Kuala Lumpur 9 April 04:32 pm | Kabinet kepimpinan negara yang diumumkan oleh Perdana Menteri Malaysia ke 6, Dato’ Seri Najib Tun Razak petang tadi mendapat respon pelbagai sudut daripada pimpinan mahasiswa.
Rata-rata kepimpinan mahasiswa memberikan harapan tinggi kepada kabinet baru yang diumumkan petang tadi.
Saya berharap agar kabinet baru ini dapat berikan suatu anjakan kepada kepimpinan Malaysia, dalam masa yang sama lebih menekankan kepada pembangunan generasi muda seperti kami (mahasiswa),” ujar Riduan Mohamad, Yang Di Pertua Majlis Perwakilan Mahasiswa Universiti Malaya (MPMUM).
Shazni Munir Mohd Ithnin, Presiden Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM) pula menekankan pembangunan generasi muda Malaysia yang lebih baik oleh kepimpinan negara.
Sememangnya pembangunan material diperlukan, tapi saya menggesa kepimpinan baru ini merencana pembangunan insan yang lebih tersusun dan dapat lahirkan manusia yang berguna pada agama, bangsa dan negara. Mahasiswa nak lihat suatu bentuk anjakan dalam melahirkan generasi muda yang lengkap dengan IQ, EQ dan SQ sebagai generasi muda baru Malaysia,” komen beliau.
Di samping itu, Hafez Sabri, Presiden Gabungan Mahasiswa Bersatu Perak (BERSATU) memberi respon berkenaan pembangunan rakyat sosio-ekonomi di Malaysia.
Imej yang bersih dan telus sememangnya kita tekankan,dan mahasiswa juga harapkan kepimpinan Negara dengan kabinet baru ini membawa Malaysia ke arah kesejahteraan dari sudut politik , ekonomi dan sosial. Di samping itu, lebih menekankan pembangunan rakyat terbanyak dan marginalize (terpinggir) di kawasan-kawasan pinggir bandar dan kampung,” ujar beliau.
Dalam pada itu, tidak ketinggalan juga kepimpinan mahasiswi yang terus dengan agenda pembangunan mahasiswi member respon kepada kabinet baru yang diumumkan sebentar tadi.
Saya menggesa Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil (Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat) agar lebih beri penekanan kepada mahasiswi di kampus. Kita mahu mahasiswi lebih kehadapan dan trampil dalam usaha membina lapisan kepimpinan Negara suatu masa nanti dari kalangan wanita,” ujar Fasihah Fauzi, Timbalan Presiden Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM).
Selain itu, Shahrizul Ayuni, Setiausaha Agung Majlis Perwakilan Mahasiswa Universiti Malaya semasa bertemu media petang tadi lebih menekankan soal hubungan antara kaum dan Bangsa Malaysia.
Saya mahu kepimpinan Malaysia yang baru lebih menekankan soal integrasi kaum di Malaysia. Kita mahu membina suasana Bangsa Malaysia yang harmoni dan penuh dengan nilai-nilai Malaysia. Tidak wujud lagi soal cauvanisme dan perkauman. Kami (MPMUM) juga berpegang kepada tidak ada nilai perkauman dalam kepimpinan di universiti, semua masalah dipukul sama rata, yang ada hanya satu suara; generasi muda Malaysia,” ujar beliau bersemangat.
Terdahulu, Dato’ Seri Najib Tun Razak, yang mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri keenam pada 3 April lalu, mengumumkan kabinet petang tadi yang lebih kecil dianggotai 28 menteri dengan 25 kementerian, berbanding 32 menteri dengan 27 kementerian semasa pentadbiran Tun Abdullah Ahmad Badawi sebelum ini. -mahasiswakini
No comments:
Post a Comment