Saturday, May 17, 2008

Khaled Nordin & AUKU

Kenyataan Menteri Pengajian Tinggi, Dato' Khaled Nordin pada tiga hari yang lalu jelas menggambarkan diri beliau yang lebih kurang sama dengan menteri-menteri pengajian tinggi sebelum beliau. Dengan mengambil pendirian untuk tidak memansuhkan akta zalim Akta Universiti Kolej Universiti (AUKU), beliau telah dipandang seorang yang tidak jauh berbeza dengan menteri-menteri pengajian tinggi sebelum beliau yang lebih gemar memainkan isu AUKU ini semata-mata untuk kepentingan politik masing-masing.

Khaled Nordin patut sedar bahawa kebanyakan pemimpin yang lahir dan memimpin kebanyakan rakyat Malaysia pada hari ini terdiri daripada mereka yang melalui kehidupan zaman mahasiswa sebelum penguatkuasaan AUKU ataupun mereka yang merentasi zaman kemahasiswaan selepas penguatkuasaan AUKU, tetapi bertindak untuk melawan AUKU sepanjang mereka bergelar mahasiswa.

Sejarah tidak mungkin dapat menipu dengan munculnya beberapa nama yang telah lahir melalui 2 keadaan ini. Mahathir Mohamad, Anwar Ibrahim, Ahmad Zahid Hamidi, Ahmad Shabery Cheek dan Khaled Nordin sendiri merupakan beberapa figure yang boleh disebut untuk membuka mata seluruh rakyat Malaysia bahawa AUKU yang tidak relevan ini sepatutnya telah lama dihumbankan dari mercu perundangan negara.

Sukalah kita nak tanyakan di sini, adakah mereka yang telah bergelar 'dato' dan 'pak-pak menteri' ini telah berasa selesa dengan cengkaman AUKU terhadap mahasiswa kerana akta ini membela kepentingan politik mereka, sedangkan sewaktu di zaman mahasiswa dahulu merekalah yang kononnya seperti 'hero' memimpin mahasiswa untuk melawan kepimpinan negara & AUKU sendiri? Adakah kerana kepentingan politik murahan, mereka telah menggadaikan maruah idealisme yang telah mereka pasakkan dalam pemikiran pengikut-pengikut mereka sewaktu menjadi pemimpin mahasiswa dahulu?? Justeru di manakah maruah 'hero-hero' pemimpin gerakan mahasiswa era 70-80an ini???

Untuk Khaled Nordin, kembalikanlah kepercayaan mahasiswa yang pernah melihat anda sebagai ikon penggerak kepada gerakan mahasiswa suatu ketika dahulu. Pada hari ini, mahasiswa akan menilai, dan terus menilai bagaimana seorang bekas aktivis mahasiswa akan mengangkat maruah perjuangan mahasiswa yang pernah dilesukan oleh 'tangan-tangan kotor' angkara kepentingan politik murahan, melalui kementerian yang diterajuinya.

Akhirnya, kalau seandainya Khaled Nordin terus dengan keputusannya itu untuk sekadar 'meminda' dan 'menyentuh' bahagian-bahagian yang bukan substance dalam AUKU ini, janganlah menyesal kalau di kemudian hari nanti gambar wajahnya akan diludah & namanya akan dikeji sepanjang zaman kerana dicop sebagai PENGKHIANAT GERAKAN MAHASISWA!!!

No comments: