Gerakan mahasiswa semakin mendapat tempat dalam kalangan masyarakat dan saban hari semakin menjuarai isu-isu nasional yang lebih matang dan memerlukan idea-idea segar dan kepimpinan jiwa besar mahasiswa. Secara khususnya, Gerakan Mahasiswa Islam (GMI) terus menampilkan figura demi figura dalam usaha menjadi ‘catalyst ‘ dan ‘conscience of majority’ kepada masyarakat. Perjuangan anak muda terutamanya GMI sebagai pemacu kepada gerakan dakwah kampus dan nasional juga semakin diperlukan oleh masyarakat.
Namun, kita lihat suatu bentuk kelembapan dan kemunduran idealisme kepimpinan mahasiswa kampus dalam menjadi juru bicara kepada masyarakat dan kumpulan pendesak (interest group) yang lengkap dengan nilai-nilai intelektual tanpa mempunyai sandaran politik oportunis.
Menyelusuri ruang lingkup aktivisme mahasiswa dan persoalan keperluan golongan anak muda khususnya dalam Gerakan Mahasiswa Islam (GMI) di kampus, bersama wartawan Mahasiswakini, MOHD SAID SABIR telah berkesempatan menemuramah saudara MOHD SHAZNI MUNIR MOHD ITHNIN selaku Presiden Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM) yang baru sahaja memegang tampuk kepimpinan bagi sesi ini. Ikuti penjelasan beliau tentang permasalahan dan situasi yang dihadapi secara realiti oleh Gerakan Mahasiswa Islam (GMI) dalam mendepani cabaran-cabaran dakwah dan tarbiyah masa kini.
MAHASISWAKINI: Apa ekspresi saudara selepas dipilih menjadi Presiden PMiUM yang baru?
SHAZNI MUNIR: Macam-macam perasaan ada. Resah pun ada, suka pun ada. Resah sebab diberikan bebanan yang berat membawa perubahan dalam transisi gerakan PMi yang lebih besar. Gembira sebabnya dalam keadaan begini pun, ada orang memilih. [ketawa].
Maksud ‘keadaan begini’ itu, bagaimana?
Iyalah…dalam keadaan tidak popular di dalam mainstream; dipandang sebagai seorang ‘budak nakal’ dalam pergerakan PMiUM, pun masih diberi kepercayaan untuk mendokong agenda perubahan yang lebih besar selaku peneraju utama PMiUM.
Saudara sebagai ‘orang baru’ yang baru naik sebagai Presiden,bagaimana saudara melihat orientasi aktivitisme PMiUM pada ketika ini?
Saya sudah mengikuti perkembangan PMiUM sejak 2007 lagi. Saya pernah menjadi ahli usrah dan pernah menjadi Naqib. Sehingga kini, saya lihat aktiviti PMiUM pelbagai. Formalnya, PMiUM pernah menganjurkan Lakium…Latihan Kepimpinan Islam Universiti Malaya. Selain itu, PMiUM menganjurkan beberapa forum secara rasmi dengan kerjasama baik dari Dr. Azarae (Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni).
Selalunya, program sebeginilah yang disebut program oriented atau extra-mural activities. Saya tidak kisah apa orang nak kata, yang penting selagi kita boleh manfaatkan ‘padang’ Universiti untuk bawa Islam, selagi itu kita berpencak dalam padang ini.
Yang menarik, PMiUM juga ada menganjurkan program-program tidak formal yang bersifat mendidik . Dialog Intelek berhubung krisis politik Perak umpamanya. PMiUM bersama-sama Bersatu Perak dan beberapa pertubuhan lain cuba menganjurkan forum yang sensitif tersebut tanpa kebenaran daripada TNC HEPA di Masjid Ar-Rahman.
Ya, saya rasa saya tidak perlu mengulas lanjut natijah yang diperoleh, kerana kita semua tahu; kepemimpinan PMiUM pada sesi yang lepas diugut…PMiUM kononnya akan diharamkan.
