Monday, July 13, 2009

Semester Baru Yang Sibuk

Pagi ini, hanya ada 2 kuliah sahaja yang mengisi jadual formal pembelajaran penulis. Masa berbaki lebih banyak digunakan untuk menguruskan pendaftaran subjek-subjek secara manual yang bakal diambil pada sem ini.

Penulis yakin, hal yang sama juga dialami oleh semua mahasiswa UM pada minggu 'add-drop' ini. Kalau yang berada di tahun akhir, pastinya berkira-kira untuk 'pulun' sebanyak mungkin subjek pada semester ini supaya tidak terbeban di akhir semester kelak.

Bagi mahasiswa baru yang masih berada di semester pertama, mungkin masih lagi di peringkat untuk menyesuaikan diri dengan suasana pembelajaran baru di universiti yang tidak seperti di alam matrikulasi atau stail pembelajaran di tingkatan 6.

Namun yang pasti, seluruhnya sedang sibuk pada waktu ini. Termasuklah mungkin kalangan pensyarah-pensyarah yang tengah pening kepala melayan kerenah penuntut yang berlonggok-longgok mahu mendaftar subjek yang diajar.

Ya, kalangan aktivis mahasiswa juga pastinya tidak terlepas dalam keributan keadaan ini. Masakan tidak! Alangkah mahasiswa biasa pun sudah tidak cukup tangan untuk mengurus pembelajaran mereka di kampus, apatah lagi kalangan aktivis mahasiswa yang pastinya terbeban dengan 2 atau 3 kali ganda kesibukan untuk menguruskan persatuan & gerakan dalam melancarkan aktivisme kemahasiswaan.

Dan penulis pun sendiri pada petang & malam ini sibuk dengan mesyuarat-mesyuarat penting dengan pimpinan-pimpinan mahasiswa kampus lain dalam menyelaraskan gerak kerja semasa. Pastinya yang menjadi fokus ialah isu di selatan Thai & isu pertelingkahan etnik yang berlaku di Xinjiang, China.

Dalam konteks kampus pula, semalam telah ada keputusan di peringkat pimpinan PMIUM untuk melancarkan gerakan yang serius untuk membela mahasiswa-mahasiswa yang dinafikan haknya (walaupun aktif dengan aktiviti kolej) untuk duduk di kolej-kolej kediaman.

Ternyata, pada perbincangan semalam, kami cukup terkejut kerana ada di kalangan pegawai-pegawai HEPA UM (atas arahan TNC HEPA pastinya) yang sanggup menghiris hati seorang bapa, yang merayu untuk membolehkan anaknya tinggak di kolej kediaman, dengan kata-kata, "Maaf, anak pakcik tidak dapat kolej sebab aktif dengan Persatuan Mahasiswa Islam (PMIUM).."

Terpinga-pinga si bapa tatkala mendengar alasan bodoh (maaf!) tersebut. Apa masalahnya si anak yang aktif dengan persatuan untuk tidak dapat kolej kediaman? Besar sangatkah 'dosa' si anak yang aktif persatuan sehingga dinafikan haknya untuk dapat kolej??

Masyarakat di luar sana pastinya boleh melihat dangkalnya pemikiran sesetengah individu dalam UM ini yang dicanangkan sebagai Uni Perdana di Malaysia. Inilah bahananya apabila soal kebajikan mahasiswa pun turut dipolitikkan. Insya-Allah, di pihak penulis, penulis akan pastikan kesedihan si bapa yang kecewa dengan alasan-alasan bodoh (maaf sekali lagi!) pihak yang berkenaan akan terubat.

Dan lagi, insya-Allah akan ada lagi kalangan mahasiswa-mahasiswa yang akan menerima dana daripada tabung kebajikan PMIUM. Sehingga kini, PMIUM telah membantu sekitar 6 orang mahasiswa yang terbeban dengan masalah-masalah kewangan semasa untuk membolehkan mereka terus belajar di kampus ini.

Buat akhirnya, penulis menjemput kepada seluruh mahasiswa untuk merancakkan kuliah pemahaman asas Islam yang digerakkan oleh pihak PMIUM sendiri dengan kerjasama balai-balai Islam kolej kediaman. Untuk mahasiswa luar kampus pula, pihak kami sedang menyusun kuliah berkala di komuniti masing-masing untuk memastikan mereka tidak tertinggal dalam gelombang dakwah Islam pada waktu ini.

No comments: