumlah kematian yang diakibatkan oleh wabak ini. Titik.

Takziah Buat Prof Madya Datuk Dr Azarae Idris

Penulis baru mendapat maklumat daripada sumber dalaman HEPA yang mengatakan bahawa TNC HEPA UM kini sedang dalam proses kuarantin kerana disyaki menghidap wabak yang paling digeruni pada waktu ini iaitu Influenza A H1N1.

Justeru di kesempatan ini, penulis bersama seluruh saf kepimpinan PMIUM dan ahli PMIUM keseluruhannya mengucapkan takziah kepada Dr dan keluarganya di atas musibah yang berlaku ini. Harapannya agar mereka dapat terus tabah dalam menjalani ujian daripada Allah S.W.T ini dan berdoa agar Dr dapat kembali sembuh untuk menjalani kehidupan yang lebih baik di sisi keluarga tersayang.

Nasihat penulis kepada seluruh masyarakat di luar sana agar sentiasalah berada dalam keadaan yang penuh dengan kewaspadaan. Ya, kita maklum bahawa wabak ini 'tidak bermata'. Sesiapa pun boleh dijangkiti dengan kehendak & keizinan daripada Allah S.W.T.

Oleh yang demikian, selalulah bermohon dengan Allah S.W.T agar kita diselamatkan daripada wabak ini, dan terhindar juga daripada sebarang wabak yang pastinya disebabkan oleh tangan-tangan jahat manusia... Wallahua'lam...

Tahniah Buat Seluruh Graduan

Penulis mewakili saf kepimpinan PMIUM mengucapkan setinggi-tinggi tahniah buat seluruh mahasiswa yang telah menerima ijazah impian sepanjang minggu ini, khususnya buat seluruh aktivis dakwah PMIUM & pendokong aktivisme mahasiswa.

Ternyata kalian merupakan permata yang bakal menjadi penggilap masa hadapan Malaysia yang lebih gemilang. Kalianlah juga yang bakal menentukan halatuju generasi & mengemudai perubahan evolusi bangsa Malaysia.

Jadikanlah segala pengalaman & perit-jerih sepanjang bergelar mahasiswa sebagai suatu bara yang mampu membakar semangat untuk terus menjadi sandaran harapan segenap lapisan umat. Pastikanlah agar nama kalian bakal tercatat sebagai negarawan yang berjasa dalam segenap bidang yang kalian pilih selepas ini.

Penulis & seluruh aktivis mahasiswa tentunya akan mendoakan agar kejayaan sentiasa mengiringi langkah walau di mana medan yang menjadi pilihan. Asalkan kalian terus kekal di atas landasan jalan juang ini, pastinya segenap inci tapak yang disusun diringi sejuta rahmat daripada Allah S.W.T.

Pesanan terakhir penulis:

"Ketika kita LAHIR.. Banyak orang yang TERSENYUM, dan hanya kita yang MENANGIS... Jalanilah kehidupan ini dengan semangat juang yang utuh... Agar kelak... Tatkala kita MATI, banyak orang yang MENANGIS, dan kita pula yang 'TERSENYUM'..."



Monday, August 10, 2009

Aku Dilanda Kegilaan Berdakwah!

Entah kenapa, penulis semenjak 2 menjak ni menjadi terlalu obses untuk berbicara tentang Islam dengan semua kenalan yang penulis jumpa. Ini termasuklah dengan kawan-kawan yang non-muslim juga.

Bahkan ketika memulakan mesyuarat dengan teman-teman yang non-muslim pun, penulis sebagai pengerusi pada kebiasaanya tidak ragu-ragu untuk memulakannya dengan bacaan Al-Fatihah. Tidak kurang juga yang terkejut tatkala penulis memberikan salam kepada seluruh teman-teman, termasuklah yang non-muslim.

Tidak sekadar itu, semacam ada satu kekuasaan yang menjalari urat nadi ini untuk untuk mengedar apa sahaja risalah tentang Islam ketika menghadiri sesi kuliah & tutorial di dalam kampus.

Dan ketika duduk-duduk sambil sembang-sembang dengan kawan-kawan di luar circle PMIUM pun, entah kenapa ada sahaja point tentang Islam yang terungkap secara spontan. Bahkan pagi tadi pun baru sahaja penulis bersembang hampir 2 jam lebih dengan kenalan non-muslim dalam topik yang agak berat juga iaitu isu murtad & kepimpinan Islam.

