Tuesday, July 14, 2009

Retorik Manek Urai & Tindakan Songsang Dr Azarae

Semacam ada sesuatu yang harus direnungi oleh HEPA di bawah kelolaan TNC HEPA jika tidak mahu mahasiswa terus membelakangi beliau, apatah lagi bersikap menyampah dengan tindakan-tindakan yang dilakukan oleh orang bawah beliau dalam menguruskan mahasiswa di UM ini.

Jika dilihat daripada cara berkempen UMNO/BN di Manek Urai, ternyata bagi penulis, mereka bijak menabur janji-janji yang berorientasikan kepada kebajikan penduduk di situ (jambatan dll). Walaupun janji tersebut masih belum pasti pelaksanaannya, tapi sekurang-kurangnya terdapat di sana unsur-unsur untuk menarik perhatian pengundi dengan elemen kebajikan. Dan janji tersebut menyeluruh kepada semua penduduk, tidak hanya kepada penyokong tegar UMNO/BN semata-mata.

Namun penyongsangan keadaan berlaku kepada pentadbiran HEPA yang diketuai Prof Madya Dr Azarae Idris, dengan pengamalan penindasan & 'cleansing style' terhadap mahasiswa yang tidak sealiran dengan beliau. Dan pembuangan beramai-ramai kelompok mahasiswa-mahasiswa yang selama ini merancakkan aktivisme kolej kediaman, ternyata memberi pandang sisi yang jelas tentang sifat politiking yang melampau, yang diamalkan oleh Prof Madya Dr Azarae.

Penulis bukanlah orang yang suka mencipta permusuhan dengan mana-mana individu, namun tindakan Dr Azarae ini ternyata memberikan suatu kekecewaan yang besar kepada penulis. Penulis tidak kisah kalau penulis yang dibuang kolej kediaman tersebut, kerana pengalaman penulis pun, penulis pernah dibuang kolej semasa masih di semester pertama lagi di UM dengan senario yang penuh kontroversi.

Namun yang menyedihkan penulis ialah mereka yang dibuang kolej ini ialah di kalangan mereka yang ibu & ayah mereka berpendapatan rendah & 'kesalahannya' hanyalah kerana menjadi penggerak kepada kepada kempen kesedaran Islam yang dipelopori oleh PMIUM.

Dr Azarae, saya nak sebut bahawa mereka ini berkemungkinan besar beroleh pahala yang besar dari Allah dengan ketulusan gerak kerja yang mereka buat khusus untuk memberikan kesedaran masyarakat tentang Islam. Tidakkah zalim namanya apabila pahala yang mereka kejar dibalas oleh label 'salah' dalam konteks pemahaman Dr sendiri?

Kalau dalam strategi politik pun, sudah nampak tindakan Dr ini merupakan tindakan yang sangat tidak bijak, bahkan tidak strategik. Bukankah susah kalau selepas ini, kelompok mahasiswa ini secara beramai-ramai menjaja nama buruk pihak Dr? Dan kalau itu berlaku, kan susah namanya untuk pihak Dr untuk 'clear' imej yang telah tercemar?

Justeru sukalah ingin penulis ingatkan supaya pihak Dr Azarae Idris belajar daripada apa yang telah dilakukan oleh UMNO/BN di Manek Urai. Janganlah kerana emosi tidak suka kita, langsung menelurkan tindakan yang menyusahkan kita di kemudian waktu.

Bagi mereka yang teraniaya, penulis ingin memberikan khabar gembira bahawa pihak PMIUM sendiri bersama-sama Biro Penginapan Kolej Kediaman & Luar Kampus MPMUM akan membela sehingga habis-habisan hak-hak yang sepatutnya mereka dapat untuk menduduki kolej kediaman.

Pada kami, jalan lembut & perbincangan merupakan jalan yang paling utama. Namun kalau jalan lembut & perbincangan sudah menemui titik buntu, jangan kesal kalau kami menggunapakai jalan kekerasan. Maaf Dr, kami tidak diajar untuk tunduk pada kezaliman & penindasan. Tapi yang pasti, kami akan terus memusuhi kezaliman & penindasan, walau ianya datang daripada sesiapa sahaja.

No comments: