Akhir-akhir ini penulis dijentik kebimbangan tatkala memerhatikan kecenderungan ahli gerakan, khususnya mereka yang menggelar diri sebagai aktivis mahasiswa Islam, dalam memperhalusi setiap elemen kerohanian & tarbiyah ruhiyah sepanjang menggerakkan instrumen-instrumen dakwah & seruan kebenaran.
Ianya seakan sudah menjadi sesuatu yang tidak penting lagi untuk diperhatikan secara serius oleh seluruh ahli gerakan, khususnya mereka yang diberikan amanah sebagai pemimpin gerakan mahasiswa Islam.
Lebih parah, mereka yang kehilangan arah ini sering kali pula diberikan kepercayaan untuk membimbing ummat, baik dalam lapangan kuliah di masjid-masjid, mahupun gerak kerja yang berstrategi sifatnya.
Terkadang terlintas di benak ini, di manakah bisa datang keberkatan dalam bergerak bilamana pemimpin gerakan Islam sendiri pun memandang sepi aspek konsistensi tarbiyah ruhiyah ini? Bagaimankah boleh datang keberkatan bergerak kerja apabila seruan di bibir kencang untuk menyeru orang bersolat 5 waktu di masjid, sedangkan diri solat 5 waktu pun masih lagi perlu diingatkan, bahkan 'konsisten' pula di bilik-bilik tidur & di rumah-rumah sewa?
Bahkan lebih celaka, ada pula kedapatan sebilangan ahli gerakan yang telah berbaiah untuk menyerahkan seluruh kehidupan ini untuk perjuangan Islam, sanggup pula mengambil jalan simpang dengan perlakuan-perlakuan sumbang di belakang rakan-rakan sefikrah lainnya untuk 'bertenet' dengan akhawat yang kononnya difikirkan halal atas alasan "ana telah bertunang syeikh..."
Manual tarbiyah yang biasanya menjadi pengamalan rutin bagi ahli gerakan hanya tinggal lembaran-lembaran elok yang tertampal kemas di rumah-rumah sewa & di dinding-dinding bilik di kolej kediaman. Ianya hanya mendapat pandangan sepi tatkala diri merasakan bahawa perencanaan strategi-strategi dakwah dan yang lain-lainnya telah cukup mapan untuk meraih nusrah dari-Nya.
Justeru di manakah kita dalam hal ini? Adakah termasuk dalam kelompok yang disebut di atas? Jika ya, di manakah titik puncanya sehingga mereka yang telah mengikat janji setia untuk hidup & mati dalam perjuangan Islam pun masih sanggup berkeadaan sedemikian?
Mungkin ada yang memberi jawapan teralpa atau terlupa sehingga keadaan diri tersasar sedemikian jauh. Ataupun jawapan yang lebih famous, "Ana lemah syeikh untuk maintaian amalan-amalan macam ni..." Ataupun ada yang lebih berani memberikan jawapan, "Ala, ana macam ni pun, kerja Islam ana buat..."
Sebenarnya itu semua hanya alasan yang direka cipta oleh insan yang lemah untuk duduk di dalam zon selesa untuk tunduk kepada hawa nafsu. Ya, kegagalan untuk melawan hawa nafsu mungkin satu faktor yang besar sifatnya. Namun ianya masih lagi tidak dapat diselesaikan jika ahli gerakan sendiri masih tidak dapat diresapi keinsafan bahawa dirinya berTuhan, sentiasa diperhatikan Tuhan, perlu kepada Tuhan, dan akan kembali kepada Tuhan. Kekuatan untuk menjauhi hawa nafsu hanya akan datang selepas selesai persoalan itu.
Ya, itulah puncanya. Bagaimana boleh seorang individu yang merasakan dirinya sentiasa diperhatikan Tuhan, boleh berasa selesa tatkala dirinya tidak mengamalkan apa yang dicakapkan? Dan bagaimana mungkin seorang yang merasakan Tuhan sentiasa memerhatikannya boleh melanggar hukum-hukum & batas-batasnya tatkala berada di belakang rakan-rakan yang lain?
Dan mana mungkin seseorang itu boleh selesa bergerak kerja dalam keadaan dirinya 'kosong' dengan ruhi yang tidak terisi dengan amalan-amalan khusus apabila memikirkan yang nusrah Allah itu hadir kepada makhluk yang rapat dengan-Nya?
Penulis cukup percaya, kadang-kadang bukan strategi yang menjadi punca kegagalan satu-satu gerakan. Akan tetapi keadaan ahli gerakan yang semakin jauh dengan Pencipta itulah yang merupakan suatu faktor yang sangat mendesak untuk dirubah & diubah.
Lantas nasihat penulis buat diri yang lemah ini & rakan-rakan di luar sana, sentiasalah merasakan diri ini dipantau sepenuhnya oleh-Nya. Cukuplah dengan membohongi diri selama ini dengan alasan-alasan yang telah menyebabkan kita semakin jauh dengan-Nya.
Belajarlah untuk menjadi seorang ahli gerakan yang berstrategik & ahli ibadah yang konsisten. Siapa tahu dengan keadaan ini suatu hari nanti mahasiswa bakal memimpin Malaysia? Segalanya penulis serahkan kepada Allah S.W.T untuk terus menjaga seluruh ahli gerakan agar sentiasa 'suci' daripada berada dalam lingkunagan kemarahan-Nya... Wal'iyazubiLlah...
No comments:
Post a Comment