Bila diingat-ingat kembali, mungkin keadaan yang spontan ini ada kena-mengena dengan cabaran seorang teman dari luar Malaysia yang mencabar penulis untuk mengIslamkan, paling kurang dalam hidup ini, seorang. Katanya, anak-anak muda yang terlibat dengan gerakan Islam di tempatnya sentiasa berlumba-lumba untuk mengIslamkan seramai mungkin manusia yang mereka jumpa, sehingga ianya semacam suatu trend dalam target dakwah mereka.

Dan sepanjang seminggu ini jugalah penulis benar-benar seronok apabila ada yang berjanji untuk berjumpa lagi, khusus untuk membincangkan aspek-aspek yang fundemental dalam Islam, khasnya yang menyentuh persoalan iman & syahadah.

Mungkin inilah hikmahnya apabila kita terlibat dalam gerakan anak muda Islam. Baik tarbiyah, siasah dan dakwah dirasakan sungguh menyeronokkan walaupun ketiga-tiganya ada value yang tersendiri.

Ya, antara sedar ataupun tidak, diri ini benar-benar mengharapkan agar 'bius dakwah' & elemen-elemen nikmat yang telah meresapi diri ini tidak akan hilang kebasnya. Biarlah diri ini terus kebas dalam kenikmatan berdakwah yang tiada tolok banding seronoknya...

Thursday, August 6, 2009

Demonstrasi Aman & Dalil-Dalil Keharusannya

Pertamanya, aktiviti menzahirkan aspirasi di dalam Islam (ta'bir ar-ra'yi), baik secara perseorangan ataupun berkumpulan, adalah perkara yang dibolehkan (mubah). Hukumnya sama seperti kita mengungkapkan pandangan tentang suatu perkara.Justify Full
Berbeza dengan ‘demonstrasi liar’ (Muzarahah) yang jelas diharamkan oleh Islam seperti melakukan demonstrasi dengan disertai beberapa aktiviti yang menyalahi tata susila agama seperti merosak atau membakar harta benda awam, mengganggu ketenteraman dan sejenisnya sehingga mengakibatkan rusuhan, penganiayaan dan pembunuhan. Pengharamannya didasarkan pada fakta bahawa di dalam demonstrasi ini terdapat sejumlah tindakan yang diharamkan oleh Islam.

Di dalam Islam, ‘demonstrasi aman’ (Masiirah) adalah satu bentuk demonstrasi yang dibolehkan. Ini berdasarkan kenyataan bahawa ia dilakukan dengan tertib dan aman serta mematuhi hukum-hukum syara’ termasuk berkaitan dengan pendapat atau aspirasi yang disampaikan. Ia dilakukan tanpa kekerasan, tidak merosakkan hak-hak umum, negara atau individu. Oleh yang demikian, Masiirah ini jelas-jelas diperbolehkan oleh Islam.

Jika diteliti sirah Rasulullah S.A.W, baginda pernah melakukan siri-siri demonstrasi aman di kota Makkah sendiri. Peristiwa ini terjadi setelah baginda diperintahkan oleh Allah S.W.T supaya berdakwah secara terang-terangan. Lalu baginda memerintahkan kaum Muslimin keluar membentuk 2 barisan menuju Kaabah. Satu barisan dipimpin oleh Saidina Umar al Khattab dan yang satu lagi dipimpin oleh Hamzah ibnu Abdul Muthalib. Rasulullah mengetuai kelompok tersebut dan berdakwah kepada mereka secara terang-terangan. Masiirah ini juga dilakukan oleh baginda untuk menzahirkan kutlah (kelompok) kaum Muslimin, yang membawa mesej kebenaran, yang selama ini telah ditasqif (dibina) secara sembunyi-sembunyi khasnya di rumah al Arqam ibnu al Arqam.

Perlu difahami bahawa Islam memandang Masiirah sebagai salah satu cara (uslub) di antara berbagai cara pengungkapan aspirasi atau pendapat dan bukan sebagai matlamat di dalam melakukan proses perubahan masyarakat.

Banyak perkara yang wajib diambil berat oleh umat Islam untuk mencontohi Rasulullah. Contohnya, method Rasulullah mengumpulkan manusia dan menzahirkan kebenaran Islam di dalam menegakkan kalimah tauhid. Uslub adalah suatu yang boleh berubah-ubah dan pelbagai sifatnya asalkan tidak bertentangan dengan hukum syara’. Apabila keadaan memerlukan, Masiirah boleh dilakukan dan sebaliknya jika tidak patut ditinggalkan dan ia sesuai dengan keharusannya. Betapa mulianya aktiviti amar makruf nahi mungkar ini telah dijelaskan Rasulullah salallahualaihi wasalam di dalam sabdanya:

“..Penghulu para syuhada adalah Hamzah bin Abdul Mutalib dan orang yang berhadapan dengan pemerintah yang zalim lalu dia mengingatkan penguasa tersebut (kepada kemakrufan) dan melarangnya (dari kemungkaran), kemudian penguasa itu membunuhnya..” [HR al Hakim].

Dalam menasihati dan mengkritik dasar yang zalim, termasuk membongkar kemungkaran atau konspirasi jahat terhadap Islam adalah wajib meskipun caranya berbagai-bagai. Sama ada dilakukan secara langsung bertemu face to face, melalui penulisan, seminar dan kuliyyah seangkatan dengannya, demonstrasi aman dan lain-lain lagi.
Melakukan perkara-perkara tersebut dengan cara yang dibenarkan oleh syara’ sama ada secara langsung atau tidak adalah jelas lebih mulia berbanding dengan tidak melakukan apa-apa sambil mengeji dan menghina orang lain yang bersemangat melakukannya.

Islam tidak mengenal prinsip dan kaedah ‘matlamat menghalalkan cara’ (al-ghaayah tubarriru al wasilah), sebagaimana yang difahami masyarakat Yahudi. Tindak-tanduk seorang Muslim sebagai individu, sebagai anggota masyarakat atau sebagai penguasa wajib terikat dengan syariat Islam. Di dalam mengungkap aspirasi dengan cara berdemonstrasi, kaum Muslimin terikat dengan apa yang Rasulullah telah perkenankan iaitu demonstrasi mestilah dilakukan dengan cara yang aman. Wallahua'lam...

Monday, August 3, 2009

'Ops Lalang' Di Zaman Najib

Buletin Utama jam 8 malam di TV3 td benar-benar mengingatkan penulis akan penahanan beramai-ramai sewaktu Ops Lalang sehingga mencatat angka penahanan politik yang paling ramai dalam sejarah Malaysia.

Berita yang dipaparkan benar-benar berbaur pembohongan & penyelewengan fakta. Adakah adil, segala kekecohan dibebankan seluruhnya pada pundak para demonstran, sedangkan pihak polis & FRU lah yang memulakan segala onar & perasaan tidak puas hati. Penulis cukup optimis, jika pasukan polis benar-benar bertindak untuk menjaga keamanan & menjauhi sebarang tindakan provokasi, pastinya tidak berlaku segala kekecohan seperti waktu tersebut.

Bahkan penulis sama sekali tidak faham, apakah sebabnya mereka beria-ia menahan sejumlah orang lagi yang kononnya untuk menyiasat penganjur demonstrasi tersebut. Nak tahan semua sekali di bawah Akta Polis kah?

Jika itulah kondisinya, pada penulis tidak ada bezanya pemerintahan Najib Tun Razak dengan PM-PM sebelum ini. Sudahlah tidak mahu berhujah secara ilmiah tentang akta drakonian ini, bahkan memaksa pula rakyat yang cerdik ini untuk menerima bulat-bulat segala yang datang daripda pemerintahan tanpa sebarang pertanyaan. Inikah yang mahu dibuktikan dengan gagasan 1Malaysia?

Penulis suka untuk mendengar sejauh mana penghujahan pihak kerajaan dalam membentangkan pindaan ISA ini di parlimen nanti. Penulis benar-benar ingin mendengar ustaz-ustaz yang duduk dalam pentadbiran kerajaan berhujah dari sudut mana ISA ini dibenarkan mengikut saluran syara'. Dan mengikut pengkisahan sirah mana mereka mengambil isinya untuk menggagaskan undang-undang rimba ini.

Cuma pada penulis, Najib & Hishammudin perlu matang dalam menangani isu ini. Jangan terus-terusan ingin bertindak seolah-olah mereka 'tuhan' di bumi Malaysia ini. Ingat juga bahawa kekuasaan yang perolehi sekarang ini ibarat telut di hujung tanduk, yang bila-bila masa boleh pecah.

Janganlah berpura-pura untuk bertindak seolah-olah mereka mendahulukan rakyat, akan tetapi pada hakikatnya mereka membontotkan kepercayaan rakyat & langsung membunuh saki-baki harapan veteran-veteran UMNO yang masih mahu melihat suatu pembaharuan dalam UMNO sendiri.

Jika tidak, pada penulis UMNO perlu bersedia untuk menjadi pembangkang pula di Dewan Rakyat pada penggal yang akan datang. Itupun kalau Pakatan Rakyat mampu meraih kepercayaan rakyat dengan solid. Jika tidak, jangan pelik jika seandainya rakyat pada 20 ke 30 tahun akan datang sudah tidak berminat untuk memilih kepemimpinan negara ini lagi...