Tuesday, July 28, 2009

Sejenak Bersama Sang Murobbi...

Alhamdulillah.. 3 hari yang lepas, penulis berkesempatan untuk berusrah bersama tokoh gerakan Islam tersohor di Malaysia, Al-Fadhil Ustaz Yahaya bin Othman. Terlalu banyak input-input & pengisian yang bermanfaat yang penulis peroleh dalam medan diskusi & perkongsian tersebut.

Bermula dengan penceritaan & analisis sirah Rasulullah S.A.W, banyak kupasan-kupasan yang diberikan telah menambah kefahaman & membugar semangat juang pada diri ini. Antaranya bagaimana perjalanan dakwah Rasul yang sentiasa direntangi dengan cabaran seperti dalam kes di Thaif. Bahkan, sewaktu seruan Islam ini berkumandang di Mekah (13 tahun), hanya 513 orang sahaja yang menerima Islam sebagai cara hidup.

Dari sudut metodologi tarbiyah dalam membina karakteristik para sahabat, menurut Ibn Mas'ud, Rasulullah S.A.W tidak pernah mengajar lebih daripada 10 ayat dalam satu-satu masa, untuk membolehkan para sahabat mengamalkan segala wahyu yang turun ke atas sekelian umat manusia. Dalam konteks ini, jelas menunjukkan kecerdikan Rasulullah dalam menyusun manhaj tarbiyah yang beransur-ansur sifatnya.

Perjalanan perang di medan perkembangan dakwah ini juga mencatatkan sesuatu yang menarik pada penulis. Jumlah keseluruhan perang sewaktu Rasulullah S.A.W masih hidup ialah sebanyak 57 kali. Namun, dari jumlah itu sebanyak 27 peperangan yang Rasulullah S.A.W sendiri ketuai. Dari sudut ini juga Rasulullah S.A.W sendiri telah menunjukkan bahawa seorang ketua itu harus pemberani sifatnya, dan mampu memimpin orang yang dipimpinnya dalam setiap ruang & keadaan.

Tidak ketinggalan juga ambilan qudwah pada batang tubuh seorang sahabat bernama Mus'ab ibn Umair. Sahabat ini sepanjang hidupnya telah menjadi role-model kepada kelompok mereka yang kaya & mempunya kemewahan tentang tatacara kehidupan sebagai sang mujahid. Justeru bukanlah keselesaan yang diidam, melainkan redha Ilahi yang hakiki. Di pengakhiran hidupnya, sahabat ini telah memperoleh syahid dalam peperangan Uhud, yang juga telah 'mensyahidkan' Singa Allah, Saidina Hamzah ibn Abdul Mutalib.

Akhirnya, al-fadhil ustaz sempat menitipkan kupasan tentang ayat 88 surah An-Nisa' yang memberikan amaran keburukan terhadap orang munafiq. Juga beberapa hujah tentang kerjasama Rasulullah S.A.W dengan orang kafir & musyrik (seperti dalam peristiwa hijrah bersama Saidina Abu Bakar), namun tidak pernah sesekali membuat perjanjian dengan orang munafiq.

Hmm.. Sungguh banyak sekali mau'idzah-mau'idzah yang menjengah pemikiran & hati penulis selepas berusrah dengan al-fadhil ustaz. Dan apenulis sangat-sangat berharap agar peluang untuk berusrah dengan beliau dapat hadir pada hari-hari yang mendatang... Amin...

No comments: