Tuesday, September 29, 2009

Revolusi Perfileman, Drama & Telemovie Di Malaysia

Rasanya masih belum terlewat untuk saya mengucapkan "Selamat Hari Raya Idulfitri" buat seluruh Bangsa Malaysia di luar sana. Pohonan maaf penulis hulurkan bagi setiap kesalahan penulis yang pernah mengguris perasaan kalangan rakan-rakan yang lain. Juga salam kemaafan daripada penulis kerana terpaksa membiarkan blog ini 'sunyi' sepanjang Ramadhan yang lepas untuk ber'hibernasi' sebentar...

Dalam coretan ringkas ini, ada beberapa hal yang menggamit pemerhatian penulis sebagai seorang anak Malaysia yang bebas & merdeka. Entah mengapa agaknya, akhir-akhir ini terlalu banyak filem-filem atau drama-drama & telemovie keluaran produser tanah air yang bertemakan moral & keinsafan dalam konteks yang realistik & 'Malaysia' sifatnya. Antara yang sempat menjengah mata penulis ialah telemovie 'Cinta Sempurna' di Astro Oasis, drama bersiri 'Nur Kasih' di TV3, dan filem 'Syurga Cinta' yang ditayangkan sewaktu awal perayaan tempoh hari.

Sungguhpun ada yang memberikan komen bahawa filem, drama dan telemovie tersebut tidak mencirikan konsep keIslaman yang sebenar, namun pada penulis ianya merupakan satu langkah pertama yang cukup positif dalam memberikan dimensi baru kepada industri perfileman negara. Sekurang-kurangnya kita telah sedar tentang keperluan untuk mengembalikan manusia untuk hidup beragama & bertuhan.

Tambahan lagi, apa yang lebih mengujakan penulis ialah filem 'Syurga Cinta' yang terlebih dahulu menyusul di pawagan sekitar 2 ke 3 bulan yang lepas diterbitkan oleh seorang individu bernama David Teo. Mungkin beliau punya sebab tersendiri untuk menerbitkan filem yang bersifat Islamik sebegitu. Namun pada penulis, ianya merupakan sesuatu yang sihat untuk merintis suatu kehidupan baru yang lebih segar untuk seluruh rakyat Malaysia.

Bahkan sebuah filem unik yang mengusulkkan ciri-ciri keunikan hidup sebagai bangsa Malaysia yang berjaya meminggirkan garis-garis perkauman seperti 'Gadoh' juga wajar diperhebatkan. Tambah menyegarkan sebenarnya jika filem seperti 'Gadoh' ini mampu untuk dimalarhijaukan dengan konsep ketuhanan yang positif bagi setiap agama dalam kehidupan sehari-hari.

Pada penulis, hal ini merupakan turning-point yang cukup penting untuk membina satu jatidiri yang unik sebagai sebuah entiti besar Bangsa Malaysia. Keadaan ini perlu dititikberatkan kerana kesenian & kesenimanan itu merupakan elemen penting untuk mencorak satu-satu ketamadunan dalam sejarah peradaban.

Bahkan seingat penulis, telah lama kita berada dalam keadaan 'songsang' dengan menerima bulat-bulat apa sahaja konsep kesenian yang dipopularkan oleh anasir luar, khususnya dari barat yang sosio masyarakat & histori peradabannya sangat jauh dengan Malaysia. Bahkan kecenderungan kita untuk berpada dengan kemasyhuran karya luar yang tidak melambangkan inspirasi bangsa Malaysia juga sudah patut menemukan titik noktahnya.

Nah, sudah sampainya masanya untuk kita duduk & serius berbincang tentang kesenian di negara ini. Bahkan pada penulis, jika seluruh seniman & seniwati negara boleh dididik untuk berjiwa negarawan, ianya sudah cukup untuk memberikan dampak yang besar buat pembinaan negara yang lebih bermakna.

Dari penulis, perhebatkanlah pengeluaran produk kesenian yang bersifat futuristik & konstruktif untuk negara ini. Hakikatnya, penulis mengimpikan hasil-hasil dari negara ini yang mampu dibanggakan di seluruh dunia dengan ciri-ciri keunikan yang tersendiri. Belajarlah daripada filem-filem seperti 'Children Of Heaven' dari Iran & 'Slumdog Millionaire' yang diinspirasikan dari India yang ternyata mempunyai nilai-nilai unik yang mampu 'menakluk' dunia...



2 comments:

adzlyna86 said...

satu aspek yang agak kurang diberi perhatian iaitu filem medium untuk mendidik masyarakat dengan lebih kritikal & intelek...

lihat saja deretan filem sepanjang musim hari raya.kalau bukan versi hantu..versi lawak bodoh..versi cintan cintun..filem malaysia masih terikat dengan 3 skop ini..

Rijal82 said...

Saya menyokong saudara. Saya sendiri sedang menuju ke arah itu.