Friday, May 30, 2008

AUKU : Kelirukah Najib Atau Memang Tidak Tahu??

Berikut merupakan kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak yang sempat penulis petik dalam Berita Harian Online:

"Timbalan Perdana Menteri berkata, dakwaan bahawa akta itu menghalang kebebasan pelajar institut pengajian tinggi (IPT) adalah tidak benar, kerana mereka semakin menunjukkan kematangan pemikiran dan pengetahuan.

Beliau berkata, mereka (mahasiswa) sebenarnya salah faham dan kurang pengetahuan berkaitan fasal dan peruntukan dalam akta itu sehingga menyebabkannya dipolitikkan."

Jelas melalui kenyataan di atas, Najib telah membuat penjelasan yang berbentuk andaian, tanpa menganalisa terlebih dahulu tentang keadaan mahasiswa & AUKU itu sendiri. Di bawah ini penulis ingin mengemukakan beberapa hujah & pendapat yang sebahagiannya telah penulis kemukakan dalam artikel-artikel yang lepas untuk menyangkal andaian membabi-buta yang dilakukan oleh Timbalan Perdana Menteri Malaysia ini.

Hujah yang pertama, tentang AUKU tidak menghalang kebebasan pelajar (baca mahasiswa). Pada tahun 2001, seramai 7 orang mahasiswa yang telah dibuang universiti hanya kerana didakwa & belum lagi dibuktikan bersalah oleh mahkamah, kerana terlibat dalam gerakan untuk membebaskan tahanan yang merengkok dalam ISA. Sebagaimana yang kita maklum, ISA secara historinya telah terbukti menjadi medan untuk kerajaan menahan siapa-siapa sahaja di kalangan rakyat yang boleh menggagu-gugat kerajaan.

Persoalan yang ingin saya lontarkan, salahkah tindakan mahasiswa-mahasiswa itu untuk membela kelompok yang jelas telah dianiaya oleh kerajaan dengan menuntut supaya mereka dibebaskan & dibicarakan jika mereka benar-benar dirasakan bersalah oleh kerajaan? Mengapakah AUKU 'membenarkan' mahasiswa ini dibuang universiti sedangkan proses perbicaraan belum lagi berlangsung ketika mereka dibuang? Bukankah di bawah semangat Perlembagaan Persekutuan, setiap individu adalah tidak bersalah sehingga dirinya dibuktikan bersalah? Adakah mahasiswa bukan warganegara Malaysia yang dijamin haknya dalam Perlembagaan Persekutuan?

Hujah yang kedua, berhubung dengan kenyataan Najib, mahasiswa semakin menunjukkan kematangan pemikiran & pengetahuan (dengan adanya AUKU ini). Penulis ingin bertanya kepada Najib, kematangan yang bagaimanakah menurut perspektif beliau? Adakah dengan dipaksa menerima bulat-bulat segala apa yang dibuat oleh kerajaan dalam kem-kem bina semangat seperti anjuran Biro Tata Negara itu satu 'kematangan pemikiran'? Atau adakah dengan menjadikan mahasiswa menjadi takut & paranoid untuk menegur kerajaan itu dikatakan 'kematangan pemikiran'?

Untuk Najib, mahasiswa merupakan kelompok yang sepatutnya belajar & berfikir. Kalau ada dasar-dasar kerajaan yang tidak dipersetujui oleh mahasiswa itu, bagi penulis, ianya merupakan perkara biasa kerana mahasiswa kerjanya belajar & menganalisis. Bahkan di US sendiri, sebahagian besar mahasiswa di sana menyatakan sokongan secara terbuka terhadap calon Parti Pembangkang (Demokrat), Barack Obama kerana dirasakan lebih berwibawa & meyakinkan untuk menangani krisis peperangan di Iraq & Afghanistan. Tuntasnya, tiada pula tindakan yang diambil oleh Kerajaan Republikan pimpinan George W. Bush berhubung tindakan mahasiswa-mahasiswa itu. Atau adakah Najib merasakan bahawa kerajaan Malaysia pada hari ini 'maksum' sehingga tidak boleh dibantah langsung dasar-dasarnya oleh mahasiswa?

Hujah yang ketiga, berhubung dengan kenyataan, mahasiswa sebenarnya salah faham dan kurang pengetahuan berkaitan fasal dan peruntukan dalam akta itu sehingga menyebabkannya dipolitikkan. Sekali lagi Najib berpendirian untuk meletakkan kesalahan di bahu mahasiswa. Sebenarnya, kerana faham & jelas tentang AUKU inilah mahasiswa berpendirian untuk AUKU ini dimansuhkan. Dengan 'track record' menganiaya mahasiswa dan membelakangkan hak kebebasan diri mahasiswa sebagai warganegara, ditambah pula dengan 'kebiadaban' AUKU itu sendiri yang terang-terangan melawan Perlembagaan Persekutuan, apakah yang mungkin mahasiswa katakan mengenai AUKU ini melainkan ianya dimansuhkan?

Akhirnya, untuk makluman Najib, mahasiswa dalam perjuangan untuk memansuhkan AUKU ini tidak pernah sesekali bersifat bias terhadap mana-mana parti, bahkan pembangkang sekalipun. Bagi mahasiswa, sesiapa pun, baik daripada Barisan Nasional, Pakatan Rakyat, bahkan NGO-NGO lainnya bebas untuk menyokong usaha mahasiswa dalam memansuhkan AUKU ini. Mahasiawa tetap mahasiswa. Bagi penulis, mereka tidak mungkin menjadi pak turut kepada mana-mana pihak secara membabi-buta, tanpa sebarang kaji selidik. Kalau betul, mereka akan kata betul, kalau salah mereka akan kata salah & tegur. Dan kalau seandainya mana-mana pihak masih berdegil & bersikap keras kepala dengan teguran mahasiswa lebih-lebih lagi yang menyentuh soal kepentingan mereka, rakyat umumnya, dan negara, percayalah Najib, mahasiswa sesekali tidak akan teragak-agak untuk LAWAN!!



1 comment:

zeqin said...

Rakan seperjuangan dan rakan dari satu kampung - Segamat.

Marilah beri komen atas blog ana.

http://ongjingcheng.wordpress.com

Ong Jing Cheng