Thursday, July 23, 2009

Dilema Gerakan Mahasiswa Di Malaysia

Blok kampus & fanatik pertubuhan. Inilah 2 faktor yang paling besar dalam gerakan mahasiswa di Malaysia. Baik ianya kelompok mahasiswa Islamis, sosialis, mahupun liberalis, kedua-dua faktor ini sering merencatkan gerakan.

Mahasiswa di Malaysia seharusnya pada pandangan, penulis mencontohi adab gerakan yang diamalkan mahasiswa di Indonesia. Kita akui bukan semua yang diamalkan oleh mereka boleh dicontohi, namun kejayaan yang mereka lakarkan untuk mengenepikan kedua-dua faktor pemusnah ini pastinya telah mengundang pelbagai perubahan yang membanggakan negara itu sendiri.

Sebagai contoh, walaupun kiblat politik antara Kesatuan Aksi Mahasiswa Muslim Indonesia (KAMMI) dengan Himpunan Mahasiswa Islam (HMI) agak berbeza, ianya tidak menghalang untuk mereka merencana gerakan secara bersepadu untuk kepentingan negara.

Pada hemat penulis, front-front mahasiswa yang pelbagai di Malaysia juga sudah sewajarnya meletakkan kepentingan & kemaslahatan negara di depan, malah lebih depan daripada kiblat politik yang didokong & kepentingan front masing-masing. Ini secara tidak langsung dapat memecahkan tembok-tombok fanatisme di kalangan ahli gerakan & mampu menggagaskan suatu gerakan yang dapat membina negara dengan kapasiti kekuatan & ketumbukan yang lebih utuh.

Dalam soal blok kampus pula, mahasiswa seharusnya sudah matang dalam membuat pertimbangan. Pada penulis, sepatutnya tidak ada perbezaan antara kampus di Lembah Klang dengan Utara Semenanjung, waima Sabah & Sarawak sekalipun. Sudah sampai masanya kita membina suatu worldview gerakan yang bersifat sepunya, walau di mana sahaja lokaliti kampus kita.

Kerana itulah, tidak menjadi soal sebenarnya kalau kampus yang terlibat dalam gerakan masih mempunyai ahli sedikit. Dalam soal ini, bukan kuantiti yang menjadi keutamaan, tetapi kualiti ahli gerakan itulah yang menjadi keutamaan untuk dimanfaatkan.

Bayangkan kalau kita mahu ahli gerakan & aktivis-aktivis mahasiswa di kolej-kolej swasta, sama jumlahnya dengan kampus seperti UIAM & UKM, memang berjanggutlah untuk kita menunggu.

Oleh yang demikian, penulis berpandangan bahawa pendidikan & tarbiyah kepada aktivis gerakan harus selari, sekurang-kurangnya dari segi pembinaan fikrah yang besar untuk membina negara & idealisme kepemudaan yang genuine dalam menjadi ejen semak & imbang kepada pemerintah.

Selain daripada itu, faktor kewangan yang menjadi penghalang untuk memecahkan blok-blok kampus juga harus menjadi penelitian yang serius oleh seluruh aktivis gerakan. Kita akui peri pentingnya elemen perhubungan untuk mempererat seluruh kampus di Malaysia. Dan ianya tidaklah menuntut perbelanjaan yang sedikit kalau keperluannya sehingga ke tahap perlu mengadakan roadshow yang kerap ke seluruh kampus.

Tuntasnya, kedua-dua faktor penghalang ini harus dipadamkan dalam kamus perjuangan mahasiswa. Biarlah seluruh front mampu duduk & mencapai matlamat gerakan secara bersama. Seruan akhir penulis, SMM, GAMIS, PKPIM, KAMI, KARISMA, DEMA, JKMI dan lain-lain front perlu meneyedari hal ini & mampu ditemukan titik perjuangan yang lebih praktikal, konstruktif, bersepadu & konsisten.

No comments: