Friday, May 23, 2008

Sanggahan Terhadap Salah Faham Tentang AUKU...

Berikut merupakan artikel Sdr Jabdin Juhat...

AUKU tidak mungkin melemahkan Pemimpin Mahasiswa

Files under Artikel Pilihan | Posted by admin

My Photo

Oleh:Jabdin Juhat

Di Malaysia menjadi seorang pemimpin yang aktif bukanlah sesukar mana.Penulis sendiri pernah menjadi pemimpin mahasiswa di kampus.Tidak pernah pula penulis merasakan diri penulis dikongkong.Bagi penulis jika ada sesuatu yang boleh dikritik dengan fakta yang tepat maka ia satu tanggungjawab untuk memberi pendapat.

Penulis pada tahun 2001 ketika berada menghadiri Konvensyen MPP Se Malaysia mengkritik Tun Dr Mahathir secara terbuka ketika itu sebagai PM kerana mempertahankan Sistem Penggililran Ketua Menteri Sabah. Penulis mencabar Tun dan Tun juga sebaliknya. Kami sangat jelas mengenai sistem itu yang banyak merugikan rakyat Sabah. Tidak pula penulis dibuang dari universiti kerana menyuarakan kritikan pedas itu.

Pada penulis soal AUKU hanyalah kulit sahaja yang penting ialah pendekatan kritis yang telus dan jujur. Prinsip akan menjadikan kita pemimpin pelajar yang dihormati oleh semua pihak. Keterbukaan akan menjadikan kita pemimpin yang mempertimbangkan semua pendaoat dari pelbagai sudut. Penulis memilih untuk mengkritik kerajaan dan pembangkang dalam tahun 2001. Malah universiti di tempat penulis cukup tahu dan kenal cara penulis mengkritik pihak pengurusan universiti. Tidak pula penulis bermasalah besar menghadapi mereka.

Pemimpin mahasiswa sekarang bukannya tidak cukup bagus. Kita harus membezakan antara zaman bukan bernostalgia dengan cerita kisah silam pemimpin mahasiswa terdahulu yang dikatakan lebih berani dan bebas. Itu mungkin suasana dahulu yang memerlukan mereka menjadi seperti itu. Kita harus menghormati cara masing-masing. Anda boleh memerhatikan cara pemimpin mahasiswa sekarang kritis bagaimana? Cara kritis mereka adalah cara berpilih-pilih dan berpuak-puak. Kalau mereka mahu menjadi pengkritik pembangkang maka itulah cara mereka sehingga mereka digelar penyokong kerajaan. Begitu juga sebaliknya. Amat jelas kategori itu dalam pemimpin mahasiswa sekarang. Lantaran itu tidak mungkin kita melihat GAMIS dan PMIUM mengkritik pemimpin PAS begitu juga dalam kelompok aspirasi yang juga tidak berani mengkritik UMNO atau BN.

Medan kami tahun 2001 nyata lebih terbuka dan berani sehingga terbentuknya Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaaan. Kami mempelopori pembentukan mahasiswa berplatform agar suara kami sampai ke peringkat lebih tinggi iaitu PM dan TPM. Apakah mekanisme berbincang dan berunding bukan metod yang baik sekiranya ia mampu menghasilkan keputusan yang baik?

Cara ikut-ikutan mana-mana parti di Malaysia mungkin telah banyak mempengaruhi cara pemimpin mahasiswa bertindak. Pandangan menjadi kabur bila mana sokongan mana-mana pihak menjadi paksi utama. Sedangkan mahasiswa mempunyai cara tersendiri menangani isu yang berlaku. Jika mahu menjadi telus biarlah rentaknya dicari bukan dari lapangan parti. Sesiapa pun tidak menjadi bodoh atau tidak tahu dari mana seseorang pemimpin mahasiswa itu bermula, didikan siapa, parti mana dan macam-macam lagi muncul dikalangan mereka dalam kampus. Mungkin dari Nilam Puri yang terkenal dengan sistem perkaderan PMI nya atau dari UM Pusat yang terkenal dengan ahli PMIUM nya. Apakah seekor ular yang ganas mematuk boleh dipanggil seekor ayam? Sudah tentulah identiti menjadi lebih utama.