Selain itu, kepemimpinan kita juga sudah menjadi pemain-pemain siasah di peringkat Nasional. Penyertaan berani kita bersama Solidariti Mahasiswa Selamatkan Bahasa Melayu (SMSBM), Gabungan Mansuh PPSMi (GMP), Gabungan Mahasiswa Mansuh AUKU (GMMA), Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) dan banyak lagi. Dan yang tak kurang menarik, mahasiswa juga pernah mencabar Perdana Menteri Malaysia YAB Dato Seri Abdullah Hj. Ahmad Badawi dalam Pilihanraya Umum lepas dengan menubuhkan parti sendiri - Parti Mahasiswa Negara (PMN).
Cuma, pada saya, rasmi atau tidak…halal atau haram aktiviti kita ini bukanlah bergantung pada ‘tandatangan TNC HEPA’ semata-mata. Kita harus melihatnya juga dari jendela Perlembagaan dan Hak Asasi. Bagi saya mudah, selagi tidak mengangkat senjata, menceroboh hak asasi orang lain dan tidak membawa gerakan subversif atau komunis, aktiviti kita masih sah dianjurkan di Malaysia. Inilah yang saya lihat menarik pada kita (PMiUM).
Boleh saudara jelaskan dengan lebih terperinci apakah yang dimaksudkan dengan program oriented; dan apakah yang dimaksudkan sebaliknya?
Program oriented ialah program-program yang bersifat official; ada protokol-protokol tertentu dan perlunya kelulusan daripada HEP. Cuma dalam hal ini, saya sangat-sangat risau PMiUM akan hilang nilai-nilai aktivitismenya kerana terlalu cenderung pada program oriented. Kesannya, ya.. Mungkin sahaja PMiUM bakal menjadi pertubuhan ‘biasa’ sebagaimana beberapa pertubuhan Universiti sebelum ini. Mereka pernah menjadi lagenda gerakan mahasiswa Malaysia, namun sekarang ia sekadar suatu sejarah klasikal.
Kita perlu berurusan dengan semua pihak untuk menganjurkan aktiviti Islami, tetapi jangan sampai kita hilang fokus atau terlalu melayan birokrasi pihak-pihak tertentu dalam Universiti sehingga menghalang aktivitisme ‘faham Islam’ kita ini.
PMiUM patut dipandang sebagai sebuah gerakan mahasiswa yang genuine. Iaitu, kejayaan kita bukan sekadar dilihat bergantung pada satu-satu program itu samada mendapat kelulusan HEP atau tidak; perlu ada Perasmi dan sebagainya, yang lebih bersifat protokol. Pada saya, kejayaan satu-satu program itu ditandaaraskan berdasarkan sejauh mana warga kampus dapat menyerap mesej yang cuba kita sampaikan; Ya, jika tidak, tidak perlulah ditekankan soal kerasmiannya.
Adakah kecenderungan menganjurkan program oriented tersebut berpunca oleh masalah fikrah; atau bagaimana?
Bagi saya, kecenderungan ini kita tidak boleh kata berpunca dari masalah fikrah. Cumanya, bagi saya ‘orang luar’ PMiUM secara warisannya melihat sebegitu. Dan kita pun dengan sesi kepemimpinan yang lepas selama satu tahun, kita tidak mengatakan bahawa ianya suatu medan yang cukup untuk membuat perubahan mentaliti dan budaya berfikir dalam kalangan ahli-ahli gerakan PMiUM. Cuma, jika mahu memperkatakan soal fikrah, saya akan jelaskan dengan lebih lanjut kemudian.
Masih soal fikrah, bagaimana saudara melihat orientasi atau budaya berfikir dalam kalangan ahli-ahli gerakan PMIUM pada ketika ini?
Ada perbezaan kini dan juga pada masa akan datang. Pada ketika ini, tidak semua ahli gerakan PMiUM yang feel, yang rasa diri mereka membawa suatu beban yang besar untuk membawa masyarakat terutamanya di kampus kepada Islam. Tapi untuk akan datang seboleh mungkin kita akan berusaha memasakkan kepada seluruh ahli gerakan bahawa pentingnya mereka bertanggungjawab memandu manusia semuanya kepada Tuhan, kepada sistem yang Allah Taala telah tetapkan.
Adakah perbezaan kini dan masa depan disebabkan oleh kelemahan dan masalah fikrah itu sendiri?
Ya. Dalam konteks ini kita harus jujur mengakui bahawa fikrah itu dibina melalui program-program tarbiyah PMiUM, seperti usrah, daurah, mukhayyam, tamrin dan sebagainya. Maka kalau program-program itu kita tak dapat jalankan dengan kondisi pelaksanaan yang terbaik, kita tak mampu nak membentuk kelompok usrah dengan acuan yang terbaik.. maka suasana itu akan hasilkan produk seperti yang kita nampak sekaranglah.
Adakah dengan masalah fikrah ini juga menyebabkan orientasi pergerakan PMIUM itu sendiri dilihat tidak genuine? ataupun sebaliknya?
Saya nampak ada kaitan disitu. Sebab tanpa fikrah yang jelas dalam kalangan anak muda Islam tentang apa yang nak dibawa, kita akan jadi suatu entiti yang terpaksa mengikut orang lain. Bersifat follower, bukan interest group atau kumpulan pendesak. Bagi saya, fikrah anak muda Islam dapat diketahui samada jelas & mantap atau tidak, dengan melihat cara mereka bergerak, dan cara mereka berfikir.
Kalau fikrah itu tak jelas, bagaimana sebagai anak muda yang diberikan Allah Taala suatu semangat tinggi, dengan jolokan ‘the young angry man’, sarat dengan idea-idea segar, namun masih tak mampu memberi sumbangan yang hebat kepada Islam? Dan pada saya ianya langsung sia-sia.
Untuk menangani kelonggaran fikrah ini, saudara sebagai pemimpin kepada gerakan mahasiswa yang mempunyai sejarahnya sendiri, apa yang perlu dan patut dilakukan untuk mengembalikan fikrah yang genuine dan gerakan mahasiswa yang lebih terkedepan?
Pada saya yang pertama ialah pendidikan. Pendidikan yang sebenarnya dalam konteks pembinaan & pemurnian fikrah secara bersepadu. Sebab yang membezakan gerakan ini (PMiUM) dengan pertubuhan dan gerakan-gerakan Islam yang lain ialah bagaimana metod PMiUM membina fikrah anak-anak muda yang bakal lahir sebagai kader-kader dakwah.
Saya nampak perlunya di peringkat PMiUM untuk kembali kepada fikrah asliah sebagai seorang anak muda. Ya, orientasi penjelasan fikrah perlu di ubah, tidak hanya selesa dengan unsur-unsur indoktrinisasi semata-mata. Lantas di tambah dengan pengisian-pengisian yang lebih progresif dan semasa, saya yakin ahli gerakan PMIUM akan tampil sebagai kelompok berbeza dihadapan massa dan mampu menghasilkan idea-idea yang menjadi alternatif terbaik kepada agama, dan Bangsa Malaysia sendiri.
Secara objektifnya, apa pemfokusan yang saudara akan lakukan dalam masa terdekat dan untuk mengembalikan persoalan kelemahan dari sudut fikrah tadi?
Peringkat pertama, saya akan menyusun kembali sistem-sistem tarbiyah yang telah dimulakan pada siri kepimpinan yang lepas, dan dalam masa yang sama kita akan membina jaringan yang lebih besar untuk kita bawa suatu perubahan ke arah yang lebih baik. Lantas, ahli PMiUM yang lahir sebagai seorang aktivia-aktivis dakwah diharapkan akan lebih banyak lahir di lapangan-lapangan fakulti.
Dan pada saya, sangat impikan suatu bentuk gerakan PMiUM yang didokong oleh kalangan mereka yang datang daripada Pusat Sukan, Pusat Budaya, yang belajar bukan dari latarbelakang agama tapi mereka mampu membawa orang kepada kefahaman Islam yang sebenar. Ya, pastinya semua itu terhasil daripada sistem tarbiyah gerakan ini.
Untuk peringkat nasional, kita lihat saudara merupakan antara figura yang sudah berdepan dengan pelbagai cabaran di peringkat nasional, dengan kemelut politik di Perak dan sebagainya. Tapi umum melihat hanya saudara dan segelintir kecil daripada aktivis-aktivis mahasiswa Islam kampus yang terkehadapan, apa komen saudara tentang perkara ini?
Pada saya , kalau perkara tersebut ialah segelintir kecil, saya rasa tidak boleh salahkan pandangan semata-mata, cuma apa yang perlu kita persoalkan ialah, kenapa perkara itu terjadi? Pada saya kurangnya pasakan-pasakan kefahaman yang mendalam terhadap perjuangan yang sebenar. Dan kerana itu kita tak mampu nak lihat kalangan anak muda Islam yang iltizamnya hebat & ajaib untuk merealisasikan Islam dalam konteks semasa.
Lagi, keberanian untuk merubah keadaan yang pincang perlu dibudayakan. Fikrah yang jelas itu hanya akan bergerak dengan keberanian. Pada saya, gerakan anak muda Islam pada hari ini takkan ke mana tanpa keberanian. Ya…. dakwah sama sekali tidak akan pernah menghalang kita daripada mengatakan ‘jangan’ dan ‘tidak’ pada penyelewengan; dan itu semua pastinya berpaksikan pada tauhid…
Secara jujurnya pencapaian saudara sehingga sejauh ini adakah disebabkan oleh fikrah yang telah dibentuk secara genuine atau sebenarnya ada unsur-unsur lain yang perlu untuk digarap dalam kepimpinan mahasiswa sekarang?
Ya, pada saya memang fikrah yang genuine, sebab dengan fikrah itulah kita dibina untuk menjadi seorang mujahid zaman yang dapat membuat perubahan dalam konteks yang lebih besar. Sebab kita memandang UM (Universiti Malaya) bukan sekadar dari pintu PJ (Petaling Jaya) ke KL (Kuala Lumpur).
Tapi kita pandang UM dalam konteks bagaimana kita nak membawa UM ini kepada suatu bentuk perubahan sehingga masyarakat luar, dalam negara atau internasional melihat UM ini sebagai universiti yang melahirkan kader-kader dakwah & pejuang masyarakat yang hebat.
Akhirnya secara tuntas dan ringkas, apa harapan saudara kepada kepimpinan mahasiswa tak kita sama ada dalam konteks UM ataupun peringkat nasional?
Hm.. [sambil memandang jauh] Gerakan kita perlu transformasi. Di peringkat Universiti Malaya, saya mengimpikan suatu ketumbukan kader dakwah PMIUM yang dapat memberikan penghayatan yang penuh kepada iltizam perjuangan Islam yang sebenar. Sebelum pergi kepada itu, perlulah kepada pembinaan fikrah yang jelas dalam kalangan kader-kader dakwah PMIUM.
Yang kedua di peringkat nasional, saya mengharapkan agar seluruh kader dakwah, seluruh pimpinan PMI kampus-kampus di Malaysia, front-front mahasiswa lainnya, lebih berani dalam mengutarakan buah fikir yang lebih genuine dan bersifat semasa, maknanya, kita tak mahu lihat lagi kenyataan-kenyataan pimpinan mahasiswa yang keluar selepas kenyataan ahli politik. Buah fikiran dan analisis yang kononnya kritis keluar selepas buah fikiran pimpinan-pimpinan NGO. Maknanya pemikiran yang stereotype dan lahir selepas orang lain cetuskan perlu dibuang jauh. Kita perlu bina suatu bentuk gagasan idealisme yang baru dan segar. Perlu ada enlightment dari sudut intelektual.
Dan ringkas di peringkat yang lebih besar, maksud saya antarabangsa, saya sangat bercita-cita untuk melihat sumbangan yang lebih luas sifatnya daripada ketumbukan anak muda Islam. Dalam jaringan dakwah kita, singgungan-singgungan kita kepada masyarakat dunia, pastinya bukan suatu peranan yang kecil jika dilaksanakan secara konsisten & berperingkat-peringkat.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment