Wednesday, April 8, 2009

Pilihan Raya : Antara Medan Menegur & Menjatuhkan Kepimpinan Yang Zalim

Kepimpinan adalah suatu amanah dan tangung jawab, dan umum menyetujui, sebarang penyelewengan hendaklah ditegur oleh rakyat & orang kebanyakan. Dalam hal ini, Rasulullah S.A.W sendiri pernah menerima pandangan dan teguran daripada para sahabat dalam beberapa peristiwa yang terkenal, antaranya peristiwa teguran Al-Habbab Ibn Munzir dalam menentukan kedudukan yang strategik sewaktu peristiwa Perang Badar, dan banyak lagi.

Lebih mengagumkan, tradisi menegur kepimpinan ini terus diperhebatkan sewaktu zaman pemerintahan Saidina Abu Bakr Ash-Shiddiq (Khalifah Ar-Rasyidin Yang Pertama) dengan kata-katanya yang masyhur:

وليت عليكم ولست بخيركم فإن أحسنت فأعينوني و…أطيعوني ما أطعت الله ورسوله فإذا عصيت الله فلا طاعة لي عليكم

Maksudnya: “Sesungguhnya aku hanya dilantik dari kalangan kamu, bukanlah aku yang terbaik dari kamu, kiranya aku berada di landasan kebenaran maka bantulah aku, taatilah aku selagi mana aku mentaati Allah dan RasulNya, maka apabila aku menderhaka Allah maka tiadalah wajib lagi taat kepadaku!”

Bahkan, Islam sendiri pada prinsipnya mempunyai sikap yang tegas terhadap para pemerintah yang berlaku zalim & mengamalkan pemerintahan yang bersifat tirani, kuku besi atau autokratik. Sabda Nabi S.A.W:

أشد الناس عذابا يوم القيامة إمام جائر

Maksudnya: “Sekeras-keras manusia yang dikenakan azab di akhirat kelak adalah pemimpin yang zalim!”

Jelas, menegur kepimpinan yang zalim bukan sekadar suatu anjuran, bahkan suatu sunnah yang bersumberkan daripada pengamalan Rasulullah S.A.W & para sahabat.

Sungguhpun begitu, seandainya pemimpin yang ditegur tidak mengendahkan teguran terbabit, ada beberapa pandangan yang diberikan kalangan ulama’ berhubung hal yang seperti itu.

Pertamanya, Islam membenarkan pemimpin tersebut diturunkan kerana ia dianggap pemimpin negara Islam yang menyeleweng (pandangan Syeikh Sa’id Hawwa di dalam kitabnya Jundullah Tsaqofata Wa Akhlaqan, pada muka surat 380).

Dan dalam konteks ini, ulama’ lain juga menambah bahawa proses menurunkan pemerintah itu hendaklah dilakukan secara aman.

Prof. Dr. Muhd Salam Madkur menegaskan adalah suatu kewajiban untuk menurunkan pemimpin fasiq dengan syarat kita mempunyai bukti tentang kefasiqan pemimpin tersebut & ia tidak lagi boleh diberi nasihat.

Demikian juga pandangan Imam Abu Hanifah, Imam al-Qurtubi, Imam Abu Hamid al-Ghazali, Imam as-Syawkani dan Dr. Yusoff Al-Qaradhawi.

Imam Al-Mawardi juga ada menyebut bahawa dalam sesebuah negara Islam yang menyeleweng, seorang khalifah itu boleh diturunkan jika berlaku kezaliman dan fasiq.

Pandangan yang keduanya pula ialah pandangan yang dipelopori oleh Abu Yu’la al-Farra al-Hanbali dengan mengikut pandangan Imam Ahmad Hanbal yang tidak menentang dan menjatuhkan Khalifah Al-Makmun dan Al-Mu’tasim sungguhpun dengan jelas keduanya melakukan kezaliman.

Imam an-Nawawi pula dalam mensyarahkan hadith muslim, “Adapun yang keluar daripada mentaati pemerintah dan memeranginya (maksudnya di sini ialah dengan mengangkat senjata, bukan di medan pilihanraya dan undi) adalah haram dengan ijma’ sekelian kaum muslimin, sekalipun mereka itu fasik ataupun zalim.

Pendapat ini disandarkan oleh kebanyakan ulama’ pada sebab yang kuat iaitu dikhuatiri fitnah & kerosakan yang timbul sewaktu memerangi pemerintah itu lebih besar daripada fitnah yang timbul akibat daripada kezaliman yang dilakukan oleh pemerintah.

Dalam mensyarahkan hadith lain pula An-Nawawi menyebut: “Sesungguhnya tidak harus menentang pemerintah hanya sekadar zalim atau fasik selagi mereka tidak mengubah suatu daripada kaedah-kaedah Islam. (Pada Syarah Sahih Muslim oleh An-Nawawi, jilid 12)

Lantas, Ad-Dawudi dalam memberi jalan keluar pada permasalahan ini telah mengeluarkan pandangannya bahawa: “Yang menjadi pegangan para ulama, mengenai para pemerintah yang zalim ialah sekiranya mereka boleh dipecat tanpa sebarang fitnah dan kezaliman, maka wajib dipecat, jika tidak, maka wajib bersabar” (Fath al-Bari oleh Ibn Hajr al-Asqalani pada muka surat 498, jilid 14)

Dan pandangan yang lebih ‘keras’ daripada Ibn ‘Atiyyah pula menyatakan: “As-Syura adalah prinsip syari’ah, mana-mana pemimpin yang tidak ber’syura’ bersama ahli agama, maka menjatuhkannya adalah WAJIB”

Justeru, kesimpulan yang boleh kita perolehi setakat penghujahan di atas ialah kaedah pilihanraya yang digunapakai pada hari ini merupakan suatu kaedah yang berkesan & sah di sisi syarak untuk memecat pemimpin zalim dengan aman, tanpa fitnah dan pembunuhan. Bahkan, tidak cukup sekadar itu, wajib pula berusaha mengubah kemungkaran melaluinya.

No comments: