Tuesday, November 4, 2008

Suntikan Minda Menjelang Peperiksaan...

Hari ini merupakan tarikh rasmi bermulanya peperiksaan akhir semester yang melibatkan sebahagian besar mahasiswa Universiti Malaya. Pastinya di fikiran masing-masing mengharapkan segala usaha setelah berpenat lelah sepanjang semester ini mendapat imbalan yang setimpal. Tidak ketinggalan juga bagi mereka yang menginsafi kekerdilan diri, pada fasa inilah masa yang terbaik untuk memperbaiki hubungan dengan Sang Pencipta. Masakan tidak! Pada waktu-waktu genting inilah menjadi kebiasaan pada seluruh manusia untuk memaksimumkan usaha, baik rohani mahupun jasmani, dalam mendepani halangan & rintangan yang ada dengan bantuan nusrah daripada-Nya.

Penulis sendiri pun, sewaktu menulis makalah kecil ini masih sibuk membelek-belek nota yang berada di sisi. Cuma pada penulis, dalam kehidupan juang yang penuh cabaran ini, sewajarnya tiada istilah memilih waktu dalam mendekatkan diri pada Yang Esa. Baik fasa peperiksaan mahupun tidak, sepatutnya nilai kualiti pengabdian kepada Khaliq itu maintain & agresif, pada setiap saat & ketika.

Selain itu, dalam kesibukan kita dengan nota-nota & bacaan pada soalan-soalan yang lepas, suka untuk penulis ingatkan bahawa jiwa mahasiswa itu harus sentiasa 'hidup' dengan roh perjuangan yang kental. Paling kurang sekalipun, mengambil tahu apa yang berlaku & isu-isu yang menggigit hati nurani masyarakat. Penulis tidak pasti sama ada rakan-rakan mahasiswa di luar sana sudah maklum tentang pelepasan kontroversi Razak Baginda dari pertuduhan kes membunuh Altantuya. Penulis juga tidak pasti sama ada taulan pejuang mahasiswa di luar sana tahu tentang kenyataan terbaru Najib Tun Razak kepada media antarabangsa Bloomberg berhubung usaha UMNO untuk menagih kembali sokongan rakyat.

Penulis juga turut tertanya-tanya kalau-kalau juga ada yang masih tahu tentang kempen calon-calon Presiden AS berhubung sokongan terhadap Yahudi & Gerakan Zionismenya. Penulis juga yakin & percaya, ramai pejuang mahasiswa di luar sana yang mungkin culas dalam mengambil peduli terhadap analisis unjuran masa hadapan terhadap inflasi tahap kritikal yang di alami oleh AS sekarang. Dan penulis juga ternanti-nanti apa tindakan mahasiswa pada masa ini berhubung usaha Najib Tun Razak untuk berada di puncak kuasa dalam keadaan Rosmah yang bergelumang dengan 1001 persoalan yang tidak terjawab.

Untuk lontaran di atas, tahniah penulis ucapkan bagi mereka yang masih lagi berada di alam realiti dengan tidak terperangkap dengan alasan 'untuk memberi tumpuan sepenuhnya kepada peperiksaan'. Bagi penulis, walau apa pun zon dalam fasa kehidupan ini, kita tetap berada di alam realiti, alam yang menagih sepenuhnya kekuatan & keprihatinan mahasiswa untuk mendepani keadaan & massa. Perjuangan itu pada hakikatnya tidak akan pernah terhenti dengan terma-terma 'alam peperiksaan, alam perkahwinan, alam pekerjaan dan lain-lain'. Sebaliknya, terma-terma inilah yang mengajar sekelian pejuang untuk lebih agresif & cekap dalam mengendalikan rutin putaran kehidupan semasa.

Akhir kata, penulis berharap agar jiwa yang pernah bersumpah untuk mengenderai terus agenda perjuangan mahasiswa ini akan lebih marak, selari dengan julangan semangat untuk berjaya di medan peperiksaan. Biarlah dunia pada hari ini menjadi saksi akan perjuangan mahasiswa dalam menongkah arus perdana. Kerana pada hakikatnya, perjuangan anak muda itu tidak pernah menuntut untuk diberikan kuasa, jauh lagi berada di puncak kuasa seperti yang sedang diusahakan oleh Najib Tun Razak sekarang. Pada mahasiswa, berpadalah dengan setiap warganegara yang tercinta ini mendapat hak yang sepatutnya mereka perolehi, di samping menegakkan politik nilai dalam setiap lapangan kehidupan. Tanpa kuasa, tanpa penyalahgunaan kuasa. Titik.



No comments: