Thursday, October 22, 2009

Etnik, Agama Dan Raja: Kesannya Terhadap Perkembangan Demokrasi Di Malaysia.....Apa Kata Orang Muda?

FORUM ORANG MUDA: JOM TURUN RAMAI-RAMAI!!!

Etnik, Agama Dan Raja: Kesannya Terhadap Perkembangan
Demokrasi Di Malaysia.....Apa Kata Orang Muda?

Pendapat orang muda jarang mendapat tempat. Pandangan orang muda sukar mendapat ruang. Suara orang muda kurang pula diberi peluang. Menyedari hal ini, Penerbitan Gerakbudaya telah mengambil inisiatif untuk menganjurkan suatu forum perbincangan dengan membariskan beberapa orang tokoh muda dari pelbagai latarbelakang sebagai panelis untuk berbincang dan menyuarakan fikiran mereka tentang persoalan-persoalan “panas” yang telah dan sedang melanda tanah air kita dewasa ini.

Apa pandangan orang muda tentang soal etnik? Apa pendapat orang muda tentang soal agama? Apa pula fikiran orang muda tentang soal Raja? Apakah pula pemahaman orang muda tentang demokrasi? Adakah etnik, agama dan Raja memberi kesan terhadap perkembangan demokrasi di negara kita ini? Adakah kesannya negatif atau positif? Adakah ianya menghalang atau membantu di dalam proses pendemokrasian negara kita? Apa kata orang muda? Apa analisa orang muda? Apa suara orang muda?

Untuk mengetahui suara orang muda di dalam membincangkan persoalan-persoalan “panas” ini, jom kita ramai-ramai datang, hadir dan sertai forum orang muda ini. Walau pun panelisnya orang muda tetapi forum ini terbuka untuk semua, muda dan tua, baru dan lama.

Berikut adalah maklumat tentang forum orang muda ini:

Tarikh : 24 Oktober 2009 (Hari SABTU)

Masa : 2.30 Petang – 5.00 Petang

Tempat : KL & Selangor Chinese Assembly Hall, No. 1, Jalan Maharajalela, Kuala Lumpur
(Bangunan sebuah berwarna putih di hadapan Stesyen Monorail Maharajalela).


Biodata Ringkas Para Panelis Muda di Forum Orang Muda:

Fahmi Reza:
Fahmi Reza ialah seorang pereka grafik dan pembikin filem dokumentari yang menggunakan seni sebagai medium untuk membangunkan kesedaran di kalangan orang muda ke arah perubahan sosial dan politik yang lebih adil dan demokratik. Beliau telah menghasilkan dua buah filem dokumentari sejarah perjuangan politik radikal yang berjudul “10 Tahun Sebelum Merdeka” dan “Revolusi 48”. Filem dokumentari beliau yang berjudul “10 Tahun Sebelum Merdeka” (http://10tahun.blogspot.com) telah menjadi sebuah filem dokumentari “cult” yang cukup popular di kalangan anak-anak muda.

Shazni Munir Mohd Ithnin:
Shazni Munir adalah pemimpin mahasiswa yang masih menuntut di Universiti Malaya dan aktif dalam gerakan mahasiswa di tingkat nasional. Selain dari menerajui Persatuan Mahasiswa Islam (PMI) Universiti Malaya dan memimpin Gabungan Mahasiswa Islam Semenanjung (GAMIS), beliau juga merupakan Pengasas Bersama Gerakan Mahasiswa Mansuhkan AUKU (GMMA) dan Pengerusi Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM). Beliau juga turut aktif di dalam bidang penulisan dan idea serta cetusan pandangan beliau boleh dibaca di blog Perubah Zaman (http://shaznimunir.blogspot.com) .

Lee Kai Loon:
Lee Khai Loon adalah bekas aktivis mahasiswa dari Universiti Teknologi Malaysia. Beliau pernah menerajui organisasi pemuda DEMA semasa beliau mahasiswa dan beliau jua pernah bertugas di Hong Kong sebagai anggota sekretariat Asian Students Association (ASA). Sekembalinya beliau daripada Hong Kong beliau mendirikan Youth For Change (Y4C) dan menjadi salah seorang daripada anggota sekretariatnya.


Mohd Hariszuan Jaharudin:
Mohd. Hariszuan adalah mahasiswa tahun akhir jurusan Sains Politik di UKM. Beliau merupakan salah seorang daripada pengasas ruang wacana bebas blog Diskusi Santai Kopi (Diskopi). Di samping aktif menulis di Diskopi beliau juga aktif di dalam Kumpulan Aktivis Mahasiswa Independen (KAMI). Di KAMI beliau menerajui Biro Majlis Diskusi dan Dialog (MADILOG). Selain daripada itu beliau juga terlibat aktif di dalam penyelidikan pilihanraya kecil di Permatang Pasir dan Bagan Pinang. Idea dan cetusan pandangan beliau boleh dibaca di blog Diskopi (http://diskopi.wordpress.com).


Komentar Forum: Bro TukarTiub a.k.a Hishamudin Rais

Hishamuddin Rais adalah orang tua yang perawakan, otak dan jiwanya tak pernah tua. Beliau adalah pengasas mazhab Non- Governmental Individual (NGI) dan pengarang buku agitasi khusus buat orang muda “Pilihan Raya atau Pilihan Jalan Raya” dan buku separa-intelektual “Keganasan, Penipuan & Internet”. Beliau sekarang aktif menulis di blog separa-tabloid http://tukartiub.blogspot.com yang sudah pun menjadi “cult classic” dengan hits hampir 5 juta dalam tempoh hanya 1 tahun sahaja.

