PMIUM secara historinya merupakan sebuah pertubuhan yang diwujudkan untuk membawa gelombang kefahaman Islam yang sebenar-benarnya kepada seluruh warga Universiti Malaya, tidak hanya tertumpu pada kelompok mahasiswa semata-mata. Idealisme inilah yang diperjuangkan sekian lama sehingga peranan PMIUM pada waktu tersebut sangat berkesan untuk menyedarkan masyarakat.
Firman Allah S.W.T dalam Surah At-Taubah : 111,
Tidak terhenti setakat itu, PMIUM sendiri telah merangka siri-siri manhaj dalam pentarbiyahan untuk semua ahli yang berdaftar dalam menyediakan kader-kader dakwah yang lasak untuk membawa tanggungjawab yang berat ini. Dan kerana itu jugalah, ijtihad semasa memberi signal kepada batang tubuh PMIUM sendiri untuk terlibat secara langsung dalam pilihanraya kampus atas koalasi Pro-Mahasiswa dalam menyebarluaskan lagi Dakwah Islamiyah yang ingin dibawa, di samping memperjuangkan isu-isu kemahasiswaan yang bersifat kampus & nasional. Pendek kata, PMIUM ini tidak hanya sebuah persatuan biasa, tapi merupakan sebuah Gerakan Islam yang sepatutnya bersifat mendepani massa & progresif.
Dalam kitab ‘Abjadiyaat At-Tasawur Al-Haraki Lil Amal Al-Islami karangan Al-Fadhil Al-Ustadz Fathi Yakan, ada disebutkan bahawa elemen asas yang perlu dipunyai oleh sesebuah Gerakan Islam itu dalam konteks kerjanya ialah bersifat universal (untuk semua), atas factor bahawa Islam itu sendiri bersifat universal. Ianya disandarkan kepada firman Allah S.W.T dalam Surah Al-A’raf, ayat 158:-
Katakanlah (Wahai Muhammad): "Wahai sekalian manusia! Sesungguhnya Aku adalah pesuruh Allah kepada kamu semuanya, (di utus oleh Allah) Yang Menguasai langit dan bumi, tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan dia; Yang menghidupkan dan mematikan. oleh itu, berimanlah kamu kepada Allah dan RasulNya, Nabi Yang Ummi Yang beriman kepada Allah dan Kalimah-kalimahNya (Kitab-kitabNya); dan ikutilah Dia, supaya kamu beroleh hidayah petunjuk".
Dalam ayat ini, Allah menggunakan seruan ‘wahai sekelian manusia’ untuk merujuk kepada keimanan terhadap kebenaran yang dibawa oleh Nabi-Nya & tidak menggunakan kalimah-kalimah seruan yang hanya merujuk kepada orang-orang mukmin sahaja. Bahkan yang lebih menarik, Nabi Muhammad S.A.W sendiri dalam sirah perjuangan baginda pernah menghantar surat terbuka yang menjelaskan tentang Islam kepada pemerintah-pemerintah yang berada di luar kawasan seperti Raja Najasyi di Habsyah dan Maharaja Herkulis (Heraqla), pemerintah Rom pada masa itu. Jelas dalam konteks ini, PMIUM sepatutnya tampil untuk mensejahterakan umat melalui pendekatan-pendekatan yang lebih unik, berani & dinamik, sebagaimana yang telah dicontohkan oleh Junjungan Tercinta melalui siri-siri metodologi dakwah baginda.
Sebagai contoh, berapa ramai di kalangan ahli-ahli PMIUM sendiri yang berpencak di medan-medan yang tidak popular tetapi memberi kesan yang besar dalam berdakwah seperti berucap menyampaikan mesej Islam dalam dewan-dewan kuliah, member garis pandu beriadah di padang-padang bola, bahkan penjelasan sunnah Rasul berkenanan riadah renang di kolam renang? Dan berapa ramai juga ahli PMIUM yang sanggup pergi dari pintu ke pintu di kolej-kolej kediaman & rumah sewa untuk menyeru supaya mendekatkan diri pada Sang Pencipta di samping mengingatkan rakan yang diziarah tentang hal kematian yang sememangnya pasti? Ya, memang sukar, tapi itulah sebenarnya dinamika gerakan yang perlu dimainkan oleh seluruh ahli PMIUM. Bahkan dalam konteks yang lebih mencabar, berapa ramai juga ahli-ahli PMIUM yang berani menampilkan diri untuk berdialog dengan rakan-rakan agama lain dalam satu-satu isu seperti pandangan Kristian, Budha dan Sikh berhubung isu rasuah, pemilihan kepimpinan, dan lain-lain lagi.
Firman Allah S.W.T lagi dalam Surah Al-Baqarah : 143,
Dan Demikianlah (sebagaimana Kami telah memimpin kamu ke jalan Yang lurus), Kami jadikan kamu (Wahai umat Muhammad) satu umat Yang pilihan lagi adil, supaya kamu layak menjadi orang Yang memberi keterangan kepada umat manusia (tentang Yang benar dan Yang salah) dan Rasulullah (Muhammad) pula akan menjadi orang Yang menerangkan kebenaran perbuatan kamu. (Sebenarnya kiblat kamu ialah Kaabah) dan tiadalah Kami jadikan kiblat Yang Engkau mengadapnya dahulu itu (Wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi ujian bagi melahirkan pengetahuan Kami tentang siapakah Yang benar-benar mengikut Rasul serta membenarkannya dan siapa pula Yang berpaling tadah (berbalik kepada kekufurannya) dan Sesungguhnya (soal peralihan arah kiblat) itu adalah amat berat (untuk diterima) kecuali kepada orang-orang Yang telah diberikan Allah petunjuk hidayah dan Allah tidak akan menghilangkan (bukti) iman kamu. Sesungguhnya Allah amat melimpah belas kasihan dan rahmatNya kepada orang-orang (yang beriman).
Selain itu, sebagai ahli Gerakan Islam, ahli-ahli PMIUM juga wajar mempunyai prinsip yang jelas dalam tasawur gerakan & tidak terikut-ikut dengan satu-satu trend yang menjadi arus akan tetapi tidak memberi impak yang besar untuk mendidik masyarakat secara amnya. Sebagai contoh, kadangkala PMIUM sudah berasa senang dengan program-program grand yang dianjurkan sedangkan secara hakikatnya program tersebut sangant sedikit ‘menyentuh’ warga yang bermasalah di ceruk-ceruk masyarakat yang kehilangan jatidiri sebagai anak muda Islam. Seharusnya, PMIUM perlu melihat keperluan satu-satu program itu diadakan dalam kerangka yang lebih objektif dengan menyentuh elemen-elemen dakwah, pendidikan & perjuangan. Hal ini kerana mahasiswa pada hari ini perlu dibuka paradigm mindanya dengan maklumat-maklumat & ilmu dalam semua aspek khususnya yang bersifat kenegaraan & rakyat.
Selain itu, program-program perdebatan terbuka yang mencabar minda seharusnya diperbanyakkan. Panggil figur-figur nasional & internasional untuk berbincang & berdebat tentang permasalahan ummah. Hal ini tidaklah menjadi suatu yang janggal kerana Islam itu sendiri berdiri di atas hujjatul balighah (hujah yang jelas & sampai). Masyarakat di kampus sebenarnya sangat tertunggu-tunggu peranan PMIUM yang lebih luas pada waktu ini. Berdakwah, berpolitik, bersosial, fluidity dalam masyarakat, memimpin masyarakat, seharusnya sudah menjadi ‘siulan dan lagu’ dalam kehidupan kader-kader dakwah PMIUM.
Kesimpulannya, PMIUM seharusnya kembali memainkan peranannya sebagai sebuah Gerakan Islam di kampus. Tidak cukup sekadar menjadi persatuan yang kaya dengan program-program, bahkan PMIUM perlu ‘berlari’ dan berpencak jauh lebih hebat dari itu. PMIUM pernah mengislah memimpin generasi masyarakat dengan unggul suatu ketika dahulu, dan kita akan terus ternanti-nanti PMIUM generasi baru yang akan kembali membawa masyarakat untuk kembali dekat dan sayang kepada Pencipta agama-Nya yang mulia ini.
1 comment:
salam..seolah2 ahli pmium kehilangan identiti dan potensi diri..
melibatkan 2 faktor:
faktor persekitaran
faktor peribadi (dalaman)
--> keadaan persekitaran yang semakin mencabar, hanyut dlm dunia material dan fantasi
--> rohani dalaman yang lemah..
:peringatan buat diri sendiri gak
Post a Comment