AUKU bagi penulis hanyalah ibarat taufan yang melanda berlaku pada masanya dengan sebab-sebab tertentu. Ramai pemimpin mahasiswa yang tidak memahami penggunaannya. Jika cara kita benar tida pihak yang akan menghukum kita. Sistem pemahamannya hanya sistem warisan yang diperturunkan dari satu generasi ke generasi pemimpinnya. Ia semacam Nota Serah tugas yang belum pernah selesai sejak 30 tahun lalu.

Anda boleh membaca artikel penulis bertajuk ” AUKU Lemah?” dalam blog ini bahawa sistem hukuman AUKU sejak 1971 gagal dilaksanakan. Yang dilakukan sekarang hanyalah melalui Kaedah Tatatertib universiti yang boleh dicabar.

Ada yang berkata AUKU adalah tidak relevan kerana bertentangan dengan Perlembagaan Malaysia yang membenarkan hak bersuara dalam perkara 10. Inilah yang selalu digunakan oleh pemimpin mahasiswa. Namun jarang sekali yang habis membaca dan memahami perkara 10 itu. Misalnya

Perkara 10 (2) (a) apa-apa sekatan yang didapatinya perlu atau mustahak demi kepentingan keselamatan Persekutuan atau mana-mana bahagiannya

(b) ke atas hak yang diberi oleh perenggan (b) Fasal (1), apa-apa sekatan yang didapatinya perlu atau mustahak demi kepentingan keselamatan Persekutuan atau mana-mana bahagiannya, atau ketenteraman awam;


(c) ke atas hak yang diberi oleh perenggan (c) Fasal (1), apa-apa sekatan yang didapatinya perlu atau mustahak demi kepentingan keselamatan Persekutuan atau mana-mana bahagiannya atau ketenteraman awam atau akhlak.

Sesuatu yang amat jelas bahawa undang-undang seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), Akta Cetak Mencetak, Akta Hasutan, Akta Universiti dan Kolej Universiti adalah bagi tujuan kepentingan keselamatan persekutuan atau mana-mana bahagiannya atau ketenteraman awam. Ia jelas boleh diluluskan oleh Parlimen. Oleh itu pemakaian terhadap Akta Universiti dan Kolej Universiti terpakai di Universiti adalah sah dan diterima perlembagaan persekutuan sebagai Perlembagaan Tertinggi Malaysia. Tidak kah itu jelas? Adakah penggunaan AUKU masih tidak berasas?

sumber: http://mahasiswaonline.blogspot.com/


Berikut merupakan jawapan penulis terhadap artikel ini

Dalam orientasi penggubalan suatu rang undang-undang, ada satu istilah yang dipanggil 'mala fide' yang merujuk kepada penciptaan suatu undang-undang dengan niat yang & tujuan yang buruk. Jelas melalui penelitian ahli umdang-undang, AUKU digubal atas suatu keadaan yang bersamaan dengan keadaan di atas. Buktinya, AUKU digubal sebaik sahaja berlaku bantahan demi bantahan dari mahasiswa ekoran kelemahan yang ketara sehingga tercetusnya tragedi 13 Mei sewaktu Malaysia di bawah kepimpinan Tunku Abdul Rahman Putra (kini Allayarham) pada waktu tersebut. Rentetan itu, pada tahun 1971, rang undang-undang ini telah dibawa ke parlimen & diluluskan pelaksanaannya. Tidak cukup dengan itu, pada tahun 1975, Dr Mahathir Mohamad (kini Tun) yang memegang portfolio Menteri Pelajaran pada waktu tersebut, telah mengusulkan pindaan terhadap AUKU di parlimen & pindaan itu diluluskan walaupun jelas melalui pindaan ini, hak mahasiswa sebagai warganegara langsung terbunuh.

Penulis tertarik untuk memetik beberapa kenyataan Sdr Jabdin Juhat dalam artikelnya, "AUKU Tidak Mungkin Melemahkan Pemimpin Mahasiswa". Pada peringkat awal, penulis sangat-sangat bersetuju kepada saranan yang beliau lontarkan agar pembawaan mahasiswa & gerakan mahasiswa harus bersifat 'genuine', iaitu tidak condong kepada mana-mana parti, sehingga sampai pada satu peringkat, mahasiswa bebas untuk mengkritik & menegur mana-mana pihak tanpa bersikap bias. Walau bagaimanapun, penulis sangat kecewa apabila beliau mengambil pendekatan untuk membela AUKU ini pada akhir artikel dengan alasan, AUKU ini sah penggunaannya & selari dengan perlembagaan.

Penulis merasakan bahawa kenyataan Sdr Jabdin ini bersifat semberono & terburu-buru. Penulis mengatakan sedemikian kerana pada hemat penulis Sdr Jabdin tidak meneliti secara cermat & menyeluruh kesemua kandungan AUKU tersebut. Mungkin juga Sdr Jabdin tidak perasan terdapatnya seksyen-seksyen di dalam AUKU sendiri yang bercanggahan dengan Perlembagaan Persekutuan. Sebelum pergi lebih jauh, sukalah penulis ingatkan bahawa perjuangan memansuhkan AUKU ini bukanlah semata-mata untuk menghidupkan kembali gerakan mahasiswa yang telah lama terkubur mati. Jika itulah tujuannya, dari satu segi yang lain, AUKU secara hakikatnya telah 'berjaya melahirkan' aktivis-aktivis mahasiswa yang berani & cekal dengan mengambil sisi perjuangan untuk melanggar & melawan AUKU. Bahkan lebih jauh, perjuangan untuk memansukan AUKU ini adalah suatu usaha yang konsisten untuk mendaulatkan Perlembagaan Persekutuan yang merupakan tunjang perundangan negara.

Di sini penulis nyatakan serba ringkas akan kandungan AUKU yang secara jelas telah membontotkan Perlembagaan Malaysia. Pada Seksyen 15D (1) iaitu:-

“Jika seseorang pelajar universiti dipertuduhkan atas suatu jenayah maka ia hendaklah dengan itu serta-merta digantung daripada menjadi seorang pelajar universiti dan ia tidak boleh, dalam masa menunggu keputusan pembicaraan jenayah itu, tinggal atau masuk dalam kampus universiti itu atau kampus mana-mana universiti lain.”

Jelas di sini bahawa AUKU telah menjatuhkan hukuman kepada seseorang sebelum perbicaraan lagi. Dan seksyen ini telah membelakangkan hak kebebasan diri yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan kepada semua warganegara dalam Perkara 5 iaitu pada kaedah asasnya setiap warganegara adalah tidak bersalah sehingga dirinya benar-benar dibuktikan bersalah.

Sebenarnya terdapat banyak lagi aspek hak-hak kemanusiaan yang dinafikan di dalam AUKU ini. Bahkan antara percaya atau tidak, terdapat larangan secara jelas kepada mana-mana persatuan, untuk tidak memiliki alat pembesar suara!! Sukalah penulis ingin menanyakan sesuatu kepada Sdr Jabdin, "Adakah penggunaan alat pembesar suara seperti healer mengancam keselamatan & menggugat keharmonian negara ini???"

Oleh yang demikian, penulis menyeru kepada Sdr Jabdin & rakan-rakan di luar sana agar tidak bersikap terlalu 'lembut hati' dengan AUKU ini. Penulis kira adalah menjadi tanggungjawab kita sebagai warganegara Malaysia untuk menolak sebarang bentuk undang-undang yang bercanggah & tidak selari dengan semangat perlembagaan ini.

No comments: