Friday, July 17, 2009

Mencetak Pemimpin Fenomenal

"Pemimpin tidak lahir di bilik kuliah tetapi tumbuh sendiri dalam hempas pulas kancah, muncul di tengah-tengah pengumpulan masalah, menonjol di kalangan rakan seangkatan lalu diterima dan didukung oleh umat.." -Bapak Natsir-

Serasa penulis, ramai di kalangan kita yang sudah biasa dengan ungkapan sebegini. Bahkan kita juga sangat biasa dengan gegaran retorik Bung Karno seperti di bawah ini,

"Berikan aku 100 orang tua, akan aku ubah dunia, dan berikan aku 10 orang pemuda, maka akan aku goncangkan dunia!"

Bahkan di Malaysia sendiri, terdapat kata-kata yang sehingga kini menjadi keramat dalam membangkitkan semangat kepahlawanan.

"Di atas robohan kota Melaka
Kita bangunkan jiwa merdeka
Bersatulah Melayu segenap baka
Membela hak keadilan pusaka."
-Dr Burhanuddin Al-Helmi-

Ternyata, ketiga-tiga contoh yang penulis bawakan di atas berjaya mencetus fenomena yang tersendiri dalam kepimpinan masing-masing. Jika tidak, masakan kata-kata keramat mereka masih bernadi dalam masyarakat sehingga ke hari ini?

Justeru, bagaimanakah mereka mencipta fenomena tersebut? Menurut pandangan HAMKA, mereka yang telah berjaya mencipta fenomena ini ialah mereka yang telah berjaya membangkitkan 'cahaya muka' dengan begitu menyerlah sekali. 'Cahaya muka' tersebut bolehlah kita istilahkan sebagai 'karisma'.

Penelitian HAMKA lagi, mereka yang mempunyai kuasa fenomena ini, telah berjaya mempengaruhi masyarakat setelah mereka berjaya 'menghidupkan hati' mereka dengan pancaran visi yang jelas (idealisme).

Baik, kita lihat satu persatu ketiga-tiga tokoh di atas dalam meneliti idealisme yang mereka lagangkan sehingga mengheret & menyentap nurani masyarakat untuk ke arah mereka.

Bapak Natsir merupakan Perdana Menteri Indonesia yang pertama. Apa yang menjadi menarik tentang peribadi beliau ialah keupayaan beliau dalam menonjolkan pengaruhnya ketikamana masyarakat Indonesia memandang Bung Karno (Sukarno) sebagai 'dewa yang penuh keajaiban'.

Dan idealisme Bapak Natsir ketika berdampingan dengan Sukarno ketika memimpin Indonesia ialah kepercayaan yang cukup tebal bahawa Islam mampu menjadi asas negara. Hal ini dikuatkan lagi apabila beliau berhujah dengan menteri-menteri kabinet pada waktu tersebut bahawa pelengkap kepada konsep pancasila ialah Islam.

Bahkan sewaktu Sukarno memilih untuk memecat beliau daripada kabinet selepas terpaksa tunduk dengan tekanan komunis, Pak Natsir konsisten dengan pegangannya & tidak berkompromi walaupun banyak pihak yang memintanya untuk berdamai dengan Sukarno pada waktu tersebut.

Ya, idealismenya jelas, Islam sebagai asas negara & pelengkap konsep pancasila.

Kita tinjau pula gagasan pemikiran besar Bung Karno sehingga menjadikannya pemimpin lagenda. Idealismenya ketika itu yang menjadikan rakyat Indonesia berdiri teguh ketika pra & pasca kemerdekaan Indonesia ialah konsep 'Melayu Raya'.

Idea ini konsisten dalam perjuangan Bung Karno sepanjang kepimpinannya. Sebab itulah kita lihat selepas pembentukan Malaysia pun, Sukarno terus bersuara dalam rangka yang jelas untuk menubuhkan 'Melayu Raya' dengan melancarkan dasar konfrontasi dengan Malaysia.

Dr Burhanuddin Al-Helmi pula berjaya mencetuskan fenomena yang tersendiri dengan pemikiran futuristiknya untuk memimpin kemerdekaan Malaya ketika itu. Bahkan parti yang diketuainya (PKMM) merupakan parti yang pertama, juga merupakan parti yang cukup lantang memperjuangkan kemerdekaan negara.

Tidak cukup sekadar itu, gagasan kewarganegaraan Malaya dengan terma 'Melayu' kepada seluruh kaum telah berjaya menghapuskan jalur-jalur perkauman dalam masyarakat Malaya ketika itu. Justeru tidak hairanlah ketika beliau melancarkan hartal di seluruh Malaya, seluruh masyarakat daripada utara Perlis hingga selatan Johor menyambutnya sebagai sebuah kuasa solidariti yang disepakati untuk membuat bantahan secara bersama.

Kemuncak kepada wawasan perjuangannya yang cukup ulung itu ialah apabila beliau bersama rakan-rakan yang lain melancarkan 'Perlembagaan Rakyat' untuk Malaya. Ternyata perlembagaan ini telah memberi kegemparan yang besar kepada British sehingga akhirnya PKMM diharamkan.

Baik, melihat kepada karakter ketiga-tiga pemimpin fenomenal ini, kita dapat perhatikan bahawa 'x-factor' yang menyebabkan mereka menjadi pusat pengaruh ialah kelainan pada idea yang mereka perjuangkan & mereka sanggup mati untuk memperjuangkan idea itu.

Mereka tidak hanya mengeluarkan suatu idea yang sama & biasa-biasa pada zaman tersebut, tetapi mereka mempengaruhi masyarakat untuk berani mengikuti idea besar yang pastinya aneh (pada pandangan biasa) yang mereka gagaskan sehingga mereka menjadi pusat tumpuan kepada satu-satu perubahan.

Dan mereka juga sanggup menempuh apa sahaja halangan & dugaan untuk memastikan idealisme perjuangan mereka bernadi dalam masyarakat. Inilah yang menyebabkan mereka mampu tampil sebagai lagenda, sehingga kata-kata mereka & ruh perjuangan mereka masih meluap-luap sehingga ke hari ini.

Oleh yang demikian, jika anak muda pada hari ini ingin tampil sebagai pemimpin besar & negarawan agung di suatu masa nanti, mereka perlu berani berfikir & mencanting idea besar yang pelik & futuristik sifatnya.

Namun, sekadar menggagaskan idea-idea sahaja masih belum mencukupi. Pastinya mereka perlu berani untuk hidup & mati dengan idealisme tersebut. Kerana pemimpin tidak hanya bertindak sebagai ikon & selebriti yang bisu, tetapi pemimpin itu harus berani menjadikan diri mereka sebagai inspirasi, motivasi, yang cukup berpengaruh atas apa yang diperjuangkan.

Pada penulis, kalaupun tidak berjaya seperti Bung Karno sehingga menjadi presiden sebuah negara, memadailah kita menjadi seperti Martin Luther King Jr atau Mahatma Gandhi, yang telah berjaya menjadikan diri mereka sebagai inspirasi pembebasan masyarakat. Ya, mereka juga telah 'menggantikan' keberjayaan itu dengan nyawa, sehingga kematian mereka menjadi ratapan & tangisan segenap marhaen. Titik.

1 comment:

ravivarma said...

The blog was absolutely fantastic! Great job, keep it up.
mencetak Malaysia