Sebarang pertanyaan atau maklumat sila hubungi: Ms Lee Siew Hwa di 03-7957 8342/8343 atau 016-465 5107; Shahrir Halim di 012- 321 5803 atau Mr Chong Tong Sin di 016-379 7231.


Laman web: http://www.gerakbudaya.com

BERGERAK MEMBANGUNKAN BUDAYA WACANA
DI KALANGAN ORANG MUDA DAN MAHASISWA

5 comments:

Daud Mili said...

penilainan atau kesimpulan terhadap forum ini takde ke?....takkan berhenti unutk setakat ini sahaja, takkan nak harap gerakbudaya sahaja yang menggerakkanya...

Dialog Perpaduan Ummah said...

Saya amat malu melihat saudara kelihatan seolah-olah redha apabila ahli panel lain menghina dan mempersendakan agama ISLAM ketika forum tersebut berlangsung.Bagaimana boleh saudara membiarkan penghinaan hukum syariah kita di persendakan?

Daud Mili said...

wahai Dialog Perpaduan Ummah, aku juga ada masa FORUM tuh, hati mana yang tak tersentuh bila ISLAM di perlekehkan. Tapi, apa yang kita dapat tahu dari mulut2 yang bersuara di dalam FORUM, kita dapati ada rakyat yang menyedari bahawa peranan syariah law itu masih 'samar'...kerana setiap kali melibatkan masalah syariah, tambah-tambah lagi yang masuk paper, ia jelas menampakkan kelemahan undang2 ini,..kes yang sepatutnya boleh diselesaikan namun tertangguh bertahun2 serta nampak semakin 'berserabut'....

Jika dalam FORUM kita nampak mereka menekankan RAKYAT harus didahulukan, dan pemimpin bekerja untuk RAKYAT....

Dalam sesebuah negara,pemimpin adalah yg paling utama,dia manusia namun dia telah terpilih untuk jd pemimipin kerana mempunyai kriteria yg terbaik sebagai pemimpin...perlu pada sokongan dan paling penting pergantungannya dengan Allah...kita manusia sebagai pelakonnya dan yg menentukan segala2nya adalah ALLAH...

Ambil lah ISLAM kerana ISLAM itu syumul sepertimana zaman Rasulullah yg berjaya membina tamadun walaupun rakyatnya mempunyai pelbagai kaum,bangsa dan agama....

Dialog Perpaduan Ummah said...

Saya setuju dgn Daud Mili. Kembalilah kepada Islam kerana Islam itu syumul.Puak-puak Hisyamuddin Rais ni adalah merupakan ancaman kepada keselamatan negara.Boleh di anggap penyebar ajaran sesat setaraf ayah pin.Jika kelonggaran pelaksanaan undang-undang syariah pada hari ini pun mereka tak boleh terima, saya tak fikir mereka boleh menerima pelaksanaan undang-undang syariah total oleh PAS nanti.Saya amat berharap agar Shazni Munir, dgn peluang yang anda ada berkawan rapat dengan mereka, bimbinglah mereka kembali kepada Islam.Jangan Shazni pulak yang terpesong dah...

Daud Mili said...

Dialog Perpaduan Ummah, jangan lah kamu menuduh orang itu sesat, orang ini sesat, relax,...bagi aku FORUM ORANG MUDA itu penting, sangat penting untuk kita dengar pendapat orang lain,...kalaulah FORUM itu tak ada, adakah kita tahu bahawa ada orang yang tak setuju dengan peranan Syariah Law...tambah2 lagi dari orang Islam itu sendiri...

Selain tuh, Forum nih nampaknya lebih kepada mencari permasalahan utama masalah ETNIk di negara nih, yang tak pernah selesai bahkan semakin teruk....Biarpun kerajaan kita suatu hari nanti bertukar pemerintahnya, bertukar fahaman politiknya, belum tentu kita boleh mampu menghapuskan prejudis setiap rakyat kita terhadap rakan-rakan mereka yang berlainan warna kulit dan tutur bahasanya...

Didalam kita terus berdialog, tak semestinya kita jumpa jalan penyelesaian, namun kita akan temui satu-satu persatu persoalan yang membawa kita berfikir dan membawa kita memilih dengan lebih betul apa yang kita mahukan...

Janganlah jadi fanatik Parti, atau fanatik mana-mana fahaman politik, kita harus menerima dan membezakan antara satu sama lain dalam mencari sistem yang sesuai digunakan dalam negara ini amnya ataupun dalam kehidupan seharian kita khususnya..

Seperti dalam Islam jugak, tak patut kita fanatik kepada mana-mana mazhab dan menolak mazhab2 lain,....itu cara yang silap dalam kita memahami Al-quran & Sunnah... Ikut la Rasulullah, jika kita kurang kefahaman atau menemui masalah didalamnya, maka rujuk lah kitab2 mazhab ini, dan gunalah mana-mana cara kerana masing2 mempunyai hujah dan fakta yang mereka pertahankan....

Semoga kita sama-sama mendapat petunjuk dari-Nya..