Pada tanggal 12 Ogos ini, genaplah 9 tahun sambutan Hari Pemuda Sedunia (International Youth Day) yang bermula sambutannya pada tahun 2000. Bermacam versi sebenarnya cara & metodologi sambutan hari ini mengikut lokaliti & sosio masyarakat satu-satu negara.
Namun, saya merasakan bahawa mahasiswa perlu mengambil signifikan tarikh keramat ini untuk membuat sesuatu yang bermakna kepada negara ini. Amat malanglah bagi mereka yang masih lagi dilanda kebekuan pemikiran dengan merasakan bahawa Malaysia telah melalui fasa yang paling baik pada waktu sekarang.
Mahasiswa pada hari ini harus membina paradigma seperti pemimpin negara dalam membentuk suatu sosio masyarakat yang lebih ideal buat negara ini. Tidak wajar bagi mahasiswa yang sentiasa cuba untuk tunduk dengan dogma-dogma yang merendah-rendahkan keupayaan mahasiswa dalam terlibat sama ke arah pembinaan ketamadunan yang baru bagi bangsa Malaysia.
Untuk menuju ke arah itu, penulis mencadangkan agar mahasiswa membiasakan diri untuk membaca & mentelaah buku-buku besar dalam pembinaan sebuah negara & membentuk satu-satu paradigma ketamadunan. Antara yang boleh penulis cadangkan ialah 'The End Of History' & 'The End Of Ideology'.
Ya, kajian demi kajian telah pun dibuat terhadap negara ini. Ternyata sehingga ke hari ini, Malaysia masih lagi gagal untuk membentuk suatu ketamadunan yang genuine, tersendiri & bebas dari tinggalan penjajah, iaitu dengan dasarnya yang cukup masyhur iaitu 'pecah & perintah'.
Dan lebih menyedihkan, walaupun pemimpin Malaysia selama 52 tahun ini merupakan seorang yang beragama Islam, ianya masih lagi gagal menjadikan Malaysia ini sebuah negara yang memberi keadilan untuk semua, walaupun itu merupakan tunjang yang penting dalam agama Islam.
Sudahlah demikian keadaannya, Islam masih lagi menjadi suatu agama, bukan cara hidup yang harus dinikmati kedamaiannya oleh seluruh rakyat. Justeru tidak hairanlah bermacam-macam kecelaruan yang berlaku dewasa ini, akibat daripada kondisi kepemimpinan negara yang melakukan apa yang tidak sepatutnya mereka lakukan & tidak lakukan apa yang sepatutnya mereka lakukan.
Oleh yang demikian, penulis menyeru kepada seluruh anak muda Malaysia, agar bersama-sama menjadikan Hari Pemuda Sedunia pada tahun ini sebagai suatu medan baru untuk membawa seluruh rakyat agar keluar dari kejumudan dalam berfikir (kemelayuan, kecinaan atau keindiaan), keaktifan dalam mengambil tindakan, & keberanian dalam membuat keputusan untuk kepentingan Malaysia.
Kita berupaya untuk membina sebuah keadaan yang baru buat negara ini. Kita mampu untuk menjadi suara lagenda dalam membincangkan permasalahan ummah. Dan yang lebih penting, penulis merasakan bahawa anak muda pada generasi ini sudah bersedia untuk memimpin negara ini ke mercu puncak kemakmuran yang hakiki, sebagaimana yang dituntut dalam Islam.
No comments:
Post a Comment