Saturday, September 27, 2008

Tatkala Sang Pejuang Kembali 'Berbicara' (Nota menjelang Pilihan Raya Kampus)

Alhamdulillah... Setelah lama penulis dihambat oleh kesibukan di kancah & medan perjuangan, cuti perayaan Aidilftri ini telah memberikan ruang kepada penulis untuk kembali berpencak di medan maya. Penulis akui, tempoh vakum yang cukup lama telah memberikan kesan kepada skil & ketajaman penulis dalam menterjemahkan apa yang terbuku di kotak idea ini ke dalam bentuk kata-kata tulisan. Sungguhpun begitu, penulis tetap ingin mengupas beberapa isu besar yang sedang menghambat mahasiswa pada masa sekarang, suatu kupasan khusus buat mahasiswa yang masih lagi 'tidur lena' di dewan-dewan kuliah atau di bilik-bilik kolej kediaman.

Pilihan Raya Kampus (PRK) yang bakal menjelang telah memberikan signal kepada seluruh masyarakat kampus untuk memilih pemimpin mahasiswa yang benar-benar layak untuk bergelar pemimpin mahasiswa. Seringkali terbayang di fikiran stereotaip kita bahawa pemimpin mahasiswa itu merupakan individu yang pandai bercakap & menabur janji sewaktu PRK, sangat istimewa & eksklusif dengan berkot atau berbaju batik, sering ke majlis-majlis rasmi bersama orang-orang besar universiti & negara, atau individu yang nampak menonjol dengan penampilan yang hebat dengan kereta, motor yang terkini atau handset yang mahal-mahal. Lagi, mereka ini perlu dihormati (sangat perlu) dan mahasiswa lain perlu untuk berasa segan tatkala berjumpa & berselisih dengan mereka (tanpa perlu berfikir adakah segan & hormat itu berpunca pada kerja yang mereka lakukan atau hanya kerana status mereka yang bergelar YDP MPP atau YB semata-mata). Pendek kata, pemimpin mahasiswa pada hari ini benar-benar mirip atau memang betul-betul seperti 'ahli politik atau politician'.

Dengan keadaan politik negara yang tidak stabil pada hari ini, penulis kira keadaan jelik & pelik pemimpin-pemimpin mahasiswa yang berada di kerusi MPP atau MPM pada waktu ini adalah sesuatu yang tidak wajar & sangat bertentangan dengan identiti diri mereka sebagai pemimpin mahasiswa. Mereka ibarat inidividu yang 'kecelaruan identiti'. Dan penulis sempat meninjau & mengkaji karakter pemimpin-pemimpin mahasiswa di negara lain, khususnya negara yang gerakan mahasiswanya hidup. Sebagai contoh yang boleh penulis sebutkan, pemimpin mahasiswa di Indonesia & United Kingdom (UK).

Umum mengetahui di Indonesia, mahasiswa cukup berpengaruh di tengah-tengah masyarakat. Bahkan politik negara juga akan menerima tempiasnya seandainya mahasiswa di sana tidak bersetuju dengan polisi-polisi yang dibuat kerajaan. Dengan keadaan mahasiswa yang cukup berpengaruh di sana, jika difikirkan sekali imbas, seharusnya pemimpin mahasiswa, dari sudut perawakannya semestinya ibarat 'orang-orang besar, eksklusif & terhormat'. Akan tetapi hakikat & realiti tidak berlaku demikian. Pemimpin mahasiswa di sana lebih berperawakan 'pemimpin & pejuang'. Mereka tidak terkemilau dengan kelebihan-kelebihan yang terbentang di depan mata.

Bahkan pengalaman penulis sewaktu bersembang dengan Mantan Presiden Mahasiswa Bandung, Sdr. Ferdian, secara sinikal beliau berkata, "Syarat untuk menjadi pemimpin mahasiswa di sana haruslah 'kebal' untuk bertempur dengan polisi (polis) & bersedia untuk ditabrak (dilanggar/dipukul) dalam memperjuangkan isu-isu mahasiswa & rakyat". Dan kerana itulah, pemimpin mahasiswa di sana bukan sahaja dijulang oleh mahasiswa, bahkan rakyat kebanyakan turut mengiktiraf mereka sebagai wira & hero rakyat. Ya, sangat berbeza karakter pemimpin mahasiswa di sana & di sini. Amat malang & menyedihkan apabila pemimpin mahasiswa yang bergelar YDP, Presiden, MT, bahkan Exco MPP & MPM di sini lebih selesa dengan kerja-kerja kepimpinan ala-ala politician semata-mata.

Tambahan lagi, di UK, pemimpin mahasiswa di sana benar-benar berperanan dalam menentukan polisi negara. Suara pemimpin mahasiswa di sana cukup gah & mampu mempengaruhi ahli-ahli politik dalam membuat sebarang keputusan. Stand & pendirian mereka cukup jelas apabila seorang daripada pemimpin mahasiswa yang menjadi ahli parlimen mahasiswa di sana menegaskan dalam satu persidangan bahawa, "I'm a student leader, not a politician!" Benar, mereka dihormati & disanjung. Buktinya, pemimpin mahasiswa di sana bebas untuk memanggil sesiapa sahaja di kalangan pemimpin-pemimpin politik untuk berdialog & berdebat dengan mereka. Dan penghormatan yang mereka terima bukan kerana mereka rapat atau 'ada kabel besar' dengan mana-mana pemimpin negara atau ahli politik, tetapi mereka di hormati kerana mereka benar-benar bermaruah dengan menjadi student leader!

Oleh yang demikian, menjelang Pilihan Raya Kampus yang bakal menjelang, penulis ingin mengingatkan kepada semua yang bertanding, agar jangan menjadi 'tunggangan' mana-mana pihak. Jadikanlah diri anda sebagai calon pemimpin mahasiswa yang benar-benar bermaruah. Kembalikanlah idealisme mahasiswa yang telah lama berkubur dalam board MPP & MPM (UM). Jadikanlah Majlis Perwakilan Pelajar/Mahasiswa selepas PRK ini sebagai gelanggang & medan baru untu perjuangan mahasiswa yang genuine, tidak berpihak & komited memperjuangkan politik nilai dalam kancah & lapangan umat.


No comments: