Friday, April 3, 2009

Surat Terbuka PMIUM Buat Perdana Menteri Malaysia Yang Keenam

Salam sejahtera buat pemimpin,

Salam kasih buat seluruh rakyat.

Alhamdulillah, Allah s.w.t dengan kebijaksanaannya, telah pun mencaturkan bagi rakyat di bumi Malaysia ini, bahawa Perdana Menteri Malaysia yang keenam adalah insan yang bernama Dato’ Seri Najib Tun Abdul Razak. Sebagai manusia, tuntutan kepimpinan adalah suatu kewajipan yang perlu dipenuhi bagi mengemudi suatu bahtera menuju matlamat.

Berkenaan ini, Ar-Rasul s.a.w berpesan buat umatnya: “Apabila keluar tiga orang dikalangan kamu, maka hendaklah melantik dari kalangan kamu seorang ketua.” Maka sekali lagi pujian dipanjatkan kepada Allah s.a.w, kerana kehendak Nabi s.a.w ini kita dapat tunaikan.

Pimpinan kami,

Sesungguhnya Allah s.w.t menjadikan setiap perkara punyai hikmah dan pengajaran disebaliknya. Kita sedia maklum, bahawa amanah kepimpinan itu sangat berat dan tanggungjawabnya sangat besar. Ia bukan amanah yang diberi secara percuma dan bukan jua tugas yang memerlukan semata-mata melunaskan kehendak-kehendak orang. Bahkan, ia lebih dari itu.

Dalam hal ini, takutilah wahai pemimpin akan pesanan Nabi s.a.w ini: “Tidak ada seorang pemimpin pun yang dilantik untuk urusan Muslimin (orang Islam dan lain), kemudian dia tidak bersusah payah untuk mereka dan menasihati mereka, kecuali tidak dimasukkannya ke syurga bersama-sama mereka.” Ia barangkali sebuah amaran dan ia juga satu ingatan.

Wahai pemimpin yang diberi kuasa,

Janganlah dilalaikan dengan kuasa serta pangkat yang dikurniakan kepadamu. Dan jangan pula kamu terpedaya dengan banyaknya teman dan rakan, penuhnya pujian dan sanjungan, serta harta dan kelengkapan yang ada disekelilingmu. Hendaklah bersifat zuhud dan bersederhana.

Ambillah apa yang perlu sahaja untuk urusan duniamu. Agihkanlah lebihan hartamu buat rakyatmu yang kesusahan dan kelaparan. Agar Allah s.w.t memberkati kehidupanmu dan memandu langkah pimpinanmu.

Pemimpin yang kami sanjungi,

Renung-renungkanlah masa depan negara ini.

Lebih 50 tahun sudah, Malaysia diberikan nikmat kemerdekaan. Merdeka daripada penjajahan kuasa Barat. Namun, wahai pimpinan kami, sehingga kini erti sebenar kemerdekaan itu belum lagi dirasai. Apa makna merdeka andai ada pimpinan kami yang tidak amanah memberi rasuah?

Apa maksud merdeka andai ibu-bapanya tidak menghiraukan anak-anaknya? Benarkah kita sudah merdeka jika remajanya banyak terlibat gejala sosial seperti dadah dan pelacuran? Betulkah kita merdeka andai sistem pendidikan kita tidak mampu melahirkan generasi yang baik akhlaknya?

Dan benarkah sudah kita bebas sedangkan hukum-hakam Allah tidak dilaksanakan malah diketepikan, lalu mengambil undang-undang sekular dan Barat sebagai tunjang negara? Benarkah kita negara yang dikatakan merdeka itu??

Wahai pemimpin, sesungguhnya tanggungjawabmu sangat besar.

Kami bukanlah rakyat yang terbaik untuk memberi nasihat ini. Bukan jua sempurna untuk mengatakan sebegitu. Namun, kerana sayangnya kami kepada negara yang tercinta, agama yang disanjungi, serta pimpinan yang kami harap-harapkan. Warkah nasihat ini mungkin sedikit sebanyak bisa menjadi penawar dan ingatan betapa payahnya amanah yang bakal kamu hadapi kelak.

Wahai Perdana Menteri Malaysia yang keenam,

Awaslah dengan rintangan dan cabaran. Sesungguhnya tanggungjawabmu sangat besar. Segala pundak jutaan rakyat ini terbeban di bahumu. Sesungguhnya amanahmu sangat berat. Siapakah yang akan ditanya di akhirat nanti, jika bukan kamu seandainya seorang rakyatmu yang mati kerana kelaparan.

Titisan peluh rakyat, deraian air mata rakyat, tumpahan darah dan nyawa, anak-anak yang menangis kelaparan susu, ibu-ibu yang mendekam kesejukan, rumah-rumah yang dirobohkan, muda-mudi yang dilalaikan, harta benda yang dilarikan dan rumah-rumah yang ditinggi dan diluaskan. Semua ini dibahumu. Sesungguhnya, amanah dan tanggungjawabmu benar-benar berat dan besar.

Tinggal lagi apa yang bakal kamu lakukan, wahai pemimpin kami.

Sesungguhnya panduan yang paling benar adalah Al-Quran dan Sunnah Nabi s.a.w. maka gunakanlah ia dalam mendepani kepimpinanmu. Tidak sekali-kali akan tersesat dengan dua rujukan berguna ini. Pakailah ia dengan sebaiknya.

Wahai pemimpin yang memandu kami,

Cukuplah sekadar ini. Moga Allah membuka pintu-pintu hati mu. Kami sentiasa berdoa agar dikurniakan pemimpin yang dapat memandu dan membimbing, bukan sekadar di dunia, malah bersama-sama beriringan menuju syurga di akhirat kelak.

Semoga Allah memayungkan rahmat-Nya.

Sekian.

Nasihat ikhlas buat Perdana Menteri Malaysia keenam.

No comments: